Memotong daging lembu dan ayam ialah kemahiran yang memudahkan urusan dapur Mama dan Papa. Mama Siti kongsikan dua cara potong ayam ‘step by step‘, terutamanya untuk yang pertama kali nak memotong ayam bulat.
Cara pertama ialah kaedah biasa yang memerlukan Mama memotong bahagian tengahnya terlebih dahulu. Manakala cara kedua akan dimulakan dengan memotong kepak dan peha.
Ayuh kita lihat cara-cara potong ayam bulat.
Cara Potong Ayam Bulat
#1 Potong Ayam Cara Biasa
Dikongsikan oleh Ida Joe di laman Facebook nya. Beliau teringatkan seseorang yang pernah memberikan komen bahawa mereka belum pandai memotong ayam.
Alang-alang ke pasar, Puan Ida Joe turut sama-sama berkongsi ilmu rumah tangga terutamanya cara memotong ayam.
1. Dapatkan seekor ayam bulat. Saiz dan berat nya tak penting asalkan sudah dibuang bulu.
2. Menggunakan sebilah pisau tajam, leta di tengah-tengah antara bahagian kepak dan peha. Kemudian, Mama belah sedikit di bahagian itu.
3. Bagi memisahkan bahagian atas dan bawah ayam bulat tadi, tarik di bahagian yang kita belah sebelum ini. Ianya boleh ditarik hanya dengan menggunakan tangan sahaja.
4. Letakkan bahagian peha ayam di atas papan pemotong. Selepas itu, potong lagi kepada dua bahagian.
5. Potong kedua-dua peha berdasarkan sendi tulang ayam. Disebabkan ada tulang keras di bahagian itu, Mama perlukan sedikit daya untuk memotongnya.
6. Beralih ke bahagian ‘thigh’. Kalau saiznya besar, Mama boleh potong lagi kepada dua bahagian.
7. Untuk bahagian atas ayam bulat, kita mulakan dengan memisahkan lehernya terlebih dahulu dan belah dada kepada dua bahagian.
8. Sama seperti kaedah memotong peha tadi, ikut sendi untuk memotong kepak ayam.
9. Pada bahagian dada, Mama boleh potong kepada tiga bahagian bergantung kepada saiznya. Jika ayam besar, Mama boleh juga potong lebih.
10. Masukkan potongan-potongan ayam dalam bekas dan cuci dengan air bersih sebelum disimpan atau dimasak.
#2 Cara Potong Ayam Ikut Sendi
Ayam akan dipotong terus daripada sendi-sendinya tanpa perlu dibelah terlebih dahulu. Kaedah ini lebih mudah dan praktikal.
- Buangkan lebihan kulit dan lemak yang ada pada ayam yang ingin diproses.
- Mulakan di bahagian peha terlebih dahulu. Kenal pasti sendi di kawasan peha kemudian potong dengan pisau tajam untuk kedua-dua peha ayam.
- Seterusnya, potong dan pisahkan bahagian dada dan tulang rangka. Potong di bahagian yang tidak bertulang.
- Bagi bahagian dada ayam, kenal pasti sendi antara kepak dan badan. Kemudian, ambil pisau dan potong.
- Potong dada ayam kepada beberapa bahagian mengikut kesesuaian masakan masing-masing.
- Bahagian tulang rangka, Mama boleh potongkan kecil-kecil dan jadikan sebagai stok ayam atau masak kuah soto.
Enam cara potong ayam melalui sendi ini mudah kerana ianya hanya memerlukan pisau dan gunting sahaja.
Tips Menyimpan Ayam Yang Sudah Dipotong
- Guna plastik untuk simpan ayam berbanding bekas yang ada penutup. Tujuannya supaya kita tahu dan nampak tempat ayam disimpan dalam peti sejuk.
- Simpan ayam mengikut keperluan satu hidangan. Kalau Mama sentiasa nyahbeku (defrost) dan bekukan ayam berulang kali, dikhuatiri daging ayam akan dijangkiti bakteria Salmonella.
- Asingkan ayam mengikut bahagian tertentu atau mengikut jenis masakan. Contohnya, satu plastik khas untuk bahagian dada. Satu plastik untuk kaki, kepak dan peha.
Mama sekarang mempunyai pengetahuan untuk memotong ayam dengan betul. Kalau cara potong Mama belum cantik, tidak mengapa sebab kita kan sedang belajar.
Semoga kemahiran memotong ayam Mama dan Papa semakin baik dari hari ke hari. Selamat mencuba dan semoga berjaya!
Ketahui pelbagai tips rumah tangga DI SINI.