KelabMama

Boleh Makan, Tapi Tak Semua Coklat Itu Bagus Untuk Kanak-kanak. Ini Manfaat Coklat Yang Sebenar

budak perempuan makan coklat

Anak gemar makan coklat?

Ish, risaunya! Nanti rosaklah gigi dia. Macam mana kalau dia berisiko diabetes?

Pasti itu antara kebimbangan yang terlintas di fikiran Mama, bukan? Tak mengapa, kini Mama dah boleh relax kalau anak minta coklat. Cuma pastikan jangan selalu yer?

Sebab apa? Ha, tahukah Mama, amalan makan coklat untuk dalam kuantiti yang betul memberikan kebaikan tersendiri kepada tubuh kanak-kanak!

Eh, tak percayalah! Ok, kalau tak percaya, jom scroll entry menarik ini untuk tahu lebih lanjut mengenai manfaat makan coklat.

Kedengaran macam tak logik kan, tapi itulah fakta yang didedahkan di laman web Hello Doktor dimana kajian mendapati manisan ini mengandungi karbohidrat, protein, lemak, dan vitamin yang baik untuk tumbesaran kanak-kanak.

Selain itu, coklat juga mengandungi antioksidan yang membantu melindungi tubuh daripada radikal bebas. Pada masa sama, ia dapat membantu anak anda melegakan tekanan dan menenteramkan emosi mereka. Malah, antioksidan ini juga mampu membaiki dan menguatkan sistem imunisasi badan si manja.

Mama Siti faham pasti ada antara Mama merasakan kandungan gula dalam coklat sangat manis dan boleh memberi kesan kepada kesihatan si kecil atau masalah ketagihan.

Jika Mama risaukan hal itu, Mama Siti cadangkan Mama mencari coklat yang mempunyai rasa kurang manis atau rendah kandungan gula berbanding coklat biasa. Sebab ia tidak menepis bahawa snek enak ini tetap mengandungi nutrisi baik untuk tubuh kanak-kanak.

Betul, TAK Semua Coklat Untuk Kanak-kanak Itu Memudaratkan

Untuk pengetahuan Mama, kafein yang ada dalam coklat sangat kecil jumlahnya daripada yang ada dalam secawan kopi.

Sebagai contoh, satu auns coklat adalah lima miligram. Sementara, satu cawan kopi mengandungi antara 93 dan 153 miligram kafein secawan.

Jadi, pengambilan coklat dalam kuantiti yang sedikit dan sekali-sekala tidak memudaratkan kesihatan anak anda.

Malah, kandungan magnesium yang ada berupaya membina otot dan menguatkan tulang kanak-kanak. Tenaga dan protein yang ada dalam coklat ini juga baik untuk menambahkan stamina kanak-kanak terutama di peringkat usia mereka yang sedang lasak.

Selain itu, bagi mereka yang berhadapan masalah anak cerewet makan, pemberian coklat seperti secawan coklat panas dikatakan boleh membantu meningkatkan selera makan anak Mama.

Daripada sudut kesihatan gigi pula, Lembaga Koko Malaysia telah melakukan kajian dan menunjukkan salah satu bahan yang ada dalam serbuk koko dapat menghalang pembiakan bakteria daripada membentuk plak gigi. Malah, kandungan fosforus pada coklat dapat menguatkan gigi kanak-kanak.

Selain itu, lemak koko yang merupakan bahan asas dalam pembuatan coklat juga adalah mudah cair di dalam mulut. Jadi, coklat yang dimakan anak anda tidak akan tersimpan lama di dalam mulutnya. Oleh itu, pembentukan plak dapat dicegah.

5 Jenis Coklat Yang Ada di Pasaran

1. Coklat tulen/Couverture

Kredit gambar: Bake Boss

Couverture adalah jenis coklat berkualiti tinggi atau dikenali sebagai coklat tulen. Ia dihasilkan dari campuran massa koko dan lemak koko.

Ia adalah coklat yang berkualti dan harga agak mahal. Namun rumit untuk mengendalikan coklat tulen ini kerana ia mudah cair dan tekstur lelehannya lebih cair berbanding coklat masakan lain. Kebiasaannya digunakan untuk menyaluti biskut, buah potong atau marshmallow ke dalamnya.

2. Coklat compound

Coklat compound adalah sejenis coklat masakan yang digunakan dengan meluas kerana ia lebih mudah dikendalikan dan murah.

Kegunaannya adalah untuk pembuatan konfeksi dan salutan ais krim.

3. Cip coklat

Coklat masakan jenis ini adalah antara yang paling dikenali ramai. Cip coklat biasanya mempunyai kandungan gula yang lebih tinggi dan mentega koko yang kurang supaya ia dapat mengekalkan bentuknya dalam masakan dan menghalangnya daripada menjadi terlalu cair apabila tededah kepada suhu tinggi.

Kerana itulah ia sesuai untuk pembuatan biskut, muffin, kek, dan pelbagai lagi masakan.

4. Cocoa nibs

Berbeza dengan cip coklat, cocoa nibs adalah biji kako mentah yang ditumbuk menjadi cebisan yang lebih kecil. Ada jenis yang telah dipanggang dan ada yang dijual mentah.

Cocoa nibs yang telah dipanggang mempunyai rasa yang lebih sedap (seakan kacang bercoklat), rangup dan amat sesuai digunakan dalam pembuatan biskut, terutamanya jika anda sukakan rasa coklat yang lebih kuat tanpa menambah rasa manis.

5. Serbuk koko

Serbuk koko diperbuat daripada biji koko yang dikeringkan lalu diproses hingga menjadi serbuk.

Biasanya serbuk coklat digunakan sebagai bahan pembuatan kek atau dijadikan minuman.

Bagi yang tertanya-tanya kategori coklat manakah sering dibeli di pasaran dan dimakan begitu sahaja. Jawapannya adalah coklat yang kelima iaitu koko.

Coklat bar yang kebiasaannya dibeli di kedai dan boleh terus dinikmati dihasilkan daripada campuran koko, gula dan susu.

Koko mempunyai kandungan baik yang tersendiri dan kerana itu kalau Mama perasan, koko juga digunakan sebagai serbuk untuk hasilkan air coklat.

Pelbagai jenama air coklat kini dijual yang dikatakan baik untuk kanak-kanak kan? Kesimpulannya, kebaikan koko memang terbukti kepada tubuh anak kita, jadi tak perlulah risau kalau anak-anak minta coklat lepas ni kan Mama?

Cuma, pantau kuantiti pengambilan coklat untuk kanak-kanak. Untuk tempoh sekali-sekala, ia boleh memberikan manfaat untuk si anak itu sendiri.


Dapatkan tips pemakanan dan kesihatan kanak-kanak yang lain di SINI.