“Daging korban nanti nak buat kenduri je, senang sikit ajak orang makan tak perlu nak bahagi daging dah.”
Mesti Mama Papa pernah dengar ayat atau kata-kata macam ni bukan? Bila dah tiba musim korban ni, masih ada ramai yang menganggap daging korban tersebut lebih mudah dijadikan lauk kenduri, untuk menampakkan ia sama seperti mengagihkan daging korban.
Isu mengagihkan daging korban ini lebih tertumpu kepada orang yang kurang berkemampuan.
Jom, Mama Siti terangkan boleh atau tidak dijadikan kenduri supaya tidak berlaku lagi salah faham serta ibadah korban Mama Papa dapat disempurnakan dengan baik.
Hukum Menggunakan Daging Korban untuk Kenduri
Untuk pengetahuan, daging korban ini TIDAK BOLEH DIMASAK DAN DIJAMUKAN KESEMUANYA. Sebahagian daripadanya WAJIB disedekahkan dalam keadaan mentah kepada golongan fakir miskin.
Kadar bahagian yang disedekahkan tidak ditetapkan, tetapi kita sebagai orang yang melakukan ibadah korban perlu berikan daging tersebut dalam kuantiti yang adil kepada golongan fakir miskin.
Secara umumnya, penggunaan daging qurban untuk kenduri adalah dibenarkan selagi ia tidak melanggar prinsip asas pembahagian yang diatur dalam syariat Islam. Kenduri tersebut perlu melibatkan golongan fakir miskin dan tidak hanya dalam kalangan sendiri sahaja.
Daging korban yang berbaki selepas disedekahkan, dibolehkan untuk dimasak atau diadakan kenduri untuk dijamu.
Suka untuk Mama Siti nak ingatkan, HARAM sekiranya Mama Papa berikan daging qurban kepada orang bukan Islam sama ada sedekah atau pun sebagai hadiah; sama ada dalam bentuk mentah atau sudah dimasak.
Kalau Mama Papa mahu jemput kenalan yang bukan Islam, pastikan menu daging tersebut tidak menggunakan daging qurban kerana hukumnya tetap HARAM.
Dengan cara ini, niat untuk berkongsi dan membantu sesama insan tetap terpelihara, sesuai dengan tujuan asal Mama Papa melakukan ibadah korban.
Bagaimana Pengagihan Daging Korban Mengikut Islam?
Menurut syariat Islam, daging korban hendaklah diagihkan dengan cara mengikut syariat Islam.
- Sepertiga untuk fakir miskin: Daging korban harus diberikan kepada golongan yang memerlukan, seperti fakir miskin.
- Sepertiga untuk keluarga dan saudara-mara: Sebahagian daging boleh digunakan untuk keperluan sendiri dan dibahagi-bahagikan kepada keluarga dan saudara-mara.
- Sepertiga untuk sedekah: Bahagian ini boleh disedekahkan kepada jiran tetangga, sahabat, atau sesiapa sahaja sebagai bentuk kebajikan.
Penggunaan Daging Korban untuk Kenduri
Kenduri adalah satu acara makan bersama yang sering diadakan untuk pelbagai tujuan seperti kesyukuran, peringatan, atau majlis doa selamat. Ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan apabila menggunakan daging qurban untuk kenduri.
1. Niat dan Tujuan Kenduri
Jika kenduri diadakan dengan niat untuk bersedekah dan mengagihkan rezeki kepada orang ramai, termasuk golongan fakir miskin, maka penggunaan daging qurban adalah dibenarkan.
Jika kenduri hanya untuk kalangan keluarga terdekat atau tidak melibatkan golongan fakir miskin, pastikan pengagihan daging qurban mentah telah dilaksanakan mengikut syariat terlebih dahulu.
2. Pengagihan yang Adil
Pastikan daging qurban diagihkan terlebih dahulu kepada golongan yang memerlukan sebelum digunakan untuk kenduri. Sisa daging yang masih ada selepas pengagihan barulah digunakan untuk kenduri.
Adil dalam pengagihan daging yang disedekahkan, Mama Papa jangan bersikap kedekut dan berikan pada kadar yang sedikit.
Sebagai contoh sekiranya daging yang diperoleh adalah 12 kilogram. Mama Papa agihkan kepada tiga bahagian daging, empat kilogram untuk fakir miskin, empat kilogram untuk saudara-mara dan lagi empat kilogram untuk Mama Papa buat kenduri atau makan sendiri.
3. Mengikut Sunnah
Amalkan sunnah Nabi Muhammad SAW dalam mengagihkan daging qurban, iaitu menyedekahkan sebahagian besar daripadanya dan mengambil sebahagian kecil untuk kegunaan sendiri.
TAPI Mama Papa jangan menyamai dengan korban nazar ye, untuk korban wajib atau korban nazar WAJIB disedekahkan kesemua daging dan Mama Papa tidak boleh memakannya.
Satu lagi jangan berikan daging kepada tukang sembelih dan sukarelawan dengan niat upah kerana ia HARAM, tetapi kalau diberikan sebagai sedekah adalah dibolehkan.
Untuk memastikan pengagihan daging qurban Mama Papa mengikut syariat Islam, Mama boleh dapatkan nasihat tukang sembelih dan biarkan mereka timbang terus kepada beberapa kilogram untuk Mama Papa sedekahkan kepada fakir miskin.
Dapatkan informasi-informasi keibubapaan di SINI.