Bila bercakap perihal daging sebagai geng mak-mak, kita selalu fikirkan cara cepat empuk dan tak liat. Walaupun dah potong kecil-kecil, daging masih juga liat dan susah dikunyah.
Rupa-rupanya saiz potongan sahaja tidak memadai. Kita perlu tahu cara-cara potong daging mengikut bahagian masing-masing.
Apabila bahagian daging dipotong dengan cara yang betul, barulah daging tak liat dan senang dikunyah. Paling penting kita sebagai individu yang memasak dapat menjimatkan masa dan tenanga.
Mari kita lihat lebih terperinci cara potong daging agar cepat empuk dan tidak liat.
Cara Potong Daging Agar Tak Liat
1. Cara Melintang Urat
Setelah daging diletakkan di atas papan pemotong, Mama perlu kenal pasti arah urat daging yang ingin dipotong. Kemudian, potong dari arah berlawanan. Jika Mama ingin daging masak lebih cepat, potongkan ke bahagian kecil.
Cara potong daging melintang urat membuatkan daging menjadi tidak liat dan senang dikunyah.
2. Cara Potong Daging Batang Pinang Bawah (Tenderloin)
Daging batang pinang selalu diperolehi dalam saiz yang besar. Langkah pertama untuk memotong daging jenis tenderloin adalah dengan memotong bahagian berlemak.
Cara potong bahagian berlemak: Pegang hujung bahagian berlemak dan tarik dengan kuat. Jika sukar, Mama hiris menggunakan pisau tajam.
Pastikan tiada lemak pada daging batang pinang tersebut. Lemak di bahagian ini agak tebal dan tidak enak jika dimasak sup tulang.
Seterusnya, potong daging ke bahagian kecil dan boleh ikut tips potong daging lawan urat untuk mendapatkan daging yang tidak liat.
3. Cara Potong Bahagian Tulang Rusuk (Rib Eye)
Saiz bahagian tulang rusuk lebih lebar berbanding batang pinang. Ada bahagian daging yang mempunyai tulang dan ada pula yang telah siap diasingkan.
Cara memotong daging rib eye adalah dengan membuang lemak di bahagian tepi. Pastikan Mama menggunakan pisau yang tajam kerana lemak di bahagian ini lebih padat.
Kemudian, potong kepada dua bahagian. Selepas itu, barulah hiris kepada bahagian yang lebih kecil degan ukuran saiz lebih kurang satu inci setiap satunya.
Tips Mudah Potong Daging dan Cara Pilih Daging Untuk Masakan
Potong daging ketika ia separa beku. Cara membekukan daging ialah simpan dalam peti sejuk beku dalam tempoh 45 minit hingga 60 minit.
Daging separa beku lebih mudah dipotong disebabkan teksturnya yang lebih keras dan berkristal.
Cara ini menjimatkan tenaga dan masa Mama di dapur.
Bahagian Daging Untuk Masak Rendang
Jika Mama ingin memasak hidangan yang berkuah seperti sup dan stew, daging otot yang berserat kasar amat sesuai untuk digunakan.
Bagi masakan yang agak kering seperti rendang, maka daging berserat halus lebih sesuai digunakan kerana mudah empuk dan cepat masak. Contohnya, pilih daging batang pinang ketika ingin menyediakan hidangan rendang.
Setiap bahagian daging ada caranya. Patutlah selama ini daging masih liat walaupun telah dipotong ke bahagian kecil.
Secara umumnya daging akan lebih mudah dikunyah jika dipotong lawan urat namun begitu bahagian daging batang pinang dan rusuk perlukan cara tertentu.
Oleh itu, jika kita mahukan daging yang empuk, tak liat dan senang dimakan, ikut cara potong daging seperti yang Mama Siti kongsikan ini ya.
Ketahui pelbagai tips dan panduan pemakanan terbaik DI SINI.