Seorang wanita di Singapura menjadi buta selepas menerima AestheFill, salah satu jenama dermal fillers. Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan ia kini sedang menyiasat perkara yang berlaku.
Apa yang berlaku, dan bagaimana ia boleh terjadi?
Kejadian yang berlaku pada 29 Julai 2023 lalu melaporkan bahawa wanita tersebut masih muda dan sudah berkahwin, telah menerima suntikan fillers di wajah di sebuah klinik di Redhill, Singapura.
The Straits Times telah melaporkan bahawa doktor yang melakukan suntikan itu adalah jurulatih bertauliah dalam suntikan AestheFill yang digunakan untuk memperbaiki kedutan dan lipatan muka buat sementara waktu. Ianya disuntik terus ke dalam lapisan kulit muka.
Selepas menerima suntikan, wanita itu dilaporkan buta pada kedua-dua matanya. Parvus, syarikat yang mengedarkan AestheFill di Singapura, melaporkan kepada HSA satu insiden saluran darah tersumbat, yang bermaksud kejadian tersebut terjadi mungkin disebabkan saluran darah yang tersumbat.
Mama hati-hati! Nak cantik boleh, tapi kena tahu risiko-risiko prosedur yang Mama ingin jalankan. Tahu tak apa tu dermal filler dan risiko penggunaannya?
Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, Mama Siti akan kongsikan khas buat Mama ATAU Papa yang teringin nak cantik!
Dermal Fillers & Risikonya
Apakah itu Dermal Fillers? Dermal fillers merupakan bahan sintetik yang disuntik ke dalam lapisan dermis (Kulit) untuk memberi sokongan dalam lapisan tersebut. Penggunaan bahan ini adalah meluas dalam bidang kosmetik kerana ia melibatkan prosedur kurang invasif.
Ianya boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu:
- Jenis jangka pendek
- Ejen yang sering digunakan adalah asid hialuronik.
- Asid hialuronik mempunyai saiz partikel yang halus dan bergantung kepada komposisi yang disediakan, ianya boleh digunakan untuk suntikan di lapisan atas atau bawah dermis. Ejen ini akan kekal di dalam lapisan dermis selama 9 hingga 12 bulan. Selepas itu, suntikan perlu diulang semula untuk mendapatkan kesan yang diingini. Kesan hialuronik ini juga boleh dirawat dengan hialuronidase iaitu sejenis enzim yang boleh meleraikan asid tersebut sekiranya terdapat kesan sampingan.
- Jenis kekal
- Contoh ejen jenis kekal adalah seperti “calcium hydroxyapatite”, “polymethylmethacrylate” dan silikon. Ejen-ejen ini apabila disuntik ke dalam lapisan dermis akan kekal sampai bila-bila.
- Ejen jenis ini tidak akan terlerai dengan sendiri dan tidak ada ubat yang boleh meleraikannya. Sekiranya berlaku komplikasi, prosedur untuk membuangnya juga amat susah kerana ia akan melekat pada lapisan dermis.
Komplikasi Penggunaan Dermal Fillers
Dermal filler adalah bahan asing yang disuntik ke dalam tisu kulit seseorang. Ianya boleh menyebabkan benjolan kulit yang tidak sekata, radang kulit, jangkitan kuman, lebam serta pendarahan sekiranya suntikan terlalu dalam.
Saluran darah tersumbat yang mengakibatkan kebutaan biasanya disenaraikan sebagai risiko yang berkemungkinan buruk dalam penggunaan Dermal Fillers.
Khususnya, arahan penggunaan AestheFill menyatakan supaya berhati-hati terhadap suntikan produk ke dalam saluran darah kerana ia boleh menyebabkan tersumbat.
Komplikasi biasa lain yang telah dilaporkan dengan penggunaannya ialah:
- Bengkak
- Kemerahan
- Benjolan timbul di dalam atau di bawah kulit (nodul atau granuloma)
- Pemutihan kulit (berkaitan dengan suntikan ke dalam saluran darah)
- Kekaburan penglihatan sementara.
Ianya juga diklasifikasikan oleh HSA sebagai peranti perubatan Kelas D, yang merupakan kelas risiko tertinggi.
Hukum Cucuk Fillers dan Lain-lain Dalam Islam
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, suntikan pada kawasan rahang agar kelihatan runcing atau segala suntikan pada bahagian wajah agar muka berbentuk V (V-Shape face) bagi tujuan kecantikan adalah dilarang! Hukum rawatan kosmetik bertujuan kecantikan yang boleh menyebabkan pengubahsuaian bentuk ciptaan Allah SWT adalah haram.
Hal ini kerana:
- Mengubah ciptaan ALLAH
- Mengubah ciptaan Allah SWT bermaksud mengubah fitrah yang telah Allah SWT tetapkan pada makhluknya sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-Nya.
- Ini berdasarkan dalil: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.” – Surah an-Nisa’ (119)
- Membahayakan kesihatan
- Berdasarkan dalil: Dan janganlah kamu mencampakkan (diri kamu) dengan tangan-tangan kamu ke arah kebinasaan. – Surah al-Baqarah (195)
Rawatan Alternatif
Kalau Mama nak juga gunakan sebarang jenis fillers, Mama Siti dah ingatkan tau! Bukan dengan kaedah fillers sahaja boleh cantikkan wajah. Berikut pula adalah hukum suntikan kolagen untuk kesihatan kulit.
Kolagen daripada sudut Bahasa ialah: “Protein utama yang terdapat pada tisu penghubung, kulit, tulang dan tulang rawan, yang menghasilkan gelatin apabila direbus.
Dr. Soleh bin Muhamad al-Fawzan menetapkan tiga syarat untuk mengharuskan penggunaan suntikan kolagen pada bahagian-bahagian tubuh badan:
- Hendaklah kolagen tersebut diambil daripada bahan yang suci seperti lembu yang disembelih.
- Hendaklah doktor telah memastikan bahawa tiada mudarat pada suntikan tersebut.
- Hendaklah tujuan suntikan itu adalah untuk merawat keaiban yang bukan asli dan menghilangkan kehodohan, seperti membuang kedutan yang luar biasa. Adapun jika kesan rawatan itu membawa kepada tadlis (penipuan) atau mengubah ciptaan Allah, maka tidak harus, seperti membuang kedutan yang biasa muncul bagi orang-orang yang sudah tua.
Tapi kalau bagi golongan biasa macam Mama Siti ni, mungkin tak mampu nak suntik kolagen dan sebagainya, jadi macam mana nak cantik? Sebenarnya, bagi Mama Siti, semua orang ada kecantikan tersendiri, dan tak perlu mengubah ciptaan yang telah ALLAH kurniakan.
Sebenarnya bagi kebanyakan orang, cukup sekadar pemakanan yang sihat, aktiviti harian yang cergas, dan kesihatan mental dan emosi sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu sangat cantik!
Mama Siti akan kongsikan pelbagai maklumat kesihatan kulit di SINI.