Bercerita tentang meroyan semasa berpantang, Mama Siti teringat kisah seorang rakan yang mana beliau disahkan pospartum depression atau meroyan selepas melahirkan anak sulungnya. Rakan Mama Siti ini merupakan seorang doktor di hospital dan sememangnya teruja dengan kehamilan memandangkan dia dan suami berkahwin agak lewat pada usia pertengahan 30-an.
Namun, lain pula jadinya apabila rakan Mama Siti ini menunjukkan tanda-tanda tidak seronok selepas bergelar ibu. Akibat beberapa kekangan, dia terpaksa berpantang seorang diri tanpa pengawasan keluarga.
Lebih malang apabila permohonan cuti panjang suami tidak diluluskan. Maka si ibu menjalani tempoh berpantang sendirian disamping menjaga bayi kecil hingga sehingga emosinya terabai.
Suami ini juga seorang doktor hospital dan faham-faham sahajalah shif kerja mereka bagaimana. Keluar seawal Subuh dan balik lewat malam.
Bayi mereka pula agak meragam pada awal kelahiran kerana mudah menangis tanpa si ibu tahu apa permintaannya. Kemuncak meroyan apabila si ibu cuba mencekik bayinya dan kejadian itu disaksikan keluarga si ibu yang datang untuk menziarahinya.
Mujur sempat dihalang keluarga!
Ya Mama, meroyan tidak boleh dianggap remeh. Jika tidak dirawat, ia akan bertambah buruk sehingga boleh menyebabkan kehilangan nyawa!
Tanda-tanda Meroyan
Bagaimana nak diagnose sama ada tahap mental mama cenderung kepada risiko meroyan atau berada pada fasa normal? Mari lihat tanda meroyan yang Mama Siti kongsikan:
- Terlalu banyak menangis dan merasa putus asa
- Kurang selera makan
- Emosi sensitif dan menjauhkan diri
- Tidak boleh tidur (insomnia) walau telah dibantu
- Tidak cekap menguruskan diri sendiri
- Halusinasi seakan berada dalam dunia sendiri
- Mendengar ‘bisikan’, cenderung perkara memudaratkan diri dan orang lain
Punca Meroyan Semasa Berpantang
Terdapat beberapa faktor menyebabkan seorang ibu itu meroyan sama ada sifat dirinya yang mudah sensitif ataupun keadaan perubahan sekeliling. Berikut adalah punca yang menyumbang stress kepada si ibu:
1. Tekanan Baharu Yang Diterima
Kebanyakkan wanita berpantang mudah stress adalah kerana kejutan dialami apabila melahirkan anak. Ragam setiap bayi itu berbeza, maka apabila tekanan diterima adalah suatu yang sukar diatasi, ibu ini panik dan seterusnya mudah tertekan.
Dengan luka bersalin yang belum sembuh membataskan pergerakan, semua ini boleh menyumbang kepada faktor stress dan seterusnya meroyan!
2. Tidak Mendapat Sokongan Pasangan
Sesetengah pasangan memang ambil sikap lepas tangan sewaktu isteri dalam tempoh berpantang. Apabila segala beban dipikul si ibu sendirian, maka mereka boleh cenderung kepada tekanan melampau kerana terpaksa menyediakan keperluan si anak.
Sudahlah letih akibat kurang tidur, suami pula tiada di sisi untuk membantu atau mendengar masalah.
3. Keletihan Mental dan Fizikal
Apabila semuanya perlu dilakukan seorang diri, maka si ibu mudah penat dan tak bermaya. Ini yang menyebabkan emosi mereka terganggu dan sangat rapuh!
Dalam keadaan jiwa kacau seperti itu, ibu ini mudah meradang dan sukar mengawal emosi sehinggakan boleh naik angin dengan bayinya sendiri.
Bayangkan seseorang yang dalam keletihan dan bayi pula menangis tak berhenti, kewarasan akal si ibu itu pastinya boleh hilang!
4. Tidak Seronok Sepanjang Berpantang
Antara faktor lain menyebabkan wanita meroyan adalah kerana melalui situasi pantang yang tidak menyeronokkan. Sebagai contoh si ibu terpaksa membuat perkara yang dia tidak gembira, maka boleh menyumbang kepada tekanan.
Ini sering dikaitkan dengan amalan berpantang tradisional yang mengundang kepada masalah si ibu contohnya mengawal jumlah air kosong yang diminum sehingga menyebabkan si ibu mengalami sembelit.
Apabila timbul masalah kesihatan lain, maka bertambahlah tekanan si ibu tadi.
