“Cik, saya nak hantar pesanan, boleh saya tahu rumah cik yang warna apa?”
Selalu sangat Mama Siti dengar frasa macam ni, lebih-lebih lagi kalau syarikat penghantaran yang pertama kali sampai ke rumah menghantar pesanan yang dibeli secara atas talian. Berbalik kepada perbualan di atas, Mama Siti lalu membalas,
“Ya cik, rumah saya yang warna oren dan putih ya,”
Rupa-rupanya warna cat luar rumah ni penting juga kan. Selain memudahkan urusan orang sampai ke rumah kita, ia juga menambahkan nilai dalam beberapa perkara.
Pertama, mengecat bahagian luar rumah bertujuan memberikan kesan kemasan yang lebih cantik. Kedua, cat di luar rumah bakal memperindahkan lagi persekitaran perumahan. Akhir sekali, ada yang berpendapat warna di luar mendefinisikan keadaan harmoni di dalam rumah. Nak tahu cat luar rumah yang moden dan menjadi pilihan ramai masa kini? Jom lihat senarai di bawah:
10 Cat Luar Rumah Moden & Terkini
- Kuning
Pemilihan warna kuning memberikan kesan emosi ceria kepada penghuni dan orang yang melihatnya. Selain warnanya yang cerah, ia menyerlahkan lagi hiasan luar rumah seperti ruang santai dan tanaman.
Tambahan pula, warna kuning termasuk dalam kategori warna sejuk untuk kediaman Mama.
- Coklat Muda/ Krim/ Ivory
Warna Ivory menampilkan sisi nostalgia rumah tersebut. Ini kerana warnanya yang bertemakan monokrom. Mama boleh gabungkan warna ivory dengan warna putih atau hitam.
- Pic
Secara peribadi, Mama Siti suka warna pic. Lebih-lebih lagi kalau rekaan atap dan bumbungnya dan mozek sepadan dengan tema warna cat di luar rumah. Warna ini boleh ditafsirkan dengan sifat layanan tuan rumah yang ramah.
- Putih
Warna yang sering menjadi pilihan sejak dari dahulu. Kini, dengan rekaan rumah yang moden mampu menaikkan keunikkan rumah minimalis hari ini.
Secara saintifiknya, rumah yang di cat warna putih di bahagian luar mengurangkan bahang panas di dalam rumah. Sesuai dengan iklim di Malaysia.
- Hijau Hutan
Warna hijau hutan lebih cantik di waktu malam. Lagi-lagi kalau ditambah dengan pencahayaan lampu berwarna oren. Perasaan tenang, seolah-olah dikelilingi flora dan fauna.
- Kelabu
Mama risau rumah akan kelihatan kusam dan tenggelam. Cuba lihat semula gambar di atas. Warna kelabu mempunyai unsur klasik. Warna cat luar rumah warna kelabu dikatakan menarik aura nostalgia dan selesa apabila berada di dekat rumah tersebut.
- Merah Bata
Warna yang selalu dijumpai di restoran makan segera. Rupa-rupanya boleh menjadi salah satu warna cat luar rumah moden. Warna merah membuatkan rumah anda lebih menonjol dan elegan dari yang lain.
- Firus (Turquoise)
Firus atau juga mungkin dikenali dengan nama Turquoise ialah warna yang sedang menjadi pilihan pemilihan rumah sekarang ini. Warnanya yang cerah seakan-akan biru dan hijau menjadikan suasana rumah tenang dan sejuk.
- Biru Gelap
Sesuai untuk peminat barangan antik kerana warna ini memaparkan imej vintage untuk cat luar rumah moden. Warna ini termasuk dalam kategori warna lembut. Warna-warna gelap lebih cantik apabila lampu hiasan memainkan peranannya untuk menonjolkan keunikan rumah Mama.
- Hijau Muda
Warna semulajadi diinspirasikan daripada tanaman hijau. Sesuatu yang menarik tentang warna ini ialah ia membawakan mood rileks terhadap mata yang memandangnya. Warnanya mengangkat tema minimalis selari dengan warna-warna cat moden.
Kesimpulannya, warna cat luar rumah moden pada tahun ini menyasarkan kepada warna tunggal. Warna-warna lembut seperti warna kuning dan hijau menjadi salah satu pilihan pemilik rumah di Malaysia.
Rumah akan nampak lebih menawan apabila disesuaikan dengan dekorasi di bahagian laman dan dengan pencahayaan yang tepat. Mama juga boleh sesuaikan dengan design tembok rumah agar tampak lebih menarik.
Cat luar rumah sememangnya berfungsi untuk memperindahkan lagi struktur rumah yang siap dibina. Selain itu, dengan pemilihan yang tepat, warna cat luar rumah mampu memberikan kesan positif kepada isi rumah tersebut.
Walau apa pun pilihan Mama, Mama Siti yakin ianya bukan sekadar kerana warna-warnanya sedang popular. Bagi Mama, warna ada tempat tertentu di hati dan ia mampu mempengaruhi mood seseorang.