Jarang sekali seorang isteri mengungkapkan keinginannya kepada suami secara berterus-terang. Apatah lagi jika isteri jarang mengeluh, suami akan sentiasa bersangka baik bahawa isterinya tiada masalah. Namun suami harus tahu bahawa gangguan terhadap ketenteraman rumah tangga sebenarnya berpunca daripada ketidaktahuan suami terhadap apa yang diinginkan isteri. Sebenarnya ingin memahami isteri bukanlah sukar kerana yang penting suami harus peka terhadap keinginan isteri.
- JADIKAN ISTERI SATU-SATUNYA WANITA TERISTIMEWA
Ini merupakan perkara yang paling diinginkan isteri terhadap suaminya. Apabila suami menjadikan isteri sebagai satu-satunya wanita paling istimewa dalam dirinya, ini akan menjadi salah satu alasan untuk isteri terus menjalankan rutin hariannya dengan penuh semangat, ceria dan rasa gembira.
- UNGKAPKAN RASA CINTA SETIAP HARI
Ketahuilah bahawa luahan dan tindakan anda mempamerkan rasa cinta, kasih sayang serta belaian merupakan kunci untuk meraih bahagia dalam sesebuah rumah tangga. Tidak perlu keterlaluan mengungkapkan rasa cinta kepada isteri, cukup sekadar suami melakukan dengan gaya yang santai dan tanpa dibuat-buat kerana ia akan lebih menyentuh hati seorang isteri.
- ISTERI PERLUKAN WAKTU REHAT
Sesekali seorang isteri juga memerlukan masa untuk dirinya ‘bebas’ daripada melakukan rutin harian dalam urusan rumah dengan membiarkan isteri berjumpa atau berkumpul dengan teman atau ahli keluarganya. Selain memerlukan rehat daripada melakukan kerja rumah, isteri juga memerlukan jiwa yang sihat untuk terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.
- BERI PENGHARGAAN KEPADA ISTERI
Dalam satu masa isteri banyak memainkan peranan sekali gus membahagikan masa dalam pelbagai perkara rumah tangga. Oleh itu sebagai suami mainkan peranan anda dengan memberikan penghargaan terhadap apa yang telah isteri lakukan, isteri capai atau pandangan yang telah isteri lontarkan. Penghargaan ini boleh suami mulakan dengan ucapan terima kasih, memuji, memeluk hingga memberikan isteri hadiah agar isteri tahu bahawa pengorbanan dan tindakannya itu sentiasa dihargai.
- SENTIASA MEMAHAMI ISTERI
Setiap isteri sentiasa mengharapkan suaminya memahami dirinya dengan cara suami mendengar keluhannya, bersimpati terhadap perasaannya dan membantunya di saat isteri menguruskan hal rumah tangga.
- BERI PERHATIAN TERHADAP ISTERI
Cinta adalah memberi. Pemberian cinta yang pertama adalah perhatian. Sifat semula jadi wanita adalah mereka sangat menghargai setiap waktu yang mereka luangkan bersama suami selain menginginkan perhatian dan fokus sepenuhnya daripada suami. Misalnya saat penampilan isteri berubah dengan mencantikkan dirinya untuk kebahagiaan suami, isteri sangat mengharapkan suami memberikan perhatian terhadap perubahan tersebut dengan respons yang positif. Namun jika suami ambil sambil lewa, isteri merasakan yang dirinya tidak diendah dan terabai. Oleh itu berilah perhatian terhadap isteri walaupun sekejap kerana perhatian ini akan memberi makna yang cukup besar dalam dirinya.
- SENTIASA HULURKAN BANTUAN
Walaupun isteri memiliki kemampuan yang luar biasa iaitu ‘multitasking’, namun isteri bukanlah seorang ‘superwoman’ yang sanggup mengharungi pelbagai perkara tentang perihal rumah tangga seorang diri. Walaupun isteri mungkin jarang mengeluh atau meminta pertolongan suami untuk menguruskan kerja-kerja rumah, ketahuilah bahawa bantuan-bantuan kecil yang suami hulurkan akan membuatkan hati isteri gembira dan rasa bertuah memiliki anda sebagai insan istimewanya.
- MAMPU MERENDAHKAN EGO
Jadilah seorang suami yang dapat merendahkan diri, adil dan sopan dalam melayani isteri. Lelaki sememangnya tidak dapat lari daripada memiliki sifat ego yang tinggi. Namun jangan disebabkan anda ketua keluarga, anda menjadi seorang yang kasar, ego, angkuh dan zalim terhadap isteri. Sentiasalah lemah lembut dalam setiap ungkapan dan tindakan serta jagalah hati isteri agar rumah tangga yang dibina sentiasa mendapat keberkatan.
- MEMILIKI SIFAT HUMOR
Rumah tangga yang sentiasa serius tanpa gelak ketawa tentu membosankan. Ketahuilah bahawa sifat humor merupakan cara yang terbaik untuk memberikan keceriaan dan mengurangkan ketegangan dalam hubungan suami isteri. Sememangnya wanita menyukai lelaki yang memiliki sifat humor sehingga mampu membuatkannya ketawa. Secara tidak langsung gelak ketawa boleh merapatkan lagi hubungan anda berdua.
- TERIMA ISTERI SEADANYA
Tiada pasangan yang tidak dilanda masalah dalam hubungan rumah tangga kerana manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Isteri akan rasa bahagia jika suami dapat menerima diri dia seadanya dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Kekurangan dan kelemahan isteri itu bukanlah untuk dihakimi sebaliknya anda sebagai suami haruslah berusaha membaiki kelemahan tersebut ke arah yang lebih baik.
- INGAT SETIAP MOMEN PENTING
Ini yang sering diabaikan oleh kebanyakan suami iaitu sering melupakan tarikh-tarikh penting anda berdua. Wanita sememangnya seorang yang teliti. Setiap saat yang menggembirakan akan diingati malah hatinya akan gembira jika suaminya turut sama mengingati saat tersebut kerana ia akan rasa dihargai dan disayangi. Oleh itu pastikan suami membuat ‘reminder’ pada telefon anda tentang tarikh-tarikh penting ini.
12.BERI PUJIAN
Setiap pasangan perlu saling memuji dan menghargai antara satu sama lain, terutamanya dalam semua aspek kehidupan, seperti bantu-membantu dalam menguruskan rumah tangga.
- PELUK SELALU
Setiap pasangan suami isteri hendaklah menzahirkan kecintaan melalui pelukan yang mesra antara satu sama lain sekerap mungkin, kerana pelukan menghasilkan kasih sayang yang berterusan.
Sumber: Pesonapengantin.my