Lumrah manusia senang lupa tentang sesuatu. Padanlah dengan perkataan insan yang diambil dari bahasa arab iaitu ‘nasiya’ bermaksud lupa.
Ketika sedang solat kita juga mungkin boleh terlupa melakukan pergerakan tertentu. Di sinilah sujud sahwi memperelokkan solat. Jom Mama Siti kongsikan cara sujud sahwi yang betul dalam Islam. Mudah je tau!
Apa Itu Sujud Sahwi ?
Sujud sahwi bermaksud kecacatan atau kekurangan di dalam solat sama ada dilakukan secara sengaja atau terlupa.
Sujud sahwi bertujuan menyempurnakan ibadah serta menutup kekurangan dalam solat. Ia dilakukan selepas selesai tahiyat akhir dan sebelum memberi salam pertama.
Bacaan Semasa Sujud Sahwi
Sujud sahwi ada bacaan khusus. Sudah tentu bacaannya tidak seperti sujud dalam solat fardhu dan solat sunat yang biasa kita lakukan.
Semasa sujud sahwi, kita hendaklah membaca;
سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَيَسْهُوْ
Subhana Man Laa Yanaamu Walaa YasHuu
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa”
Hukum Sujud Sahwi
Sujud sahwi sangat dituntut dalam mazhab Syafie. Oleh itu, hukum melakukan sujud sahwi ialah sunat muakkad iaitu amalan sunat yang sangat digalakkan.
Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
Nabi SAW bersolat Zuhur atau Asar bersama dengan kami, kemudian Baginda memberi salam (selepas dua rakaat). Lalu Zul-Yadain bertanya; ‘Wahai Rasulullah, adakah solat telah dikurangkan?’. Nabi SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya: ‘Benarkah apakah yang dikatakannya?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Lalu Baginda bersolat dua rakaat dan setelah itu bersujud sebanyak dua kali. Saad (bin Ibrahim) berkata: ‘Saya melihat ‘Urwah bin al-Zubair bersolat maghrib dua rakaat dan memberi salam. Dia bercakap-cakap, kemudian bersolat rakaat yang tertinggal serta dua kali sujud’. Katanya: ‘Demikianlah yang dilakukan oleh Nabi SAW’
(Sahih al-Bukhari)
Sebab dan Keadaan Perlu Sujud Sahwi
1. Tertinggal Rukun
Jika kita tertinggal satu atau lebih rukun solat, kita perlu sujud sahwi selepas tahiyat akhir. Namun begitu apabila terlupa niat atau takbiratul ihram, solatnya tidak sah dan perlu diulang semula.
2. Tidak Pasti Bilangan Rakaat
Ada kalanya kita hilang fokus semasa solat dan ragu-ragu berapa bilangan rakaat yang telah lengkap.
Contohnya keliru sama ada sedang berada di rakaat ketiga atau keempat. Bagi situasi ini, kita perlu mengira rakaat yang paling sedikit dan lengkapkan solat seperti biasa. Kemudian disambung pula dengan sujud sahwi.
Begitu juga jika kita terlebih rakaat ketika solat.
3. Meninggalkan Sunat Ab’adh
Beberapa perbuatan tertentu di dalam solat seperti:
- Tahiyat awal (pertama)
- Selawat ke atas Nabi SAW dalam tahiyat awal
- Duduk tahiyat / tasyahud awal
- Doa qunut pada rakaat kedua solat subuh dan pada solat witir yang terakhir sejak malam 15 hingga akhir bulan Ramadhan.
- Selawat ke atas Nabi SAW dalam qunut
- Selawat ke atas ahli keluarga Nabi SAW dalam qunut
- Berdiri semasa berqunut
- Selawat ke atas keluarga Nabi dalam tahiyat akhir
4. Melakukan Perkara Yang Dilarang Dalam Solat
Sebagai contoh, kita tidak perasan bercakap beberapa perkataan semasa sedang solat. Selepas tersedar maka lakukanlah sujud sahwi di akhir solat nanti.
5. Melakukan Rukun Bukan Pada Tempatnya
Keadaan dimana seseorang melakukan atau membaca bacaan dalam solat di pergerakkan yang tidak sepatutnya.
Contohnya, membaca al-Fatihah semasa sujud atau membaca tahiyat ketika berdiri.
Cara Sujud Sahwi Yang Betul
Sujud sahwi ialah sujud dua rakaat yang diselangi duduk antara dua sujud. Ia dilakukan selepas bacaan tahiyat akhir dan sebelum salam yang pertama.
#1 Niat
Pada rakaat terakhir kita perlu niatkan dalam hati ingin melakukan sujud sahwi.
#2 Sujud
Sujud Pertama
Selepas membaca tahiyat akhir, kita tidak perlu memberi salah atau mengangkat takbir. Selepas tahiyat akhir, terus sujud dengan membaca bacaan sujud sahwi sebanyak tiga kali.
Kemudian duduk antara dua sujud. Ketika ini, kita boleh diam tanpa membaca apa-apa atau membaca bacaan duduk antara dua sujud.
رب اغْفِرلي وَارْحَمْنِى واجبرني وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِى وَاهْدِنِى وَعَافِنِى وَاعْفُ عَنِّى
Rabbighfirlii , warhamnii , wajburnii , warfa’nii , warzuqnii , wahdinii , wa’aafinii , wa’fuanii
Maksudnya: Ya Allah ampunilah aku, sayangi aku, tutuplah aib-aibku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, berilah aku petunjuk, jadikanlah aku sihat, maafkanlah aku.
Sujud Kedua
Seterusnya, terus sujud yang kedua dengan bacaan sujud sahwi yang sama sebanyak tiga kali.
#3 Salam
Kemudian, bangun dan beri salam seperti biasa dilakukan dalam solat.
Alhamdulillah sujud sahwi kita telah pun lengkap.
Kesimpulannya, sujud sahwi ialah amalan sunat muakkad dan sebagai umat Islam kita diseru untuk melakukannya. Ia membantu kita melengkapkan kekurangan dan kecacatan semasa mendirikan solat.
Tambahan pula, pergerakannya pun sangat mudah dengan bacaan yang ringkas. Dengan panduan cara sujud sahwi yang betul di atas ni, Mama Siti percaya ramai yang boleh lakukannya dengan mudah sekiranya kita PERLU melakukannya.
Semoga dengan usaha menyempurnakan solat fardhu dan solat sunat, kita dapat mencantikkan lagi agama ini. Jom belajar cara berwuduk pula?
Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.