Membaca buku sebelum tidur mempunyai banyak kesan positif kepada anak-anak di awal usia mereka. Salah satu kelebihan membacakan buku cerita kepada anak-anak ialah memperbanyakkan kosa kata dan memperkenalkan perihal emosi kepada mereka.
Anak-anak yang dibacakan buku sama ada sebelum tidur atau di waktu lain lebih cenderung menguasai pelbagai perkataan baru yang jarang digunakan dalam perbualan seharian.
Buku cerita selalunya mempunyai elemen emosi dan perasaan. Melalui watak dan jalan cerita, anak-anak belajar mengenali emosi serta cara mengendalikannya.
Namun perlu diingat, proses ini mengambil masa. Mama tidak boleh berputus asa selepas tiga kali percubaan membacakan buku sebelum tidur bersama anak-anak. Terus melakukannya walaupun mereka belum menunjukkan minat.
Senarai Cerita Sebelum Tidur Untuk Kanak Kanak Yang Menarik
#1 Kisah Si Luncai
Alkisahnya, Si Luncai seorang miskin dari hujung kampung begitu ingin menatap sendiri wajah rajanya. Namun, biarpun telah beberapa kali mencuba, hasratnya gagal disebabkan wajahnya yang buruk serta tidak mempunyai pakaian yang sesuai untuk mengadap raja.
Pada suatu hari, dia berjaya masuk ke istana dan mengadap raja. Malangnya, ketika menghadap raja, terluncur kata dari mulutnya bahawa muka raja mirip wajah arwah bapanya.
Raja yang zalim itu terasa dipersendakan. Baginya, mukanya tidak sekali-kali boleh disamakan dengan rakyat biasa, apatah lagi dengan muka arwah bapa Si Luncai yang miskin dan dipandang hina itu.
Tanpa mempertimbangkan perkara ini dengan adil dan teliti, raja menjatuhkan hukuman nyawa kepada Si Luncai. Si Luncai bakal ditenggelamkan ke tengah laut.
Pesuruh raja pun bersiaplah membawa Si Luncai ke dalam perahu untuk dibawa ke tengah laut kerana Si Luncai akan dibuang ke dalam laut itu nanti. Si Luncai telah dimasukkan ke dalam sebuah guni dan dipikul ke pangkalan.
Apabila sekaliannya telah siap, maka perahu itu pun didayung ke tengah laut. Dari dalam guni itu Si Luncai dapat melihat beberapa biji labu air terdapat di dalam perahu. Setelah lama mereka berkayuh, maka Si Luncai berkata “kasihan benar aku melihat kamu semua terlalu teruk mendayung. Mahukah kamu semua jika aku ajarkan lagu untuk menghilangkan penat kamu semua itu?”
Salah seorang daripada mereka berkata; “Diamlah kamu, sebentar lagi kamu akan dicampakkan ke dalam laut ini”. Mendengar kata-kata yang sedemikian itu, maka Si Luncai pun menyanyilah. “Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!”
Mendengar Si Luncai menyanyi itu, pesuruh raja itu mula tertarik dan beberapa orang pendayung mula menyanyi: “Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”
Maka beberapa orang yang lain pun menyambut nyanyian itu “Biarkan! Biarkan!” Akhirnya mereka menjadi dua kumpulan menyanyikan lagu itu.
“Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”
“Biarkan! Biarkan!”
Demikian lagu itu dinyanyikan berulang-ulang hingga semuanya leka.
Melihatkan keadaan itu, maka Si Luncai pun keluar dari guni dan dia mengisikan beberapa biji labu ke dalam guni itu dan kemudian dia mengambil dua biji labu yang lain lalu terjun dari perahu itu.
Perbuatan Si Luncai terjun dengan labu-labunya dilihat oleh sekumpulan pendayung di bahagian belakang dan berteriak ‘Si Luncai terjun dengan labu-labunya” untuk memberitahu bahawa Si Luncai telah berjaya melepaskan diri.
Namun, teriakan itu pula disambut dengan ‘biarkan biarkan’ oleh pendayung di hadapan kerana menyangka bahawa itu adalah sebahagian lirik lagu yang mereka nyanyian.
