KelabMama

Panduan Lengkap Cara Solat Duduk Ibu Mengandung – Mudah & Senang Faham!

cara solat duduk ibu mengandung

Setiap hari akan berlaku perubahan pada fizikal ibu mengandung, apatah lagi jika sedang berada dalam trimester kedua dan trimester akhir.

Setiap kali berlaku perubahan tersebut, banyak perkara yang mengehadkan pergerakan ibu mengandung terutama dalam solat.

Untuk mudahkan ibu hamil menunaikan kewajiban solat, terdapat cara untuk lakukannya seperti dengan cara solat duduk ibu mengandung dan lain-lain keadaan bergantung kepada keupayaan ibu hamil.

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ

Maksudnya:

“Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah berjihad.”

(Riwayat al-Tirmizi 2616)

Seperti yang dapat kita lihat dari maksud sabda Rasulullah S.A.W dari hadis di atas, yang menyebut berkenaan solat iaitu urusan yang utama dalam Islam ialah solat dan berjihad. Dari ayat hadis di atas juga dapat kita sebenarnya dapat lihat betapa pentingnya solat di sisi agama.

Oleh itu, walau dengan apa jua keadaan sekalipun, umat Islam dilarang sama sekali untuk meninggalkan solat. Tetapi macam mana dengan orang sakit, ibu hamil dan mereka yang uzur?

Dalil Mengenai Keizinan Cara Solat Duduk Ibu Mengandung

Kredit gambar: www.halalparenting.com

Islam itu tidak kejam malah, Islam itu sangat mudah. Disebabkan itulah, Allah telah memberikan kemudahan atau keringanan buat mereka yang tidak berupaya untuk solat seperti biasa.

Golongan yang mempunyai keuzuran seperti mereka yang sakit dan wanita mengandung diberi keringanan dan dibenarkan untuk solat secara duduk.

Kelonggaran solat bagi mereka yang uzur boleh dirujuk dari sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (1117). Hadis ini meriwayatkan bahawa Baginda Nabi S.A.W bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya:

“Solatlah secara berdiri, sekiranya kamu tidak mampu, maka (solat) dalam keadaan duduk, sekiranya kamu tidak mampu, maka (solat) dalam keadaan berbaring.”

(Riwayat al-Bukhari 1117)

Ini bermakna seorang wanita yang hamil dibenarkan solat secara duduk tetapi masih perlu manjaga syarat sah solat. Hal ini kerana, fizikal seorang ibu hamil membataskan pergerakan dan kedudukan mereka.

Namun, jika ibu hamil masih boleh untuk solat seperti biasa haruslah dia solat seperti biasa. Hukum solat bagi wanita mengandung masih wajib tetapi hukum solat duduk bagi wanita mengandung adalah afdhal sekiranya tidak dapat melaksanakan ruku’ atau sujud seperti biasa.

Empat Keadaan Tidak Diazab Jika Meninggalkan Solat

Kredit gambar: www.reviewofreligions.org

Walaupun solat itu wajib dan meninggalkannya dengan sengaja akan menerima balasan yang sangat berat di akhirat kelak, namun, terdapat beberapa keadaan yang tidak akan diazab sekiranya meninggalkan solat.

Syeikh Hassan al-Kaf telah menyebut empat keadaan tersebut adalah:

  1. Orang yang ketiduran sebelum masuknya waktu solat dan hanya tersedar selepas waktu solat.
  2. Lupa secara sendiri atau kerana disebabkan sesuatu yang harus. Sekiranya disebabkan suatu yang makruh atau haram seperti mabuk arak dan dadah, tidak termasuk di dalam pengecualian.
  3. Meninggalkan solat untuk dijama’kan pada waktu seterusnya atau sebelumnya telah dijama’kan bagi orang yang bermusafir, atau terlantar kesakitan atau sebab-sebab lain.
  4. Dipaksakan untuk meninggalkan solat dan orang yang dipaksa mestilah cukup syarat-syaratnya untuk dimasukkan di dalam pengecualian ini.

Empat keadaan di atas tidak termasuk wanita hamil dan orang yang sedang uzur. Namun, seperti yang disebut di atas, Islam tidak akan pernah menzalimi umatnya yang mempunyai kepayahan untuk melakukan pergerakan tetentu.

