KelabMama

10 Cara Tingkatkan Fokus Anak Yang Menarik dan Tak Bosan

Cara Tingkatkan Fokus Anak

“Asyik nak suruh anak fokus tapi tak tunjuk cara tingkatkan fokus anak yang betul”.

Pernyataan itu agak keras tetapi itulah yang berlaku bagi sesetengah ibu bapa di dunia. 

Sebenarnya anak kita masih belajar dan mereka sangat perlukan bantuan dari ahli keluarga cara untuk tingkatkan fokus. 

Jadi, Mama Siti kongsikan 10 cara tingkatkan fokus anak buat Mama yang cakna dengan perkembangan anak-anak. 

10 Cara Tingkatkan Fokus Anak

Kredit gambar: Vista Create

#1 Buat Jadual

Anak-anak cenderung menikmati keadaan yang rutin kerana ia memudahkan mereka mendapatkan jangkaan aktiviti di waktu tertentu. 

Mama Papa boleh buat jadual menggunakan kadbod dan letakkan dalam bilik mereka. 

Buat lajur yang memaparkan maklumat mengenai hari, tarikh, waktu, dan aktiviti yang perlu dilakukan oleh anak.

Jika ada tugasan dari sekolah, catat di ruang yang telah disediakan bersama-sama dengan tarikh akhir atau masa penyerahan.

Jadi, jadual itu berfungsi sebagai peringatan kepada anak-anak untuk menyiapkan tugasan mereka sebelum tarikh penyerahan.

#2 Sesuaikan Dengan Kemampuannya

Terlalu banyak dan terlalu sedikit mempengaruhi fokus mereka. Kenal pasti anak Mama jenis yang mana? 

Jika dia mudah terganggu dengan kerja yang ‘belambak’, agihkan tugas anak sedikit demi sedikit. 

Tetapi jika mereka jenis yang boleh menyelesaikan banyak tugas dalam satu masa, maka Mama boleh berikan semua tugasannya. 

Di setiap tugasan, beri masa rehat untuk anak bermain dan makan snek. 

Anak yang dipaksa buat banyak kerja dalam satu masa cenderung untuk tantrum jika itu tidak mencapai tahap kemampuannya. 

#3 Had Masa

Kredit gambar: plantoys.gr

Lagi cara tingkatkan fokus anak adalah dengan beri had masa untuk setiap tugasan yang perlu diselesaikan. 

Ibu bapa perlu tahu bahawa ‘focus spend’ bagi setiap anak ialah berbeza. Ada yang boleh fokus selama 5 minit, 10 minit atau bahkan kurang dari 4 minit pun ada.

Tetapkan jadual pembelajaran dengan waktu belajar setiap 10 minit dan rehat selama 5 minit. Cara ini ialah adaptasi daripada teknik pomodoro. 

Seiring waktu, Mama Papa akan dapat ‘rentak’ tempoh pembelajaran dan fokus yang terbaik bagi anak-anak semasa melakukan tugasan.

#4 Suasana Belajar Yang Anak Suka

Penting bagi ibu untuk mengetahui cara meningkatkan daya tumpuan anak mengikut kesukaan anak.

Sesetengah anak  boleh menumpukan perhatian di tempat yang sunyi, manakala yang lain boleh menumpukan perhatian semasa mendengar muzik.

Paling utama ialah jangan biarkan anak Mama bersendirian. Sebagai ibu bapa kita kena temankan anak semasa mereka menyelesaikan tugasan

Walaupun begitu, Mama Siti sarankan agar kita tak terlalu masuk campur atau terlibat dalam proses anak siapkan tugasan.

Biarkan mereka buat sendiri dan hanya bantu ketika anak bertanya atau kelihatan sedang runsing. 

#5 Dengan Bermain

Kredit gambar: Fun Teacher Private

Cara tingkatkan fokus anak bukan hanya melalui tugasan sahaja malah Mama juga boleh menggunakan mainan kegemaran mereka sebagai alternatif. 

Contohnya, Mama ajak anak bermain jigsaw puzzle, blok binaan atau kiub rubik. Ini kerana jigsaw puzzle ialah permainan yang memerlukan fokus tinggi kerana perlu memadankan kepingan gambar yang telah terpisah. 

Mulakan permainan jigsaw puzzle dengan 10 keping dan tambah kepada 20 keping apabila anak Mama semakin berminat.

#6 Bersenam/Sukan

Mama juga boleh tingkatkan fokus anak melalui aktiviti sukan bersama-sama seperti berbasikal dan bermain kasut roda.

Jika anak Mama belum boleh menaiki basikal dua roda, gunakan masa ini untuk anak belajar fokus berlatih bersama-sama pada waktu pagi atau petang.

Bermain di luar membuatkan anak rasa segar setelah seharian berada di sekolah atau di rumah. 

#7 Beri Penghargaan

Apabila anak-anak mampu menumpukan perhatian pada sesuatu tugas atau aktiviti, beri penghargaan kepada mereka.

Contohnya, apabila anak siap membuat kerja sekolah atau membasuh pinggan sendiri. Beri pujian kepada mereka seperti; 

“Terima kasih abang sebab siapkan kerja sekolah tepat pada waktunya. Mama bangga dengan abang.”

Secara tak langsung anak sedar yang Mama dan Papa memang betul-betul beri perhatian kepada diri mereka. 

#8 Meditasi/Beribadah (Mindfulness)

Kredit gambar: Kiddocare

Amalan meditasi dan aktiviti ibadah sangat bermanfaat untuk anak kerana ia membantu mereka mengawal pemikiran dan emosi.

Bagi anak yang masih kecil, Mama boleh buat permainan pernafasan mudah dan aktiviti deria (sensory) untuk mengajar konsep asas mindfulness.

Manakala bagi anak yang sudah besar, boleh perkenalkan meditasi mudah atau amalan kesedaran yang lebih berstruktur termasuklah beribadah. 

#9 Rehat Teratur

Kredit gambar: iStock

Keletihan boleh menjejaskan fokus anak, jadi beri mereka rehat secukupnya antara sesi pembelajaran dan aktiviti.

Rehat ialah sangat penting supaya otak boleh berehat dan memperbaharui tenaga. 

Dalam masa yang sama ia membolehkan anak tingkatkan fokus apabila kembali ke tugasan dan aktiviti pembelajaran.

Rehat juga boleh bantu mengurangkan tekanan pada anak melalui aktiviti santai yang dapat mengembalikan ketenangan fikiran. 

#10 Makanan Tingkatkan Fokus

Pastikan Mama menyediakan diet yang seimbang dan pelbagai untuk memastikan anak-anak mendapat nutrisi untuk menyokong cara fokus dan fungsi otak.

Bagi memperkayakan diet anak, beri makanan yang membantunya menumpukan perhatian seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan ikan.

Elakkan juga makanan bergula dan diproses kerana bimbang ia mampu menjejaskan fokus dan tenaga anak Mama.

Kredit gambar: SOA

Jangan pula jadi ibu bapa yang mudah melabel dan marahkan anak bila mereka tak boleh fokus. 

Tetapi jadikan ibu bapa yang boleh diandalkan anak-anak. Ibu bapa yang memberi sokongan dalam proses perkembangan anak-anak. 


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan tips keibubapaan untuk menambahkan ilmu Mama Papa di SINI.