KelabMama

Hutang Solat Tidak Boleh Dibayar, Wajib Diganti Dengan Qada Solat

Qada solat ialah bayaran wajib seseorang terhadap solat yang tidak dilakukan tepat pada waktunya. Dalam bahasa Arab, qada bermaksud menunaikan dan membayar. 

Qada solat tidak boleh dibayar dengan wang ringgit. Tidak seperti puasa dan umrah, dimana apabila seseorang meninggalkan perkara wajib di dalamnya maka mereka perlu membayar denda dengan sejumlah wang. 

Seperti dalil dibawah ini, baginda menunaikan solat yang tertinggal mengikut rakaat yang asal bagi setiap solat fardhu.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ قَالَ مَنْ نَسِيَ صَلاةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا لا كَفَّارَةَ لَهَا إِلاَّ ذَلِكَ وَأَقِمْ الصَّلاةَ لِذِكْرِي

Dari Anas bin Malik dari Nabi SAW bersabda:

”Siapa yang terlupa solat, maka lakukan solat ketika dia ingat dan tidak ada tebusan kecuali melaksanakan solat tersebut dan dirikanlah solat untuk mengingatKu 

(HR Bukhari)

Nabi SAW bersabda:

من نام عن صلاة أو نسيها؛ فليصلها إذا ذكرها

“Barangsiapa yang terlewat solat karena tidur atau karena lupa, maka dia wajib solat ketika ingat” 

(HR Al Bazzar)

Kedua-dua hadis menyatakan kewajipan menggantikan solat fardhu yang tertinggal disebabkan lupa atau tertidur. Menurut baginda, tiada gantian yang layak diberikan bagi setiap solat yang ditinggalkan kerana ianya wajib didirikan.

HUKUM QADA SOLAT

Kredit gambar: Flickr

Di dalam Kitab Al-Mughni (158/2), hukum mengqadakan solat ialah wajib berdasarkan keputusan bersama oleh 4 orang imam mazhab.

CARA QADA SOLAT FARDHU

Kredit gambar: Pxhere

Sebenarnya tidak banyak yang berbeza dalam menggantikan solat fardhu yang tertinggal. Bilangan rakaat, bacaan dalam solat dan tertibnya masih serupa dengan kaifiat solat fardhu yang biasa. 

Namun begitu, terdapat perbezaan dalam bacaan niat. Perkataan أداء “ada an” digantikan dengan قضاء  “qada an”.

Solat yang dilakukan dalam waktunya akan disebutkan dengan perkataan “Ada an” manakala solat yang dilakukan di luar waktunya akan menggunakan perkataan “Qada an”.

Mama Siti sertakan sekali lafaz niat bagi setiap solat fardhu, lengkap dengan bacaan ruminya sekali sebagai panduan cara qada solat untuk semua.

LAFAZ NIAT QADA SETIAP SOLAT FARDHU

SOLAT SUBUH

Kredit gambar: Akuislam.com

“Usolli Fardhos-Subhi Rak’ataini Qadaan Lillahi Ta’ala” 

Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Subuh 2 rakaat qada kerana Allah Taala

SOLAT ZUHUR

Kredit gambar: Akuislam.com

 “Usolli Fardhoz-Zuhri Arba’a Raka’atin  Qadaan Lillahi Ta’ala”

Maksudnya: Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala

SOLAT ASAR

Kredit gambar: Akuislam.com

 “Usolli Fardhol Asri Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala”

Maksudnya: Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta’ala

SOLAT MAHGRIB

Kredit gambar: Akuislam.com

 “Usolli Fardhol Maghribi Salasa Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala”

Maksudnya: Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala

SOLAT ISYAK

Kredit gambar: Akuislam.com

“Usolli Fardhol isya’i Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala”

Maksudnya: Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala

WAKTU DIBENARKAN QADA SOLAT

Walaupun dalam syariat Islam ada waktu-waktu yang diharamkan tetapi terdapat pengecualian bagi qada solat fardhu. 

Dari laman Facebook Masjid An-Nur Kotaraya Johor Bahru, waktu untuk melakukan qada solat fardhu tidak terhad pada masa-masa tertentu. Sebaliknya, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa walaupun pada waktu yang diharamkan solat seperti:

  1. Selepas Solat Subuh
  2. Ketika matahari terbit atau sedang terbit
  3. Ketika rembang iaitu matahari tepat di atas kepala
  4. Ketika matahari terbenam
  5. Selepas Solat Asar

Jadi, ianya dibolehkan jika seseorang sedang dalam waktu di atas dan ingin qada solat. Itu juga dibenarkan.

TIDAK PASTI JUMLAH SOLAT YANG DITINGGALKAN?

Kredit gambar: Pxhere

Untuk cara penggiraan yang lebih tepat, Mama boleh rujuk artikel yang ditulis oleh Hadijah Jaffri ini. Semoga membantu Mama ya.

Akhir sekali Mama Siti ingin tegaskan bahawa solat ialah ibadah yang sangat penting bagi seorang beragama Islam. Solat termasuk dalam rukun Islam kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah.

Imam Al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, 

“Solat itu tiang agama. Sesiapa yang meninggalkannya,dia meruntuhkan agama”

Walau apa pun keadaan diri kita. Sama ada dari segi kewangan atau darjat, semuanya perlu bertanggungjawab dengan agamanya sendiri. 

Mungkin kita pernah alpa dengan keseronokan dunia suatu masa dahulu tetapi dengan peluang yang Allah berikan, semoga kita dapat perbaiki diri dengan ikhlas. Mama Siti doakan agar kita semua tidak berputus asa menjaga agama Islam.