Bab menyimpan daun ketumbar ini kena ada cara tertentu. Bukan apa, kalau nak dibandingkan daun ketumbar dengan daun herba yang lain, batang ketumbar lebih lembut dari daun sup.
Daun ketumbar pun sangat sensitif kepada air dan kelembapan. Sebab itulah, Mama Siti kongsikan lima cara simpan daun ketumbar supaya tahan lama.
Jom, kita tengok lebih dekat lagi cara-caranya!
5 Cara Simpan Daun Ketumbar Tahan Lama dan Kekal Segar
#1 Plastik Kedap Udara
Tips ini dikongsikan oleh Azlina Arshad di laman kumpulan Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official. Tambahnya lagi, ada yang bertahan sehingga enam bulan dengan penjagaan yang betul.
- Daun ketumbar yang baru dibeli perlu dicuci dengan air bersih. Tujuannya adalah untuk menghilangkan debu tanah yang melekat pada daun ketumbar.
- Selepas itu, biarkan daun ketumbar kering seketika ataupun lapkan dengan tisu kalau nak cepat kering.
- Ada dua pilihan cara penyimpanan daun ketumbar ini. Pertama, potong ikut saiz yang diinginkan ataupun Mama boleh juga masukkan sepokok daun ketumbar bersama-sama akarnya sekali.
- Langkah seterusnya, barulah kita masukkan dalam plastik ‘ziplock’. Tekan sedikit plastik secara perlahan-lahan untuk mengeluarkan udara di dalamnya sebelum ‘seal’.
- Labelkan plastik dengan nama ‘Daun Ketumbar’ supaya tidak tertukar dengan bahan masakan yang lain.
#2 Bekas Kedap Udara
Cara simpan daun ketumbar yang kedua ini sesuai untuk Mama yang ingin menggunakan daun ketumbar dalam masakan kering atau sebagai hiasan masakan.
Menurut Noor Hafiza Mohamad, daun ketumbar yang disimpannya masih elok dan segar walaupun telah sebulan dimasukkan ke dalam peti sejuk.
- Dapatkan satu bekas yang kering dan bersih. Kemudian, terus masukkan daun ketumbar yang baru dibeli dari pasar.
- Tutup bekas dan letakkan ke dalam peti sejuk di bahagian ‘chiller’ iaitu tempat penyimpanan sayur dan makanan lain.
- Periksa daun ketumbar setiap empat hari. Buang daun yang hitam dan lembik jika ada kerana ia akan merebak ke daun-daun yang lain.
#3 Kiub Ais
Cara simpan ketumbar dengan kaedah pembekuan ini sesuai untuk masakan berkuah seperti tom yam dan sup. Kiub ais ketumbar mungkin sesuai jika Mama sering menyediakan makanan dalam saiz hidangan yang kecil.
- Pertama sekali, cuci daun ketumbar dengan air bersih sebaik sahaja balik dari pasaraya.
- Kemudian, potong daun ketumbar kecil-kecil mengikut keinginan Mama dan kesesuaian ‘ice tray’.
- Letakkan semua daun-daun dan akar yang telah dipotong ke dalam ‘ice tray’ yang bersih.
- Isikan air hingga semua daun ketumbar tenggelam dan masukkan ke dalam peti sejuk untuk dibekukan.
- Apabila ia sudah beku, keluarkan kiub daun ketumbar dan pindahkan kiub ke dalam satu bekas supaya mudah untuk memasak nanti.
#4 Beku Dalam Plastik
Alternatif lain kalau Mama tak ada ‘ice tray‘ di rumah, boleh juga menggunakan plastik. Kelebihannya, Mama boleh simpan dengan saiz daun yang lebih besar. Tambahan pula, cara ini lebih sesuai untuk Mama yang selalu menggunakan daun ketumbar dalam kuantiti yang banyak.
- Daun ketumbar yang baru dibeli perlu dicuci dengan air bersih.
- Selepas itu, potong daun ketumbar mengikut saiz plastik. Kelebihan membekukan daun ketumbar dengan plastik ialah saiznya lebih besar berbanding kiub.
- Masukkan ke dalam plastik dan isikan air. Mama Siti cadangkan supaya asingkan akar ketumbar dan daun agar dapat disesuaikan dengan jenis masakan.
- Kemudian, labelkan plastik tersebut dan terus masukkan ke dalam bahagian sejuk beku.
#5 Rendam Akar Ketumbar
Mama nak tahu tak, kalau kena dengan cara peyimpanan dan penjagaan, daun ketumbar yang disimpan dengan cara ini mampu bertahan sehingga dua minggu.
- Langkah pertama ialah Mama perlu sediakan bekas bersih dengan saiz yang bersesuaian mengikut kuantiti daun ketumbar.
- Isikan air ke dalam bekas sehingga keseluruhan akar tenggelam.
- Tutup daun ketumbar dengan plastik dan masukkan ke dalam ‘chiller’ peti sejuk.
- Setiap tiga hari, Mama perlu tukar air dalam bekas supaya akar ketumbar mampu bertahan lama.
Daun ketumbar yang sensitif perlukan kaedah khusus supaya kekal segar ketika digunakan. Selain kaedah pembekuan, kita juga boleh rendam akarnya dalam air.
Apa-apa pun, cara simpan daun ketumbar perlu disesuaikan dengan penggunaannya. Diharap petua yang Mama Siti kongsikan ini membantu Mama jadi lebih bijak menguruskan inventori barang basah.
Dapatkan lebih banyak tips di dapur dan resepi masakan di SINI!