KelabMama

Cara Simpan Sayur Agar Tahan Lama – Sayur Hijau, Cili Padi & Barang Basah Lain

Foto Kredit: Shutterstock

Menyimpan sayur dengan cara yang betul akan menjadikannya segar dan selamat untuk dimakan oleh seisi keluarga. MAma juga harus ingat bahawa lain ya cara simpan sayur agar tahan lama dengan cara menyimpan makanan dengan betul.

Sebilangan sayur-sayuran dan buah-buahan perlu disimpan di dalam peti sejuk, yang lain perlu dimasak sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk, dan ada juga yang harus disimpan dengan baik pada suhu bilik atau di tempat kering.

Jadi macam mana nak simpan dengan betul? 

Jom sama-sama ketahui cara simpan sayur hijau dan barang basah lain dengan betul agar tahan lama dan memudahkan penggunaan Mama.

Cara Simpan Sayuran Hijau

Foto Kredit: Shutterstock

Sayuran berdaun tetap segar lebih lama jika direndam, dibilas, dibungkus dengan tuala kertas dan disejukkan dalam bekas atau beg plastik tertutup.

Antara cara yang Mama boleh lakukan ialah dengan mencampurkan sesudu garam atau mengikut kuantiti sayur yang telah dibeli. Tujuan tambah garam dalam air yang digunakan untuk rendaman tadi adalah untuk membuang bahan kimia pada sayur.

Kaedah ini boleh dilakukan pada daun salad, bok choy, kangkung, bayam dan sayuran hijau yang lain.

Walaupun anda membeli sayur-sayuran yang telah siap dicuci, pastikan Mama membilasnya lagi dan cuci dengan bersih apabila anda tiba di rumah.

Cara Simpan Cili

Foto Kredit: Shutterstock

Ini untuk semua penggemar pedas di luar sana. Ada kalanya kita membeli cili hijau atau merah dalam kuantiti yang banyak, tetapi akhirnya bersusah payah untuk mengekalkan keseggarannya bukan?

Apa yang Mama boleh lakukan ialah dengan beberapa cara:

Cili Padi Frozen 

  1. Buang tangkai cili dan basuh bersih. 
  2. Letakkan di atas tisu dapur untuk menyerap lebihan air dan simpan dalam bekas dengan penutup. 
  3. Simpan dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku. 

Apabila hendak menggunakannya, hanya ambil sebanyak mana yang perlu sahaja, dan biarkan di suhu bilik selama beberapa minit sebelum menggunakannya. 

Cili Padi Tahan Sebulan & Tak Busuk 

  1. Buang tangkai cili yang baru dibeli. 
  2. Masukkan ke dalam satu bekas yang siap di alas tisu dan juga berpenutup. 
  3. Letak seulas bawang putih yang siap dikupas di bahagian tengah bekas agar ia tahan lama. 
  4. Tutup bekas tersebut dan masukkan ke dalam peti sejuk.

Menggunakan Aluminium Foil

  1. Masukkan cili ke dalam sebuah pinggan, mangkuk atau bekas dan kemudian tutupkan bekas tersebut dengan aluminium foil dan letak di bahagian sejuk beku selama 6-7 jam.
  2. Kemudian, keluarkan dan simpan cili beku tersebut di dalam bekas kedap udara dan letak di dalam peti sejuk. Dengan cara ini, ia dapat meningkatkan jangka hayat cili padi hijau sehingga 2 bulan lamanya.

Cara Simpan Bawang

Foto Kredit: Shutterstock

Cara menyimpan bawang yang betul adalah dengan meletakkannya di bahagian yang mempunyai pengaliran udara seperti dalam raga kecil. Ketika menyimpannya, Mama juga harus menjauhkan bawang merah daripada sayuran lain supaya bawang tersebut tidak mudah busuk.

Cara Menyimpan Bawang yang Telah Dikupas

Untuk menjimatkan masa memasak, kini lebih ramai yang akan mengupas bawang secara pukal. Cara menyimpan bawang merah atau bawang putih yang dikupas pula perlu lebih cermat kerana ia lebih mudah rosak. 

Jangan basuh lepas dikupas kerana kelembapan boleh menyebabkan bawang tersebut lembik dan cepat rosak. Ia perlu diletakkannya dalam bekas yang kedap udara agar tidak dicemari oleh bahan makanan lain dalam peti sejuk.

Cara Menyimpan Bawang Kisar

Cara menyimpan bawang kisar pula lebih kurang sama dengan bawang yang dikupas, cuma bezanya, anda boleh letakkan sedikit garam dalam bawang yang hendak dikisar. Kemudian simpan dalam peti sejuk atau freezer untuk tahan lebih lama.

Cara Simpan Sotong

Foto Kredit: Shutterstock

Cara untuk menyimpan sotong untuk jangka masa yang panjang adalah dengan membersihkan dan bilas sotong sejurus tiba di rumah.

Kemudian, letakkan di atas pinggan atau di dalam bekas, tutup dengan kain lembap dan kemudian bungkus dengan plastik atau penutupnya. 

Sotong akan cepat membusuk apabila dibiarkan pada suhu bilik. Jadi, segerakan menyimpan sotong yang sudah dibeli ke dalam peti ais untuk melambatkan proses ‘membusuk’.

Simpan di bahagian paling sejuk di dalam peti sejuk dan gunakan dalam masa 2 – 3 hari.

Cara Simpan Udang

Foto Kredit: Shutterstock

Bersihkan dan bilas udang dengan garam sebelum simpan. Sebenarnya, mana-mana cara boleh sama ada cuci dahulu atau simpan terus dalam peti ais. Tetapi, lebih baik bersihkan udang dahulu.

Simpan udang dalam bekas tertutup untuk mengelakkan pencemaran udara dan menghalang pertumbuhan bakteria. Bahagikan udang untuk setiap hidangan agar lebih selamat dan mudah apabila ingin dimasak.

Udang juga seperti sotong iaitu ia akan cepat membusuk apabila dibiarkan pada suhu bilik. Jadi, segerakan simpan udang yang sudah dibeli ke dalam peti ais untuk melambatkan proses ‘membusuk’.

Elakkan kupas kulit udang untuk disimpan dalam peti ais kerana akan mengurangkan kesegarannya. Hanya kupas kulit udang sebelum dimasak sahaja.

Semoga perkongsian cara simpan sayur agar tahan lama ini bermanfaat untuk anda. Lebih baik sekiranya Mama beli barang basah untuk tempoh seminggu dahulu agar bahan kekal segar dan masih baik untuk digunakan.