“Sebenarnya, macam mana cara siang udang yang betul ni, Mama Siti? “
Mungkin ini lah soalan yang akan diajukan oleh Mama yang baru-baru nak belajar siang udang. Sama lah macam Mama Siti masa mula-mula nak ceburkan diri jadi domestic engineering.
Oh ya, domestic engineering ialah istilah untuk individu yang bertanggungjawab melakukan pengurusan rumah. Boleh jadi itu suri rumah atau anak-anak yang menjaga ibu bapa.
Istimewa kali ini, Mama Siti kongsikan ilmu dan pengalaman siang udang mengikut saiz dan jenis masakan yang bersesuaian. Tapi sebelum itu, kita tengok dulu morfologi udang sebagai permulaan proses siang udang.
Morfologi Udang dan Istilah Laymen
Mama Siti rasa elok kalau kita manfaatkan gambar di atas untuk memudahkan pemahaman cara siang udang.
Mama Siti tak ada lah masukkan gambar morfologi udang dengan bahasa-bahasa sains. Selain disebabkan terlalu banyak, Mama Siti pun sebenarnya keliru bila banyak sangat informasi ini.
Kalau bahasa ‘layman’ macam dalam gambar, senang sikit kita nak jelaskan satu persatu kan.
Baiklah, sekarang Mama semua dah tahu istilah pada udang. Jadi, mari kita mulakan persediaan siang udang mengikut saiz dan jenis masakan.
Cara-Cara Siang Udang Mengikut Saiz dan Jenis Masakan
> Cara Siang Udang Saiz Kecil dan Sederhana <
#1 Simpan Kepala dan Ekor
Sesuai untuk masakan berkuah seperti masak lemak cili api.
#1 Langkah pertama, potong hujung bahagian kepala (cephalotorax) menggunakan gunting. Jangan lupa untuk buangkan juga antena nya sekali ya.
#2 Kemudian, potong bahagian tajam kepala udang. Tepatnya, di atas mata dan di tengah-tengah kepala.
#3 Potong hujung ekor bersama-sama dengan bahagian yang tajam sekali. Bimbang kalau-kalau ia akan mencederakan jari semasa proses memasak dan ketika makan.
#4 Beralih pula ke bahagian badan (abdomen). Belah bahagian tengah badan udang hingga ke segmen kedua terakhir.
#5 Dengan menggunakan pisau atau lidi, buang saluran najis udang yang berwarna hitam sehingga bersih.
#2 Buang Kepala dan Simpan Ekor
Sesuai untuk masakan tumisan seperti udang masak merah dan sambal tumis petai.
#1 Langkah pertama, buangkan kepala udang (cephalotorax) secara keseluruhan dengan berhati-hati. Ada bahagian tajam di kepala udang, jangan sampai tercucuk pula ya.
#2 Seterusnya, kupas kulit udang hingga ke segmen kedua terakhir. Tinggalkan satu segmen badan beserta ekornya.
#3 Beralih ke bahagian badan. Gunakan pisau tajam dan belah bahagian tengah atas udang. Tujuannya untuk memudahkan proses membuang saluran najis udang.
#4 Akhir sekali, ambil lidi dan buangkan saluran yang berwarna hitam sehingga bersih. Bagi Mama yang belum tahu lagi, itu ialah saluran najis udang.
#3 Simpan Isi Sahaja
#1 Langkah pertama, buang semua bahagian kepala udang. Kemudian, kupas kulitnya secara keseluruhan termasuklah ekornya sekali.
#2 Seterusnya, belah udang dimulakan dari bahagian kepalanya dulu. Untuk hasil yang lebih baik, Mama gunakan pisau yang tajam untuk membelah dan mengeluarkan saluran najis udang.
#4 Udang Tegak, Sedap Masak
Sesuai untuk masakan sushi atau goreng tempura.
#1 Dimulakan dengan membuang kepalanya.
#2 Selepas itu, kupas kulit udang. Pastikan kaki dan ekornya pun dibuang sama.
#3 Ambil pisau dan belah belakang badan udang. Kemudian, buang saluran najis yang berwarna hitam.
#4 Beralih ke bahagian bawah badan udang. Kelar badan udang sebanyak empat kali dari kepala hingga ke ekor. Bilangan kelar bergantung kepada saiznya. Lebih besar, lebih banyak.
#5 Kemudian, regangkan badan udang sampai Mama dengar bunyi ‘klak’.
#6 Tujuannya adalah supaya udang kekal lurus apabila dimasak atau dibuat susyi.
#5 Cara Siang Udang Saiz Besar (Udang Galah)
#1 Sediakan gunting tajam untuk kita mula memproses udang galah. Kemudian, gunting semua kaki, antena dan kedua-dua belah penyepitnya sekali.
#2 Selepas itu, buang pula bahagian tajam yang terletak di antara mata udang galah. Memandangkan saiz udang galah lebih besar, ianya juga lebih keras dan boleh membawa bahaya kepada Mama semasa memasak atau makan.
#3 Sekarang, kita akan buang bahagian tajam di kepala udang hingga menampakan bahagian dalam isi udang galah. Pastikan Mama menggunakan gunting yang tajam ya.
#4 Seterusnya, cari kantung najis udang dan tarik keluar secara perlahan-lahan. Oh ya, Mama kena pastikan kantung itu tidak pecah semasa dikeluarkan.
#5 Kemudian, gunakan pisau atau gunting dan belah di tengah-tengah badan udang galah untuk membuang saluran najis.
#6 Proses siang udang galah telah pun selesai. Namun sebagai tambahan, Mama boleh buangkan bahagian tajam di ekor.
Jadi, lebih kurang seperti itu lah cara siang udang saiz kecil, sederhana dan besar seperti udang galah.
Tapi apalah teori tanpa praktikal. Tak lengkap lah kalau tak buat sendiri kan. Mama cuba dulu di rumah, dimulakan dengan saiz kecil. Nanti dah yakin sikit, siang udang besar pula.
Mama Siti harap sangat perkongsian kali ini membantu urusan dapur Mama di rumah.
Lebih banyak tips masakan dan ilmu rumah tangga di SINI!