Ketam masak lemak cili api, ketam masak kam heong dan ketam masak cili antara menu yang sering dimasak oleh rakyat Malaysia. Untuk rasa yang lebih enak, cara pilih ketam yang segar juga memainkan peranan.
Berikut merupakan beberapa tips yang Mama Siti boleh kongsikan dengan Mama semua cara pilih ketam yang betul:
Cara Pilih Ketam Segar dan Isi Padat
#1 Waktu Membeli
Ada petua orang lama, katanya kalau nak ketam yang banyak isi, kena beli pada waktu selepas bulan mengambang atau bulan penuh.
Mama Siti rasa keadaan ini ada kena mengena dengan pasang surut air laut.
#2 Warna Cangkerang
Bagi jenis ketam bunga, warna cangkerang yang masih berwarna putih kebiruan atau kelabu-coklat bermaksud ianya masih segar.
Warna-warna ini juga boleh diperhatikan di bahagian atas dan penyepit ketam.
#3 Berat Ketam
Cari ketam yang lebih berat antara ketam-ketam yang ada. Berat ketam adalah sebagai panduan tentang berat isinya.
Isi yang padat dan banyak, lebih mudah dikeluarkan isinya semasa makan nanti.
#4 Bahagian Belakang/Bawah Ketam
Selain itu, Mama juga boleh melihat dan memeriksa bahagian belakang atau ‘bawah’ badan ketam. Jika bentuk segi tiga di belakang badan ketam itu masih melekap dengan kuat, itu merupakan salah satu tanda ketam tersebut masih segar.
#5 Bau Laut
Bagi ketam bunga, Mama kena pilih ketam yang masih berbau laut ataupun air masin.
Manakala jika Mama membeli ketam nipah, baunya akan sedikit berbeza kerana ketam nipah hidup di habitat air tawar.
#6 Cukup Sifat
Ketika Mama membeli ketam, pastikan anggota badan ketam cukup dan tidak kekurangan satu pun.
Contohnya, kaki dan siripnya masih kuat dan bercantum dengan badan. Begitu juga dengan penyepit, cangkerang, dan matanya.
#7 Pilih Ketam Betina
Istimewanya ketam betina ialah ia mempunyai kantung telur. Tambahan pula, ada juga yang kata isi ketam betina lebih banyak dari ketam jantan.
Nota: Gambar ketam di sebelah kiri ialah ketam betina dan di sebelah kanan ialah ketam jantan.
Cara Pilih Ketam Betina
Terbalikkan ketam dan perhatikan bahagian belakang badannya yang berbentuk seperti segi tiga.
Ketam betina mempunyai bahagian segi tiga yang lebih lebar, bulat dan bukan tirus.
Dalam masa yang sama, ketam betina juga mempunyai bentuk cangkerang yang agak bulat dan sepitnya lebih pendek dan kecil.
Melihat dari segi warna pula, ketam betina berwarna kelabu-coklat manakala ketam jantan berwarna putih kebiruan.
#8 Tidak Bertompok
Ketam yang segar boleh diketahui dengan cara melihat bahagian bawahnya. Bahagian bawah ketam yang berwarna putih menandakan ianya masih segar.
Manakala jika terdapat tompokan selain warna putih, itu tandanya ketam sudah lama dan tidak segar. Dikhuatiri ianya hampir busuk.
Cara Simpan Ketam Yang Betul
Ketam boleh mengekalkan kesegarannya jika disimpan dalam peti sejuk beku (freezer). Dikatakan kesegaran ketam boleh berpanjangan sehingga satu bulan.
Seusai membeli, bersihkan ketam dengan cara bilas dengan air bersih. Kemudian, bungkus dengan plastik ‘cling wrap’ atau simpan ketam dalam bekas kedap udara.
Jika menggunakan bekas, letak kain lembab atau kertas di bahagian paling atas dalam bekas tersebut. Seterusnya, masukkan ke dalam peti sejuk beku.
Elakkan meletak ketam dalam kereta yang panas kerana ketam berisiko menjadi rosak jika dibiarkan lama.
Sebaiknya, simpan dahulu ketam dalam ‘ice box’ seperti bekas polisterin yang telah dimasukkan ais dan letak dalam kereta.
Masakan lebih enak bila dapat ketam yang segar dan isi yang padat. Harapnya 8 cara pilih ketam ini membantu Mama dapatkan ketam terbaik untuk hidangan keluarga.
Ketahui pelbagai tips dan panduan pemakanan terbaik DI SINI.