Jangan risau Mama, cara tanam serai di halaman rumah tak renyah pun sebenarnya. Penjagaannya mudah sangat dan tak perlu rutin siram setiap hari pun.
Mama Siti nak kongsikan dua cara tanam serai di rumah. Pertama, tanam dalam pasu. Kedua, tanam terus atas tanah.
Nak tahu tak caranya? Jom kita sama-sama baca artikel ini.
Cara Tanam Serai Yang Mudah di Rumah
#1 Tanam Serai Dalam Pasu
(Cara cepat keluar tunas)
Barang-barang yang diperlukan:
- Bekas rendaman
- Tanah campur
- Pasu
- Serai
- Baja
Cara-cara Semai Pokok Serai
#1 Dapatkan beberapa batang serai sama ada Mama beli di kedai atau bawa dari kampung. Kalau-kalau ada jiran yang baik hati, cuba risik-risik dekat dia. Mana tahu, jiran kita ada banyak bekalan serai.
#2 Mula-mula sekali, potong serai dengan saiz satu inci dari bahagian akarnya. Manakala, bahagian atasnya, Mama boleh buat resepi ayam masak lemak cili api. Jangan dibuang pula ya!
#3 Seterusnya, masukkan ke dalam bekas bersih dan isikan air. Kuantiti air pula tak perlu banyak ya, cukup sekadar akar serai tenggelam.
Nota: Pastikan posisi serai berdiri dan bahagian akar direndam sepenuhnya dalam air.
#4 Sementara tunggu serai bertunas, Mama tambahkan air ke dalam bekas. Sebabnya, akan akan mulai berkurangan diserap oleh akar dan juga kerana kesan penyejatan.
Ingat! Jangan sampai serai Mama berenang sudahlah. Tak menjadi projek tanaman kita nanti.
#5 Dalam 4 hingga 5 hari, serai akan mula keluar tunas anak pokok. Kalau ada yang dah tumbuh dua atau tiga tunas. Mama boleh tanamkan ke tanah dalam pasu.
Cara-cara Pindahkan Serai ke Dalam Pasu
#1 Sediakan pasu dengan saiz 30cm (tinggi) x 30cm (diameter). Serai perlukan saiz yang bersesuaian agar boleh hidup dengan sihat.
Kalau pasul terlalu kecil, Mama perlu selalu siram apabila serai membesar. Itu agak leceh dan perlukan disiplin. Kalau tak, mati pokok serai kita nanti.
Nota: Saiz polibeg minimum yang dicadangkan ialah 16” x 16” .
#2 Tuangkan tanah campur kerana serai perlukan khasiat daripada tanah yang kaya dengan bahan organik. Mama boleh dapatkan di nurseri pokok. Kalau tak pasti, jangan segan silu bertanya kepada petugas di sana.
#3 Benih serai yang kita telah semai sebelum ini akan di ditanam dalam pasu bunga. Tanam pangkal serai sekitar 5cm hingga 10 cm. Batang yang bertunas tak perlu timbus dengan tanah ya.
Setiap satu pasu, Mama boleh tanamkan dua hingga tiga batang serai.
#4 Baja terbaik serai ialah baja organik. Contohnya, tahi ayam dan kompos. Taburkan kira-kira 1 hingga 2 sudu makan setiap dua minggu.
Pastikan juga Mama tak tabur terlalu dekat anak pokok serai. Jarakkan lebih kurang 5cm hingga 10cm jauh.
#2 Cara Tanam Serai Atas Tanah
Tips kalau nak tanam terus di atas tanah, kena gunakan batang serai yang berakar. Caranya ialah melalui rendaman air.
Cara Jadikan Serai Berakar
Tak perlu potong batang serai. Cukup buangkan daun berlebihan dan masukkan dalam bekas rendaman.
Selepas 4 hingga 5 hari, akar akan mula keluar dengan sedikit tunas serai.
Cara Lain Tanam Serai Atas Tanah
- Potong 1 hingga 2 inci dari bahagian akar serai.
- Seterusnya, gali beberapa lubang di tapak penanaman serai dengan jarak 1.5 kaki setiap satu lubang.
- Masukkan 3 hingga 4 batang serai yang berakar dan timbus dengan tanah.
- Untuk pembajaan tanah, ada tiga pilihan untuk pokok serai hidup subur;
- Najis ayam
- NPK 15:15:15
- Air Belacan
Tanah hendaklah dibaja pada setiap dua minggu hinggalah tiba waktu menuai iaitu selepas tiga bulan.
Tanaman Serai Secara Komersial
“Berbaloi kah jadi petani serai ni Mama Siti? “
Boleh lah jana pendapatan sampingan dalam RM 1000 sebulan. Itu kalau tanam di tanah berkeluasan setengah ekar.
Mama Siti pernah tengok dekat televisyen, ada petani serai yang mampu dalam hasil jualan sehingga RM 164 000 semusim.
Selepas tiga bulan, kita dapat melihat hasil berbudi pada tanah. Tak rugi tanam serai dekat rumah. Dapat jimat duit belanja dapur, dapat jadikan aktiviti ‘healing’ juga.
Rumah strata seperti rumah flat dan kondominium boleh manfaatkan balkoni untuk tanam serai dalam pasu. Ya lah, kita mana ada tanah keliling rumah nak tanam pokok kan.
Mama Siti harap sangat usaha penanaman Mama menjadi. Barulah boleh geng dengan Mama Siti. Geng kebun bandar.
Dapatkan lebih banyak maklumat berkaitan dekorasi rumah dan tanaman herba di SINI!