Kaedah terbaik memastikan stok cili kita sentiasa segar adalah dengan menanam pokok cili di rumah.
Cara-cara yang Mama Siti kongsikan ini sesuai untuk Mama yang ada ruang tanah di rumah dan boleh juga diaplikasikan di balkoni.
3 Cara Tanam Pokok Cili Di Rumah
#1 Tanam Cili Dari Biji
- Langkah pertama, Mama perlu dapatkan sebiji pisang. Kemudian, belah pisang kepada dua bahagian tanpa memisahkannya kulit dari isinya.
- Selepas itu, belah pula sebiji cili besar dan keluarkan biji cili dengan berhati-hati menggunakan gunting.
- Letakkan biji cili yang telah dipisahkan ke dalam pisang yang telah dibelah tadi.
Nota: Pisang berfungsi sebagai baja yang menggalakkan pengakaran.
- Seterusnya, gali sedikit ruang dan tanam buah pisang itu. Timbus dengan tanah dan pastikan ianya tertanam secara keseluruhan.
- Siram tanah dengan air yang mencukupi. Tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit. Cukup sekadar membasahi tanah.
- Selepas 10 hari, anak pokok akan mula bercambah. Tempoh ini ialah masa yang sesuai untuk memindahkan anak pokok cili ke pasu yang lebih besar.
- Lakukan rutin menyiram dan baja supaya pokok cili mendapat mendapat nutrien secukupnya.
- Cili besar akan mula tumbuh bermula pada hari ke-65. Manakala pada hari ke-85, cili besar akan berubah menjadi warna merah dan sedia untuk dituai.
#2 Tanam Cili Dalam Botol
- Sediakan satu botol minuman bersaiz besar yang telah dilubangkan. Kemudian, hendaklah diikat dengan tali untuk dijadikan pasu gantung.
- Selepas itu, masukkan tanah nutrien ke dalam botol. Tanam biji benih cili dan siram sebelum diletakan di kawasan cerah.
- Biji benih akan mula bercambah pada hari ke-5. Lakukan rutin menyiram dan membaja supaya cili tumbuh dengan subur.
- Hari ke-25, pokok cili akan bertumbuh besar dan berbunga. Pada hari ke-35, cili telah mula tumbuh di pokok cili.
- Hari ke-40 pula cili mula bertukar kepada warna merah dan matang. Cili sudah boleh dipetik apabila mencapai usia ini.
#3 Petua Cili Berbuah Lebat
Selalu kita dengar kalau nak tanaman menjadi, kena tabur baja. Baja pula ada macam-macam jenis. Yang mana yang terbaik?
Soal mana yang terbaik ini, sebenarnya terpulang kepada pengguna. Ada yang ingin menggunakan baja organik, tapi ada juga yang lebih memilih baja buatan.
Harap-harapnya Mama tak abaikan petua tambahan agar pokok cili berbuah lebat. Kulit telur dan serbuk kunyit antara yang boleh diaplikasikan untuk memperbanyakkan lagi buah cili.
- Jemur kulit telur di bawah panas matahari dan biarkan sehingga kering. Selepas itu, masukkan ke dalam plastik dan tumbuk sehingga hancur. Taburkan kulit telur itu dalam pasu pokok cili.
- Rendam kulit bawang dengan air beras selama 2 hingga 3 hari. Kemudian, siram air rendaman itu ke pokok cili.
- Tabur serbuk cili di sekeliling pokok. Petua ini khusus untuk rawatan daun yang kerinting.
- Petua seterusnya adalah untuk menghalau serangga putih. Caranya, kisar bawang putih dan cili api dengan air. Kemudian, sembur (spray) di kawasan tumpuan serangga.
- Buangkan pucuk daun pokok cili untuk menggalakkan pertumbuhan pucuk baru sekaligus dapat melebatkan cili.
Oleh itu, Mama Siti percaya bahawa cara terbaik untuk memastikan kita sentiasa mempunyai stok cili segar adalah dengan menanam pokok cili di rumah.
Diharapkan perkongsian ini bermanfaat dan memudahkan urusan Mama di dapur.
Dapatkan lebih banyak tips di dapur dan rumah tangga di SINI!