Definisi sunyi bagi seorang anak gadis yang tidak pernah berkahwin tidak sampai beberapa peratus berbanding kesunyian seorang wanita yang pernah berkahwin lalu keseorangan. Analoginya sama dengan keadaan ketika kita memperoleh sesuatu yang amat berharga. Kita perlu dan kita sayanginya sepenuh hati lalu kita kehilangan sedangkan kita sudah terbiasa memilikinya. Separuh hati kita telah pergi. Sebahagian daripada tubuh yang melengkapi kita telah tiada. Lalu siapa yang akan melakukan banyak perkara yang selama ini dilakukan sebahagian daripada tubuh kita itu? Hebatnya dugaan kerana wanita itu pernah melalui fasa hidup yang dipenuhi hilai tawa dan kasih mesra seorang teman dalam suatu tempoh yang mungkin sekali panjang dalam hidupnya. Lebih hebat sekiranya dalam perhubungan itu telah lahir zuriat yang diharapkan menjadi pengikat kasih sehingga hujung usia.
Soalnya, bagaimana menjadi seorang ibu tunggal yang tidak bodoh dan tidak merisikokan diri sendiri serta masa depan zuriatnya? Situasi peralihan di mana seseorang wanita itu mengetahui dia keseorangan, baik bercerai hidup atau bercerai mati adalah situasi di mana fikirannya lebih hebat teruji bak dilanda strok. Tentu sekali dia sering tersekat membuat tafsiran mengenai pandangan dan penerimaan individu sekelilingnya. Dalam keserabutan yang maha luas tika mengawal pergolakan hati, mampukah seorang ibu tunggal membuat perhitungan yang tidak memakan diri?
TIDAK HIDUP KERANA LELAKI
- Manusia yang paling penting dalam hidup seorang ibu tunggal ialah anak-anaknya. Namun, ibu tunggal perlu cekap untuk tidak mendahului kepentingan diri dan hati berbanding kepentingan anak-anaknya. Dengan kata lain, jangan sesekali dalam keadaan apa jua pun, membiarkan anak-anak bersendirian dengan seorang lelaki yang dipercayai seratus peratus.
- Terlalu banyak kes di mana kanak-kanak dibunuh dan/atau didera kerana ibunya tanpa berfikir panjang, meninggalkan anak-anak dengan lelaki yang dikatakan teman. Si ibu tunggal yang gagal sering kali tewas dengan helah lelaki yang mudah sahaja mengambil kesempatan di atas kekalutan yang melanda.
- Ibu tunggal yang bijak haruslah meletakkan sedikit curiga terhadap orang lain, lebih-lebih lagi lelaki baru dikenali.
- Menjadi seorang ibu bukan sekadar menjaga makan dan pakaian anak-anak. Luangkan masa untuk mengenali mereka dengan lebih dekat. Mereka adalah cahaya mata yang memerlukan perhatian tidak berbelah bagi. Tanyalah pendapat mereka tentang sesuatu perkara yang berlaku. Jika mereka masih bayi atau kanak-kanak, ajaklah mereka berbual mengenai rutin harian mereka. Biarkan mereka berkata-kata sehingga mungkin sekali mereka meluahkan apa yang terbuku di hati.
- Kanak-kanak adalah penyimpan perasaan paling bijak. Daripada perbuatan dan perilakunya, mereka cenderung menyampaikan apa yang tersimpan dan anda perlu sama-sama bijak membuat tafsiran.
MENJATUHKAN MARUAH BEKAS SUAMI
- Cenderung mengingati dan mengimbau kisah perit dalam hidup itu menjadi perkara normal dalam jiwa seorang wanita yang sarat dengan kecelaruan. Usah biar perkara itu menghambat kebahagiaan yang sepatutnya anda raih setelah sekian lama menderita.
- Sebagai ibu tunggal, sikap berhati-hati agar tidak menghina dan mencaci bekas suami di hadapan anak-anak perlu dilakukan. Ini penting agar anak-anak tidak berasa rendah diri atas keburukan ayahnya dan supaya mereka tidak berasa sebagai pembawa masalah dalam hidup si ibu.
- Perbuatan menengking dan memarahi anak-anak di khalayak ramai juga boleh merendahkan maruah anak-anak dan menyebabkan mereka menjadi sangat pemalu dan akan menjauhkan diri dari tempat awam.
- Bagi mereka yang berada di sekeliling kehidupan si ibu tunggal, belajarlah untuk menjadi seorang yang amat memahami. Berat mata memandang, berat lagi bahu si ibu tunggal menggalas bebanan yang dihadapi. Mereka tidak minta anda masuk ke dalam hidup mereka untuk melihat seratus peratus kesusahan yang mereka alami, cukup sekadar jika anda memberi empati yang tinggi. Usah menuding jari atau mempersoal itu dan ini. Realitinya, anda hanya seorang pemerhati.
Sumber: Sinar Harian