Selesai proses melahirkan, Mama dan Papa mestilah daftar kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara yang terdekat.
Tempoh yang diberikan adalah 60 hari dari tarikh kelahiran anak. Mama dan Papa hendaklah ke Jabatan Pendaftaran Negara dalam tempoh ini dan daftar kelahiran si manja mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Syarat Permohonan Pendaftaran Kelahiran
Menurut laman web JPN, permohonan pendaftaran kelahiran boleh dilakukan oleh:
- Ibu atau bapa kanak-kanak tersebut
- Penjaga kanak-kanak tersebut
- Individu yang tahu atau saksikan kelahiran kanak-kanak tersebut
- Ibu dan bapa kanak-kanak (untuk pendaftaran kelahiran anak yang tidak sah taraf)
Prosedur dan Dokumen Yang Perlu Dibawa
Individu yang ingin memohon pendaftaran kelahiran ini perlulah bawa dokumen-dokumen terbabit ke JPN:
- Borang Daftar Kelahiran JPN.LM01 yang telah diisi dengan lengkap (asal);
- Borang Pengesahan Kelahiran daripada hospital atau Surat Pengesahan Doktor bagi kelahiran di rumah (asal);
- Laporan Polis bagi kelahiran di rumah (asal);
- Kad Pranatal (Buku Rawatan Mengandung) atau Kad Rawatan Semasa Ibu Mengandung (asal dan salinan);
- Kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri ibu dan bapa (asal dan salinan)
- Kad Pengenalan atau dokumen pengenalan diri pemaklum (jika pemaklum bukan ibu atau bapa kanak-kanak) (asal dan salinan);
- Sijil Kematian ibu dan bapa kanak-kanak (asal dan salinan- jika berkaitan); dan
- Dokumen Perkahwinan atau Perceraian ibu bapa kanak-kanak (asal dan salinan).
- Surat akuan AM80 sekiranya tiada buku rawatan mengandung atau kad rawatan mengandung
Perlu Ke Buat Janji Temu Terlebih Dahulu?
Untuk negeri-negeri yang berada pada fasa 3 dan 4 PPN, pemaklum boleh datang walk in sahaja tanpa janji temu. Cumanya, ia bergantung kepada kapasiti pejabat dalam usaha untuk menjaga penjarakan fizikal yang selamat.
Tapi untuk mudahkan urusan Mama, boleh je kalau Mama book slot tarikh dan masa untuk urusan di kaunter JPN. Terus sahaja ke pautan ini dan isikan maklumat yang berkenaan untuk memudahkan urusan Mama nanti.
Bila hari untuk janji temu di kaunter JPN tiba, jangan lupa untuk hadir dan bawa bersama dokumen-dokumen di atas ya?
Kalau terlepas janji temu di kaunter JPN ni, permohonan janji temu Mama automatik terbatal dan Mama perlu membuat permohonan baru.
Waktu Operasi Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara
Untuk setiap negeri, waktu operasi kaunter JPN mungkin berbeza. Jadi seeloknya Mama semak dahulu waktu operasi kaunter JPN yang berdekatan dengan Mama ni:
Jika Mama ada sebarang pertanyaan berkenaan dengannya, bolehlah hubungi Talian Am nya di 03-88807077 atau di myjanjitemu@jpn.gov.my.
Bagaimana Jika Tidak Boleh Hadir Ke Jabatan Pendaftaran Negara?
Jika Mama tidak boleh hadir ke JPN, tak perlu risau ya. Individu berikut boleh juga menjadi pemaklum di JPN:
- Bapa kanak-kanak tersebut
- Orang yang tinggal serumah di mana kanak-kanak tersebut dilahirkan
- Sesiapa yang menyaksikan kelahiran tersebut
- Sesiapa yang menjaga kanak-kanak tersebut
Tetapi kalau Mama memilih untuk tidak daftar kelahiran anak di kaunter dan mahu lakukannya secara online, bolehlah tengok cara-caranya di sini ya? Senang dan jimat masa kan?
Info di atas ini khas untuk Mama yang tinggal di Semenanjung. Jika untuk di Sabah dan Sarawak, bolehlah semak di sini.
Semoga segala urusan pendaftaran anak Mama dipermudahkan dan perkongsian kami ini serba sedikit membantu.
Sumber: Jabatan Pendaftaran Negara