Sejujurnya, Mama Siti sendiri pun belum berjaya sekilas tengok daun sup dan daun ketumbar ini boleh terus ambil masuk ke bakul. Mesti juga nak pegang bau dulu untuk pastikan betul atau tidak.
Walaupun nampak sama tapi dia tak serupa pun. Bila kita dah tahu apa perbezaan antara keduanya, tak susah dah nak pastikan yang mana satu daun sup atau daun ketumbar.
Nama Inggeris bagi daun sup adalah parsley manakala daun ketumbar dipanggil coriander juga cilantro. Sebab selalu dengar macam-macam nama kan, ada chinese celery lah dan pelbagai lagi.
Mama Siti suka juga tahu nama-nama saintifik pokok herba masakan di rumah ni untuk tahu lebih lanjut manfaatnya. Nama saintifik bagi daun ketumbar, Coriandrum sativum dan daun sup pula, Petroselinum crispum.
Daun Sup vs Daun Kemtubar: Cara untuk Membezakan Kedua-duanya
Jadi kali ni Mama Siti nak kongsikan sedikit dengan semua, mungkin ada yang baru kahwin atau sama macam Mama Siti tak mahir sepenuhnya lagi, cara-cara untuk membezakan antara daun sup dengan daun ketumbar.
1. Bau
Ini cara yang paling banyak Mama Siti gunakan sebab Mama Siti suka sangat bau ketumbar.
Bau daun sup sedikit harum dan lembut. Sedap untuk dibuat ulam. Bau ini juga lebih mesra digemari ramai orang kerana baunya yang ringan dan segar.
Daun ketumbar pula baunya agak kuat dan tajam. Sedap dijadikan sebagai penaik rasa dalam masakan. Namun tak semua orang suka akan baunya, ada yang kata baunya pelik. Kalau nak tahu, mengikut kategori herba, bauan yang dikeluarkan daun ketumbar, itu adalah bauan citrus. Ha, menarik kan?
2. Bentuk akar
Daun sup akarnya kelihatan jenis halus, tetapi banyak dan serabut. Akar daun sup ni jika dipotong boleh ditanam sedikit ke dalam tanah atau direndam sedikit air. Jadi ia akan menumbuhkan daun-daun baru nanti. Senang kan, tak keliru lagi dah daun sup yang mana satu. Sesuai bagi peminat bercucuk tanam. Boleh diletakkan di dapur juga, jauhkan sedikit daripada sumber cahaya secara terus.
Manakala bagi daun ketumbar, akarnya jenis tunjang. Kita akan nampak dalam sepokok daun ketumbar yang diikat bersama tu, akarnya sebatang, sebatang panjang ke bawah. Akar daun ketumbar banyak digunakan dalam masakan bersup seperti tomyam untuk menaikkan rasanya. Biasa kan baca resepi yang meletakkan akar daun ketumbar untuk direbus bersama.
3. Batang
Untuk daun sup, batangnya lebih tebal dan padat. Jadi bila kita pegang seikat daun sup tu, kita dapat rasa ia berat dan tidak fragile. Batang daun sup juga kelihatan lebih panjang. Jadi selalunya bila kita letak kedua daun ini bersebelahan, kita akan nampak daun sup adalah lebih panjang! Ini antara cara mudah juga nak bezakan, letakkan kedua-dua daun ini bersebelahan terus.
Bila dipegang sepokok daun ketumbar, kita dapat rasakan ia jenis ringan dan fragile. Ini kerana batangnya yang lebih kurus dan lebih lembut. Batang daun ketumbar juga lebih pendek, menyebabkan daunnya nampak merimbun. Ini antara cara ringkas lah untuk membezakan di antara daun sup dan daun ketumbar.
4. Daun
Inilah masalah utama sebenarnya. Sebab rupa daun sup dan daun ketumbar ni, hampir sama kan?
