Selepas bayi baru lahir, perkara sinonim yang sering kita dengar adalah cukur rambut bayi dan juga aqiqah, betul tak? Walaupun begitu, samada yang sudah berkahwin ataupun belum, pasti ada yang tidak tahu mengenai aqiqah secara menyeluruh.
Sejauh manakah adat bercukur bayi baru lahir yang diwarisi sejak turun temurun oleh masyarakat Melayu di negara ini selari dengan syariat Islam?
Tidak mengapa jika tidak tahu, asalkan ada rasa nak tahu dan melakukannya dengan cara yang betul mengikut sunnah. Berikut merupakan beberapa persoalan yang sering ditanya apabila berkaitan dengan cukur rambut bayi.
1. Kenapa kena cukur rambut bayi yang baru lahir? Penting ke?
Ada bayi yang dilahirkan dengan rambut yang sihat dan lebat. Pasti Mama dan Papa rasa sayang sangat nak cukur rambut bayi kan?
Tahukah anda, tujuan mencukur rambut bayi adalah untuk menjaga kebersihan dan memastikan si kecil bebas dari penyakit.
Ia bagi membuang rambut bayi yang pernah diselaputi darah semasa dalam kandungan dan proses kelahiran.
2. Bila saya nak kena cukur?
Hadis Cukur Rambut Bayi
Dari Samurah ibn Jundub, Rasulullah s.a.w. berkata,
Setiap anak tertebus dengan aqiqahnya, korban dilakukan atas namanya pada hari ketujuh, dicukur kepala dan diberi nama.
Hadith Sunan Abu Dawud 2838 (Sahih al-Albani)
Berdasarkan perkongsian di laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ibu bapa hendaklah mencukur rambut bayi sehingga botak dan sunat dicukur pada hari ke-7 selepas dilahirkan.
Tetapi kalau tidak boleh, ia masih boleh dilakukan pada hari lain. Buat pada hari ke 7 bukanlah wajib tetapi hanya sunat ya Mama.
3. Apakah cara-cara untuk cukur rambut bayi?
Bagi ibu bapa yang baru nak mencuba cukur kepala bayi, anda boleh mengikuti langkah-langkah di bawah:
- Ambil 1 bekas berisi air.
- Basahkan kepala bayi dan gunakan sedikit syampu rambut bayi.
- Gunakan pencukur rambut yang baru dan tajam.
- Setiap kali cukur, celupkan pencukur ke dalam bekas berisi air tadi.
- Selepas selesai, lap kepala bayi dan sapu bedak sejuk.
4. Ada manfaat atau kebaikan ke mencukur rambut bayi ni?
Berikut adalah 5 kelebihan mencukur rambut bayi dari sudut kesihatan yang mungkin anda belum tahu.
1. MEMBERSIHKAN KULIT KEPALA BAYI
Sewaktu bayi dilahirkan, bayi melalui jalan lahir atau rahim yang turut membawa kotoran dan lemak ibu. Secara tidak langsung, sisa ini tertempel pada kulit kepala bayi.
Dari pandangan kasar, mungkin kita tidak dapat melihat dengan teliti apa yang terlekat pada kulit kepala bayi. Maka, sisa ini dapat dibersihkan secara lebih menyeluruh apabila rambutnya dicukur hingga botak.
2. MUDAH MENGESAN MASALAH KULIT KEPALA
Selain itu, kulit bayi yang sensitif juga mungkin menyebabkan bayi berpeluh, menggaru, dan seterusnya menimbulkan iritasi, luka, bisul, dan sebagainya.
Jika ia tertutup di bawah rambut bayi yang tebal, barangkali ianya sudah menjadi lebih teruk apabila kita mengesannya.
3. MENJADIKAN BAYI LEBIH SELESA
Satu lagi kelebihan mencukur rambut bayi adalah supaya mereka berasa lebih selesa. Memandangkan cuaca panas dan lembap di negara kita, kebanyakan bayi memang cenderung untuk berpeluh dengan banyak.
Bayi yang masih kecil dan belum pandai meniarap akan selalu berbaring dan tidur, lalu menyebabkan mereka berpeluh terutamanya dibahagian kepala.
Penglihatan si manja juga tidak terganggu kerana anda telah mencukur rambutnya yang panjang.
4. MENGELAKKAN ‘CRADLE CAP’
Sesetengah bayi mengalami masalah kerak kepala (cradle cap) yang ditandai dengan kerak kepala berwarna kekuningan dan agak berminyak.
Apabila rambut dicukur, lebih mudah ibu bapa memantau keadaan kesihatan pada kepala anak. Walau bagaimanapun, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor sekiranya kulit anak bersifat terlalu sensitif dan dikhuatiri menyebabkan luka kepala apabila dicukur.
5. MUDAH DIURUS
Walaupun tidak semua kajian menunjukkan rambut bayi yang tumbuh selepas dicukur adalah lebih lebat, tetapi ramai berpendapat rambut si manja menjadi lebih mudah untuk diuruskan.
Anda juga boleh memberi urutan lembut pada kepala bayi bagi meningkatkan aliran darah ke kepala. Menurut laman web Healthline, tindakan ini mampu menggalakkan pertumbuhan rambut bayi dengan lebih cepat.
Selain itu, untuk memastikan rambut bayi tumbuh sekata selepas dicukur, galakkan proses meniarap atau ‘tummy time’ setiap hari.
5. Boleh tak kongsikan tips-tips berguna untuk cukur rambut si manja?
Tips Mencukur Rambut Bayi
Bagi memastikan kepala bayi tidak terluka semasa mencukur, ada beberapa tips yang anda boleh cuba:
1. Sediakan peralatan yang mencukupi
Pastikan anda menyediakan peralatan yang perlu sebelum anda mula mencukur rambut bayi.
Antara alatan yang perlu:
- Pisau pencukur
- Bekas berisi air
- Tuala
- Bedak sejuk atau bedak bayi
2. Persiapan sebelum mencukur
Sebelum anda mula cukur, pastikan anda telah bersedia.
- Cuci tangan sebelum mencukur.
- Pastikan diri anda tenang dan tidak gementar. Jika anda nervous, bayi anda boleh terkesan tau.
- Pastikan bayi dalam keadaan selesa dan nyaman. Mungkin anda boleh cukur kepala semasa dia sedang tidur atau menyusu.
- Jika bayi sedang berjaga, anda suami isteri perlu bekerjasama. Mungkin seorang boleh pegang bayi dan seorang lagi cukur kepala bayi.
3. Semasa mencukur
Untuk pastikan kepala bayi tidak terluka, anda harus tahu mencukur rambut bayi dengan cara yang betul.
- Jika rambut bayi terlalu lebat, potong dahulu sependek mungkin dengan gunting.
- Mula mencukur dari atas ke bawah.
- Setelah habis rambutnya, rapikan dengan mencukur dari bawah ke atas hingga habis sisa rambut terbuang dan botak kepalanya.
CUKUR DENGAN BERHATI-HATI
Jika anda berhasrat untuk mencukur rambut bayi, pastikan anda menitikberatkan faktor keselamatan dan kebersihan. Ini kerana, ubun-ubun kepala bayi masih lembut dan kulit mereka juga sangat sensitif.
Jangan gopoh-gapah. Adalah lebih baik untuk Mama dan Papa mendapat tunjuk ajar daripada seseorang yang berpengalaman. Dan jika si manja mengalami masalah kulit yang tertentu, dapatkan nasihat doktor sebelum melakukannya.