Ini dapat dilihat dari firman Allah SWT yang bermaksud:

فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا

Maksudnya:

“Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya)”

(Surah al-Taghabun:16)

Justeru itu, bagi mereka yang mempunyai keuzuran dan bagi wanita hamil yang sukar untuk menunaikan solat seperti biasa boleh menunaikan solat secara duduk mengikut cara-cara berikut. Cara-cara solat ibu mengandung adalah seperti di bawah.

Panduan Cara Solat Duduk Bagi Ibu Mengandung

Kredit gambar: www.tasneemnaturel.com
Kredit gambar: www.tasneemnaturel.com

#1. Solat Duduk Bagi Ibu Mengandung Hanya Dilakukan Ketika Betul-betul dalam Kesulitan Sahaja

Cara solat duduk bagi ibu mengandung hanya boleh dilakukan sekiranya ibu hamil tersebut benar-benar tidak mampu untuk menunaikan seperti biasa.

Namun terdapat perbezaan pendapat mengenai hal ini. Menurut mazhab Syafi’e, sekiranya ibu tersebut tidak mampu bersujud di atas lantai tetapi mampu solat secara berdiri, maka digalakkan untuk solat secara berdiri.

Menurut pandangan mazhab Hanafi pula, jika tidak mampu bersujud, maka gugurlah kewajipan bagi orang tersebut untuk solat berdiri, jadi boleh menunaikan solat secara duduk sahaja.

Pasti peningkan? Tetapi, menurut JAKIM, mana-mana yang dirasakan mudah boleh diikuti.

#2. Jika Mampu Mulakan Solat dalam Keadaan Berdiri

Cara solat duduk untuk ibu mengandung yang kedua ialah mulakan solat dalam keadaan berdiri sekiranya mampu. Selepas rukuk dan sujud barulah boleh meneruskan solat duduk seperti biasa samada duduk di atas lantai mahupun di duduk di atas kerusi.

Namun, jika keadaan diri betul-betul tidak mengizinkan untuk memulakan dalam keadaan berdiri dibolehkan untuk terus memulakan solat dalam keadaan duduk.

#3. Jika Mampu Berdiri Tidak Boleh Berterusan Duduk

Selain itu, cara solat duduk atas kerusi bagi ibu mengandung termasuklah tidak boleh berterusan duduk di atas kerusi atau atas lantai sekiranya mampu berdiri. Jika melakukan solat secara duduk dan mampu berdiri ruku’ seperti biasa, hendaklah berdiri (untuk iktidal) sebelum ruku’.

#4. Jika Mampu Sujudlah di Lantai

Cara solat ibu mengandung yang seterusnya ialah sujudlah di lantai sekiranya mampu. Tetapi, jika tidak mampu tidak mengapa dan teruskan solat seperti biasa dengan cara duduk.

#5. Solat Secara Baring Mengiring atau Terlentang

Sekiranya tidak mampu untuk tunaikan solat secara solat duduk atas kerusi bagi perempuan mengandung, solat perlu ditunaikan dengan cara baring mengiring atau terlentang. Rukun pergerakan solat dilakukan dengan menggunakan isyarat badan.

Jika badan tidak dapat digerakkan, gunakan kepala, tetapi jika tidak mampu gunakan isyarat mata. Sekiranya masih tidak mampu, solatlah dalalam hati.

#6. Hanya Solat Sunat Sahaja yang Boleh Dilakukan Secara Duduk Bagi yang Mampu Solat Berdiri

Cara solat duduk atas kerusi bagi perempuan yang sihat hanyalah untuk solat sunat. Hal ini kerana, syarat sah solat fardhu adalah berdiri sekiranya mampu.

Kesimpulannya, solat adalah ibadah utama yang sangat penting kepada umat Islam. Walau dalam apa jua keadaan sekalipun solat perlu dilaksanakan.

Dapat dilihat betapa pentingnya solat dan betapa mudahnya Islam ini. Apa yang diperintahkan Allah tidak pernah menyusahkan hambaNya, hanya hambaNya yang susah untuk melakukannya.

Semoga dengan perkongsian ini, kita semua beroleh manfaat.


Dapatkan pelbagai lagi info dan panduan ibadah yang lain di SINI!