Si Luncai berenang ke tepian menggunakan pelampung labu air yang dua biji itu.
Apabila sampai ke tengah laut, kumpulan pendayung di hadapan baru menyedari bahawa Si Luncai telah berjaya melepaskan diri. Maka kembali ke darat dan mencari Si Luncai.
Pengajaran
- Kita mestilah menjaga tutur kata. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
- Si Luncai mempunyai kekurangan dari segi rupa dan harta namun dia dikurniakan akal yang bijak. Jadi, sebagai manusia jangan sesekali merendahkan kebolehan diri sendiri. Jadilah berani dan bijak.
#2 Tikus Bermesyuarat
Di dalam sebuah rumah, tinggal sekumpulan tikus. Semua tikus itu hidup aman dan bahagia. Mereka selalu dapat mencuri makanan. Mereka tidak pernah berasa risau tentang makanan. Mereka selalu dapat makan sehingga kenyang.
Pada suatu hari, tuan rumah itu membawa pulang seekor kucing. Kucing itu besar dan garang. Tuan rumah itu memelihara kucing tersebut. Semua tikus berasa sangat susah hati. Mereka takut pada kucing itu. Mereka tidak bebas mencari makanan seperti dahulu lagi.
Pada suatu hari, semua tikus itu bermesyuarat. Salah seekor tikus berkata, “Kita gantungkan loceng pada leher kucing itu.” Semua tikus bersetuju. Mereka sangat gembira dengan cadangan itu.
“Kalau kucing itu datang, loceng di lehernya akan berbunyi. Kita boleh lari. Kita akan selamat,” kata mereka. “Tetapi siapakah yang berani pergi gantungkan loceng itu?” tanya seekor tikus lagi.
Tiada siapa yang berani menjawab soalan itu. Tiada siapa yang berani pergi menggantungkan loceng itu. Akhirnya, mereka terpaksa berpindah dari situ.
Pengajaran
- Perancangan tidak akan berjaya tanpa tindakan. Sesuatu perkara mustahil untuk direalisasikan tanpa usaha dan keberanian.
#3 Tali Pinggang Raja Sulaiman
Pada suatu hari, Sang Kancil keluar mencari makanan. Dia merayau-rayau ke sana dan ke mari. Namun, tiada sebarang makanan ditemui.
“Apalah malangnya nasibku hari ini! Tiada apa yang dapat kumakan,” Sang Kancil mengeluh sendiri.
Di pertengahan jalan, Sang Kancil terserempak dengan Sang Sawa. Mujurlah Sang Sawa itu sedang tidur. Kalau tidak tentulah nahas Sang Kancil.
“Mujurlah aku tidak menjadi mangsa Sang Sawa itu,” ujar Sang Kancil dalam hatinya.
Oleh yang demikian, Sang Kancil segera melangkah pergi. Namun, tanpa disangka-sangka, Sang Kancil terserempak pula dengan Sang Belang. Menggigillah Sang Kancil kerana berasa sangat takut.
“Ha, ha, ha!” Sang Belang ketawa. “Sekarang engkau tidak dapat lari lagi. Engkau akan menjadi makananku,” kata Sang Belang.
“Engkau jangan ganggu aku. Raja Sulaiman tentu akan murka pada engkau, wahai Sang Belang!” kata Sang Kancil setelah mendapat suatu akal. Sang Belang terkejut mendengar kata-kata itu. Sang Belang sangat takut pada Raja Sulaiman.
“Mengapakah engkau berkata demikian?” Sang Belang ingin tahu. “Aku sedang menjaga tali pinggang Raja Sulaiman,” jawab Sang Kancil.
Sang Belang tidak percaya. Sang Belang mahu melihat tali pinggang itu. Sang Kancil lalu membawa Sang Belang ke tempat Sang Sawa. “Inilah tali pinggang Raja Sulaiman,” kata Sang Kancil.
Sang Belang ingin memakai tali pinggang itu. Sang Kancil berpura-pura tidak membenarkannya. “Aku tidak peduli!” ujar Sang Belang.
