KelabMama

Tips & Cara Ukur Saiz Cincin Lelaki & Wanita (Malaysian Size) Yang Betul

cara ukur saiz cincin jari wanita dan lelaki

“Dah lama pakai cincin tapi tak tahu pun saiz cincin apa. Malas pula nak kedai emas semata-mata untuk ukur saiz sahaja.”

Ada tiga cara yang boleh dilakukan untuk mengukur saiz cincin. Oh ya, cincin sebenarnya ada saiznya sendiri. Ia diukur berdasarkan ukuran jari dalam milimeter (m).

Mari, Mama Siti tunjukkan caranya.

5 Petua Cara Ukur Saiz Cincin Sendiri

Kredit gambar: TTT Jewelry

Rahsia untuk dapatkan cincin yang sedap dipakai adalah dengan mengukur jari yang Mama paling selesa memakai cincin. Saiz cincin jari kanan dan kiri mungkin berbeza kerana jari pada tangan dominan akan lebih besar berbanding sebelah lagi. 

Bagi Mama atau Papa yang mempunyai buku jari (knuckle) yang lebih besar dari pangkal jari, disarankan untuk mengambil ½ saiz lebih besar supaya cincin tidak tersangkut.

Dapatkan saiz purata saiz jari Mama dan Papa. Caranya adalah dengan mengambil ukuran sebanyak tiga kali pada jari yang diinginkan. 

Memandangkan jari juga boleh mengembang, ukur saiz jari pada waktu siang ketika waktu lebih panas untuk mendapatkan saiz yang lebih tepat. 

Tahukah Mama? Saiz cincin berbeza mengikut jenis-jenisnya. Cincin belah rotan lebih besar berbanding cincin lain. Kebiasaannya, cincin belah rotan ½ hingga 1 saiz lebih besar berbanding cincin bercorak. 

Carta Tentukan Saiz Cincin Lelaki dan Perempuan

Mama perlu dapatkan ukuran jari dalam bacaan milimeter (mm) kemudian barulah merujuk pada carta atau jadual saiz cincin bagi menentukan saiz cincin masing-masing.

Kredit gambar: era.syok.my

Cara-cara Ukur Saiz Cincin Yang Betul!

Ada tiga cara untuk mengukur saiz jari Mama dan Papa. Kita boleh menentukan saiz cincin hanya dengan menggunakan kertas, pita pengukur dan aplikasi telefon.

Lain kaedah, lain caranya. Jadi, jom kita tengok satu persatu cara yang betul ukur cincin.

#1 Cara Ukur Saiz Cincin Dengan Kertas

  1. Langkah pertama, Mama perlu menyediakan kertas, gunting dan pembaris untuk mengukur saiz jari. 
  2. Ambil kertas dan gunting satu jalur panjang. 
  3. Kemudian, lilit pada jari yang dikehendaki. Contohnya, jari manis. Selepas itu, tandakan pada titik temu kertas dengan menggunakan pensil atau pen. 
  4. Sekarang, buka liitan pada jari Mama. Kita akan ukur panjang kertas yang ditandakan itu menggunakan pembaris. 
  5. Apabila bacaan sudah diperoleh, rujuk carta diameter dan ukur lilit jari bagi menentukan saiz cincin. 

#2 Cara Ukur Saiz Cincin Guna Pita Pengukur

  1. Lilit pita pengukur di jari. Mama bebas memilih mana-mana jari tetapi kebiasaannya cincin dipakai di jari manis. Pastikan selesa iaitu tidak terlalu longar atau ketat. 
  2. Tandakan titik pertemuan pita pengukur. Dapatkan bacaan dalam unit milimeter (mm) dan catatkan. 
  3. Rujuk jadual saiz cincin dan bandingkan dengan saiz jari Mama. 

#3 Ukur Cincin Melalui Aplikasi

@emasanuarhq

semuanya dihujung jarikan? apps ni android boleh iphone pun boleh ok?! ?? #emasanuar #emasanuarpenang

♬ Pretty song that imaged a sleeping baby – Azuline
  1. Muat turun aplikasi ‘Ring Sizer’ di App Store atau Play Store di telefon pintar Mama. 
  2. Dapatkan satu cincin yang Mama selesa pakai. Kemudian, letakkan di skrin telefon. 
  3. Ubah saiz cincin di paparan telefon agar sepadan dengan diameter cincin Mama. Pastikan tepat agar ianya tidak ketat atau longgar ketika membeli nanti. 
  4. Mama boleh terus semak bacaan saiz cincin yang telah tersedia di dalam aplikasi tersebut.    
Kredit gambar: Kompas.com

Tiga kaedah yang dikongsikan itu sangat bermanfaat menurut Mama Siti kerana tak perlu lagi bersusah-payah pergi ke kedai emas semata-mata nak tahu saiz cincin sahaja.

Pastikan Mama ikut tips ukur jari supaya cincin selesa dipakai.


Nak dapatkan tips tunang dan kahwin? Klik di SINI!