Daging salai masak lemak untuk menu iftar adalah sangat istimewa. Makanan tradisi ini berasal dari Negeri Sembilan. Mama Siti paling suka menu yang menggunakan kunyit yang banyak manfaat anti-radang dan juga santan membantu imuniti.
Rasa unik daging salai paling sesuai dihidangkan dalam bentuk rebusan masak lemak cili api. Menu ini memang sesuai sebagai pembangkit selera ketika berbuka, malah sangat mudah disediakan.
Mama boleh terus beli daging salai yang siap tersedia, simpan di dalam peti beku dan gunakan ketika perlu. Resepi ini tidak perlukan bawang dan tidak perlukan acara menumis. Ringkas namun mantap sekali. Baca ni pun rasa terliur dah ya, mama? Jom tengok cara memasaknya.
Resepi Daging Salai Masak Lemak Cili Api
Bahan-bahan
- 20g kunyit segar (ditumbuk/dikisar)
- 3-5 biji cili padi (ditumbuk/dikisar, bergantung kepada kepedasan yang disukai)
- Sehiris asam keping
- 250g santan segar
- 350g air tapis
- 1sk garam pink Himalaya
- Sedikit gula
- Sehelai daun kunyit (dihiris halus, jika ada)
Cara Memasak
- Mula-mula, tumbuk atau kisar halus kunyit dan cili padi tadi. Mana-mana cara pun boleh sebab semua akan direbus nanti. Boleh masukkan bahan tumbuk ini ke dalam kuali.
2. Selepas itu, masukkan asam keping, air tapisan, daging salai, garam pink dan gula tadi. Setelah daging salai lembut sedikit, barulah dimasukkan santan. Santan hendaklah sentiasa dikacau sehingga ia mendidih ya. Boleh juga jika mahu dicampur sekaligus, cuma lebih lama proses terus-menerus mengacau perlahan ni untuk elakkan santan pecah minyak.
3. Kemudian bolehlah tutup api, dan dihidangkan terus panas-panas sebelum berbuka puasa.
Resepi oleh: Fiey Ahmad
Tips Tambahan Bagi Menu Ini
Daging salai masak lemak cili api ni ada pelbagai variasi resepi, termasuk ditambahkan serai sebagai penguat rasa herba nusantara. Boleh ditambahkan belimbing buluh sebagai pengganti asam keping. Masakan daging salai masak lemak cili api juga sedap jika digandingkan bersama rebung atau pucuk ubi.
Untuk tambahan serat, Mama Siti cadangkan masak sayur campur kacang buncis bersama telur dadar. Sesuai juga untuk menu anak-anak di rumah jika mereka tidak gemarkan daging salai ini.
Memandangkan menu ini dimasak untuk berbuka puasa, Mama Siti cadangkan kurangkan tahap kepedasan supaya lebih mesra perut yang kosong untuk elakkan pedih atau sebu nanti.
Selain itu, boleh juga berbuka dahulu dengan air dan kurma atau buah-buahan. Kemudian solat Maghrib terus sebelum menjamu selera makanan berat. Cara ini membantu usus kita melalui proses transisi perlahan selepas berpuasa seharian. Jika mama ada alami pedih ulu hati ketika berpuasa boleh cuba amalkan petua di sini.
Selamat berbuka, mama!