Sang Belang terus memakai tali pinggang itu. Apalagi! Sang Sawa pun terus membelit Sang Belang. “Tolong! Tolong!” Sang Belang meminta tolong. Tetapi sia-sia sahaja. Akhirnya, matilah Sang Belang. Sang Kancil yang cerdik itu sudah lari.
Pengajaran
- Jika berhadapan dengan situasi genting, fikirkan jalan terbaik untuk menyelamatkan diri. Lebih-lebih lagi jika pihak lawan tidak tahu tentang muslihat kita.
#4 Guri Emas
Ada seorang peraih yang mempunyai lima orang anak yang malas bekerja. Pada suatu hari, seorang peladang tua jatuh sakit. Semakin sehari semakin uzur.
Dia tidak dapat bekerja. Pokok kelapa yang tidak dijaga sudah tidak subur lagi. Hasil pendapatan pun berkurangan.
Sebelum peladang itu meninggal dunia, dia berpesan kepada anak-anaknya. Dia menyuruh anak-anaknya mencari guri emas di dalam kebun. Setelah peladang itu meninggal dunia, anak-anaknya berebut-rebut mencari guri tersebut.
Mereka menyangkul di segenap batang pokok kelapa. Diwaktu siang dan malam. Mereka terus menggali di sana sini. Dari sehari ke sehari, mereka terus mencari guri emas itu. Tetapi guri emas itu tidak juga dijumpai.
Dijadikan cerita, pokok kelapa itu bertambah subur dan berbuah lebat. Pada suatu petang, datang peraih ke kebun. Dia membawa lori kerana hendak membeli buah kelapa dalam kuantiti yang banyak.
Hasil tuaian buah kelapa tadi, kelima-lima anak peladang itu mendapat wang yang banyak. Akhirnya mereka mulai sedar rupa-rupanya guri emas itu tidak wujud.
Apa yang bapa mereka mahukan adalah agar mereka rajin bekerja. Semenjak dari itu, mereka pun bekerja dengan lebih keras lagi.
Nota: Guri ialah bekas seperti tempayan yang diisikan emas di dalamnya.
Pengajaran
- Malas ialah sikap yang patut dijauhkan. Apabila kita rajin berusaha, kita akan mendapat hasilnya suatu hari nanti.
#5 Belalang dan Semut
Pada suatu hari, terdapat sebatang pokok tua di mana hidupnya burung hantu yang pemarah dan garang. Terutama jika haiwan lain mengganggu tidurnya pada siang hari. Pada waktu malam, mereka bangun untuk mencari makanan.
#6 Burung Hantu dan Belalang
Pada petang musim panas, burung hantu tidur dengan nyenyak di lubang pokok. Namun, tiba-tiba belalang sedang menyanyi. Burung hantu itu terganggu dan meminta belalang untuk pergi dari situ.
“Hei, pergi kamu dari sini! Tidakkah anda mempunyai adab untuk mengganggu tidur orang tua? “
Namun, belalang itu menjawab dengan nada kasar bahawa dia juga mempunyai hak atas pokok itu. Lalu, dia menyanyi dengan suara yang lebih kuat. Burung hantu itu menyedari bahawa berdebat tidak akan ada gunanya.
Akhirnya, burung hantu memikirkan cara menghukum belalang. Dia juga memusingkan badannya ke lubang pokok dan berkata dengan sangat ramah.
“Hai belalang, jika saya terus bangun saya pasti akan mendengar anda menyanyi. Tetapi disini tidak ada makanan atau minuman untuk anda. Apa kata anda datang ke sarang saya agar saya boleh hidangkan minuman”.
Akhirnya, belalang termakan hasutan dan pujian burung hantu. Dia melompat ke sarang burung hantu dan burung hantu pun segera menerkam dan memakan belalang itu.
Pengajaran
- Hidup bermasyarakat memerlukan kita mengamalkan sikap bertimbang rasa. Janganlah sesuka hati melakukan apa sahaja tanpa memikirkan keadaan orang lain.
- Setiap orang ada hak untuk dihormati sama ada yang muda atau yang tua. Kita mestilah saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Jaga tutur kata dan adab walau dengan siapa pun kita bercakap.