Cara Atasi Meroyan
Sebaik disahkan postpartum depression atau meroyan, apa yang mama perlu lakukan adalah mendapatkan rawatan tepat. Jangan bertangguh sehingga memendam seorang diri!
Pastikan rawatan adalah dari seseorang yang disahkan kepakarannya. Antara rawatan yang akan diberikan oleh pakar kesihatan adalah:
- Psikoterapi
- Ubat-ubatan
- Nasihat bagi menjaga kesihatan diri dan mental
Tujuh Tips Cegah Meroyan Semasa Berpantang
Dek kerana meroyan ini suatu yang merbahaya, mungkin sebaiknya mama cegah atau elak daripada ia berlaku. Antara tips yang Mama Siti boleh kongsikan ialah:
1. Kerap Meluahkan Pada Seseorang Yang Boleh Memahami
Luahan hati adalah kaedah yang paling mudah untuk seseorang melepaskan tekanan. Jika mama rasa resah sepanjang berpantang dan keinginan untuk meluahkan sangat tinggi, cepat-cepatlah cari seseorang yang boleh dikongsi tak kiralah sama ada suami, keluarga atau rakan-rakan. Yang penting dengan individu mama percaya dan selesa.
Adakalanya, bila dah menjadi ibu, kita mahu kongsikan pada seseorang yang juga bergelar ibu kerana merasakan golongan ini lebih faham. It’s okay, just do it Mama!
2. Mencari Info Kesihatan Dalam Menangani Stress
Selain itu, jika mama mudah tension sewaktu melalui fasa berpantang, apa kata mama cari info cara menangani stress di media sosial.
3. Dapatkan Bantuan Pasangan
Ini paling penting mama! Kalau boleh ajak suami sama-sama uruskan bayi. Mama baru lepas melahirkan anak dan pastinya terdapat keadaan membataskan.
Minta suami tolong seperti cuci peralatan bayi, salin diaper si kecil atau sapukan ubat pada luka mama. Peranan suami sangat penting ye bagi wanita yang sedang berpantang.
Ini termasuklah menetapkan beberapa rules mengikut keselesaan Mama contohnya tidak mahu terima tetamu pada waktu malam. Beritahu suami what do’s and don’ts!
4. Dapatkan Tips Menguruskan Bayi Di Internet
Dunia kini di hujung jari! Sebaiknya mama cari ilmu baharu mengenai tips penjagaan bayi. Yang penting ia bahan bacaan yang tepat daripada sumber sahih.
Ragam semua bayi itu berbeza, jadi pastinya setiap kali menempuh detik kelahiran, ia adalah pengalaman baharu buat sang ibu tak kiralah ia merupakan kelahiran yang ke berapa. Mama boleh buat carian di sini!
5. Buat Yang Termampu
Ingat mama apa pun situasi, mama buat sekadar yang termampu ok? Jika mama seseorang yang sangat cerewet tentang kebersihan, mama harus tenang ketika berpantang dan lakukan semampu yang boleh jerr.
Cuba elak untuk sentiasa nampak perfect kerana sepanjang berpantang, mama masih dalam keadaan lemah dan perlu dapatkan bantuan orang sekeliling. Jadi ingat, no need to push to be perfect.
6. Pastikan Rehat Yang Cukup
Ini juga penting mama, ketika berpantang jangan abaikan masa rehat. Pastikan tidur yang cukup dan berkualiti. Badan segar menghasilkan mood ceria. Hasilnya, mama sentiasa bersemangat untuk lalui fasa berpantang dengan baik.
Jika tak larat, it’s ok kalau mama nak serahkan bayi pada orang lain untuk mereka jaga sementara. Mama juga perlukan me time ketika berpantang.
7. Seek Professional Health Sekiranya Emosi Mama Semakin Terganggu
Jika kaedah yang dicadangkan tidak membantu, jangan berlengah untuk dapatkan bantuan pakar! Maklumkan pada jururawat yang datang memeriksa mama sewaktu berpantang atau terus ke klinik berjumpa doktor.
Buat para suami dan ahli keluarga, pastikan anda sentiasa periksa keadaan si ibu selepas bersalin. Jangan biarkan dia keseorangan dan lakukan semua benda sendirian.
Elakkan meroyan semasa berpantang dengan memberi sokongan pada si ibu selagi mampu. Dan buat si ibu, banyakkan bersabar dan jangan ada rasa risau atau gusar untuk luahkan apa sahaja yang anda rasakan.
Dapatkan pelbagai info mengenai kesihatan ibu berpantang di SINI.