Jika kita perhatikan, warna daun ketumbar lebih lembut hijaunya, manakala daun sup mempunyai warna hijau dengan tona lebih gelap.
Daun ketumbar lebih merimbun, dia lebih kecil serta bentuk membulat, manakala daun sup pula daunnya lebih besar, jarang dan seolah menajam ke hujung. Ini antara kriteria yang agak jelas jika nak dibandingkan.
Kalau nak tengok sekilas sahaja, selalunya mesti tak berjaya. Perlu juga dipastikan dengan kriteria perbezaan yang lain untuk sahkan betul sama ada ini daun ketumbar atau daun sup.
Daun Sup VS Daun Ketumbar: Kegunaan Dalam Masakan
Daun sup biasanya digunakan sebagai hiasan dalam masakan. Ia sesuai sangat jadi pelengkap dalam banyak jenis menu makanan. Jadi ulam juga sedap dengan rasa dan bau yang segar tu. Biasanya kita suka geng kan dia dengan daun bawang, kan?
Daun ketumbar pula biasanya digunakan kesemua akar, batang dan daunnya dalam masakan. Biasanya direbus bersama kuah untuk terbitkan aroma serta rasa dia yang kuat tu. Disebabkan bau dan rasa kuat inilah, biasanya kita gunakan dalam jumlah yang sedikit sahaja. Bagi kick, orang kata.
Khasiat Kepada Kesihatan
Herba-herba memang mempunyai banyak khasiat vitamin, terutama sekali daun herba kehijauan begini. Mungkin kerana daun sup lebih gelap warna hijaunya, maka kandungan vitamin K nya juga tinggi. Biasanya kandungan folate juga tinggi. Vitamin K sangat penting untuk tulang dan juga penggumpalan darah.
Paling menarik sekali, kedua-dua daun ini mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi untuk melindungi sel tubuh. Selain itu setiap sayuran pasti ada kandungan prebiotik di dalamnya untuk menjadi nutrien kepada bakteria baik dalam usus, bagi mengekalkan keseimbangan kesihatan sistem penghadaman kita.
Jika nak ikhtiar untuk kawal gula dalam darah, boleh rajin amalkan kedua-dua daun ini. daun sup terbaik dimakan begitu sahaja tanpa dimasak, ataupun direbus api perlahan untuk mengekalkan khasiatnya.
Tips Penyimpanan Supaya Kekal Segar
Daun-daun herba begini biasanya mudah layu kan. Sewaktu memilih di pasar, pastikan pilih yang daunnya masih segar. Nak pula bila beli tu kena beli seikat terus. Tak sempat nak guna habis, daunnya dah makin layu dalam peti sejuk.
- Daun Ketumbar
Untuk daun ketumbar, antara cara yang boleh diamalkan adalah menyimpan daun ketumbar dalam bekas kering dan kedap udara. Tidak perlu dibasuh terlebih dahulu. Setiap 4 hari boleh dibuka dan keluarkan daun yang mula berubah warna dan rosak. Jika banyak daun ketumbar itu, rasanya boleh tahan berminggu-minggu lamanya.
- Daun Sup
Bagi daun sup pula, boleh dibasuh siap-siap dan dipotong supaya lebih pendek bagi memudahkan penyimpanan. Boleh letak alas kain bersih atau tisu di dalamnya, simpan dalam bekas kedap udara juga.
Cara lain bagi penyimpanan daun sup, potong botol air saiz 1.5 liter, 1 per tiga bahagian atasnya, supaya mudah dibuka nak masukkan daun sup bersama akar. Letak sedikit air di dasar untuk mengekalkan kesegaran. Biasanya daun sup tak risau sangat sebab laju aja kan digunakan.
Akhir kata, selamat beramal dengan tips-tips pemilihan daun sup dan daun ketumbar ya! Boleh belajar cara bezakan sayuran lain pula di sini. Masak sedap-sedap untuk keluarga, semoga bertambah kasih sayang sesama.