#7 Orang Bodoh dan Keldai
Suatu hari, seorang lelaki dengan anak lelakinya sedang berjalan sambil memimpin keldai mereka ke pasar. Mereka menemui seorang lelaki yang berkata,
“Kamu bodoh, ada keldai mengapa kamu berjalan?” Lalu Si Ayah pun meminta anaknya menaiki keldai itu dan mereka meneruskan perjalanan.
Tidak lama kemudian, mereka bertemu lelaki lain. Kali ini lelaki itu berkata,
“Kamu anak yang pemalas. Mengapa kamu menunggang keldai sedangkan Si Ayah dibiarkan berjalan? ” Akhirnya, si ayah meminta anaknya turun. Kini gilirannya pula menunggang keldai sementara anaknya berjalan.
Tidak jauh, mereka bertemu sekumpulan wanita yang saling berbisik, “Anak yang malang. Ayahnya menunggang keldai sambil berjalan. ” Bingung dengan apa yang harus dilakukan, akhirnya si ayah mengajak anaknya menaiki haiwan kesayangannya.
Sekali lagi, mereka bertemu dengan penduduk setempat yang mengejek, “Bukankah kalian berdua malu membuat keldai malang itu menanggung tubuh besarmu?”
Bapa dan anak lelaki turun. Setelah banyak berfikir, mereka akhirnya memutuskan untuk mengikat kaki keldai ke tiang. Mereka berdua kemudian meneruskan perjalanan sambil membawa tiang dan keldai.
Orang-orang yang lalu-lalang menertawakan kebodohan mereka. Tiba di jambatan, ikatan kaki keldai menjadi longgar. Keadaan itu mengakibatkan keldai jatuh ke sungai dan akhirnya lemas. Bapa dan anak kehilangan keldai mereka selama-lamanya.
Pengajaran
- Kadang-kala orang akan menghakimi tanpa mengetahui hal sebenar seseorang. Namun, selagi kita mengetahui tujuan sesuatu perbuatan itu, maka kata-kata dari orang sekeliling seharusnya tidak memberi apa-apa kesan ke atas diri kita.
- Kita hendaklah bijak menepis komen dari persekitaran. Terima lah komen yang mampu memperbaiki kualiti diri. Di samping itu, komen yang negatif pula tidak perlu kita ambil peduli.
#8 Pengembala biri-biri dan Serigala
Pada zaman dahulu, tinggal seorang budak lelaki di sebuah kampung. Setiap hari dia bekerja menjaga kambing biri-biri tuannya di hutan.
Memandangkan dia terus melakukan aktiviti yang sama, dia merasa bosan. Suatu hari, dia terfikir untuk mengerjakan orang kampung sebagai hiburan. Dia berlari ke arah desa sambil menjerit ketakutan,
“Ada serigala! Ada serigala! “
Seperti yang dijangkakan, penduduk setempat berlari ke arah pinggir hutan untuk menghalau serigala itu. Tetapi ketika mereka sampai di sana, sama sekali tidak ada serigala. Sebaliknya, lelaki gembala itu ketawa terbahak-bahak. Mereka mulai sedar bahawa mereka telah ditipu.
Beberapa hari kemudian, budak itu sekali lagi membuat helah. Sekali lagi penduduk kampung berlari ke pinggir hutan. Namun, mereka ditipu kali kedua. Mereka pulang ke rumah sambil bersungut-sungut.
Suatu hari pada waktu petang, tiba-tiba seekor serigala muncul dari hutan. Kanak-kanak itu menjerit ketakutan seraya meminta pertolongan. Tetapi kali ini, penduduk kampung tidak mahu mempercayainya kerana berfikir budak pengembala itu hanya ingin bermain-main sahaja.
Tiada siapa datang membantu. Akibatnya serigala dengan bebas membunuh dan memakan semua biri-biri. Sementara itu, budak lelaki tersebut hanya dapat menonton dari kejauhan dan bingung tentang apa yang harus dikatakan kepada tuannya.
Pengajaran
- Kepercayaan ialah satu hal yang sangat berharga. Apabila ia dikhianati, tiada apa lagi yang boleh mengembalikannya.
- Jangan sesekali menipu kerana perbuatan itu akan memakan diri suatu hari nanti.
#9 Kerbau dan Lembu
Suatu ketika dahulu, ada kerbau dan lembu yang berkawan baik. Kulit lembu berwarna hitam kecoklatan manakala kerbau berwarna putih.
Suatu hari, seorang pendatang baru datang ke padang rumput, dia adalah lembu dengan tanduk runcing. Dia kelihatan sangat tampan hingga membuat banyak haiwan kagum dengannya.
Berita mengenai lembu gagah ini tersebar dengan sangat cepat. Dia menjadi bualan ramai. Lembu yang berwarna hitam kecoklatan itu tidak begitu peduli. Kerbau pula merasa cemburu pada lembu jantan itu.
Dia berkata, “Apa yang hebat dari dia? Saya juga mempunyai tanduk besar dan runcing. Badan juga kacak. Cuma warna kulitnya berbeza. Sekiranya kulit saya hitam, saya akan lebih jantan daripada lembu jantan ”.
Dia juga mempunyai idea untuk menukar warna kulitnya. Dia mendatangi lembu yang sedang berendam di sungai lalu menggoda agar dia menukar kulitnya. Namun, lembu itu masih enggan kerana dia bersyukur atas nikmat Tuhan.
Kerbau masih memujuk lembu dan meminta-minta atas nama persahabatan. Lembu itu akhirnya kasihan dan sanggup menukar warna kulit. Namun, lembu itu memberi syarat bahawa setelah bertukar, kerbau mesti bersyukur dengan apa yang dia ada. Tanpa berfikir, kerbau akhirnya bersetuju.
Akhirnya mereka menukar kulit, tetapi ternyata kulit lembu terlalu kecil dan sempit untuk kerbau besar. Supaya pakaian terasa ketat. Sementara kulit kerbau dipakai oleh lembu yang besar. Kerana mereka merasa tidak selesa dengan kulit, kerbau kembali mengajak lembu untuk bertukar. Namun, lembu itu tidak mahu.
Kerbau merayu kepada lembu untuk menukar kulit di mana sahaja mereka bertemu. Namun, lembu yang masih tidak mahu bertukar. Akhirnya, kerbau itu menyesal kerana tidak bersyukur dengan apa yang dia dapat dari Tuhannya. Walaupun ia adalah yang terbaik untuknya.
Pengajaran
- Setiap dari makhluk di dunia diciptakan dengan keistimewaan masing-masing. Apa yang indah di mata orang lain belum tentu cantik pada diri sendiri.
- Kita hendaklah selalu menerapkan amalan bersyukur atas setiap kurniaan Tuhan. Amalan membanding-bandingkan dengan orang lain hanya membuatkan seseorang merasa diri mereka serba kekurangan.
#10 Anjing Yang Tamak
Bacakan Untuk Anak-anak Ya Mama!
Terdapat banyak kisah yang boleh dibacakan kepada anak-anak sebelum mereka tidur. Namun kita perlu pastikan cerita terdapat pengajaran diselitkan dalam setiap cerita tersebut.
Kita perlu manfaatkan setiap masa yang ada sebagai peluang untuk kita mengajarkan sesuatu yang bermakna buat mereka. Kanak-kanak boleh belajar dalam pelbagai cara, tidak semestinya semasa dalam bilik darjah.
Ingat tak apa yang Mama Siti cakap awal-awal tadi?
Sesi bercerita atau membaca buku secara nyaring membantu kanak-kanak menguasai kosa kata baru serta mendedahkan mereka tentang pelbagai jenis emosi manusia.
Mama Siti seronok sangat kalau Mama bacakan cerita-cerita pilihan Mama Siti di atas. Watak, jalan cerita dan pengajaran dari setiap cerita bersesuaian untuk bahan bacaan sebelum tidur.
Semoga Mama terus sabar dan jangan putus asa bacakan kisah menarik buat anak-anak sebelum tidur ya.
Tingkatkan perkembangan anak Mama dengan pelbagai tips dan nasihat berguna DI SINI.