KelabMama

Elak Ditipu Penjual! Ini Cara Pilih Ikan Segar Sebelum Beli di Pasar

Zaman sekarang ini tidak dinafikan ada sebahagian penjual yang memperdaya pembeli dengan mengatakan ikan yang dijual masih dalam keadaan elok walaupun sebenarnya hampir busuk.

Kalau tak ada ilmu pasal cara beli ikan segar, sangatlah merugikan. Mama Siti nak kongsikan 8 cara untuk pastikan Mama pilih pelbagai jenis ikan segar di pasar.  

8 Cara Pilih Ikan Segar Dari Bahagian Luar

Kredit gambar: Bangkapos.com

#1 Warna Ikan

Kredit gambar: My Life Ria

Sekilas pandang ikan segar akan mempunyai kesan warna berkilat dan cerah. Tidak seperti ikan lama yang agak kekuningan dan kulitnya senang tertanggal. 

#2 Perut Masih Elok

Kredit gambar: Belalang Tarung

Selain itu, Mama juga boleh gunakan cara pilih ikan segar dengan melihat di bahagian perutnya.

Jika kulit dan isi di kawasan perut ikan masih firm dan tidak terkoyak, maksudnya ikan tersebut masih baru dan segar. Mama kena periksa juga bahagian dinding perut ikan tu – pastikan ia tidak lembik dan tidak pecah.

#3 Bau

Kredit gambar: cen.acs.org

Jika Mama ingin membeli beberapa kilogram ikan air masin, Mama perlu pastikan bau ikan tersebut ada bau air laut. Begitu juga lah dengan ikan air tawar. 

Ikan yang tidak segar selalunya berbau hanyir dan busuk yang agak kuat. 

#4 Sisik Berlendir

Kredit gambar: Grid.ID

Lendir bukan sembarangan lendir ya Mama. Ikan segar mempunyai lapisan sisik luar yang sedikit berlendir dan terasa licin.

Namun jika ianya terlalu berlendir, Mama Siti cadangkan supaya beli ikan lain kerana berkemungkinan besar ikan itu sudah hampir tidak elok lagi. 

#5 Mata Ikan

Kredit gambar: Utusan TV

Ni antara cara pilih ikan segar yang Mama Siti pun gunakan.

Ikan-ikan segar memiliki warna mata yang masih jernih dan menonjol keluar dari soket matanya. Manakala ikan yang sudah lama mempunyai mata yang merah dan bola matanya termasuk ke dalam soket mata. 

#6 Tekstur

Kredit gambar: SehatQ

Menggunakan hujung jari, Mama tekan sedikit badan ikan. Jika ianya masih pejal dan keras, boleh teruskan pembelian. Sebaliknya jika isinya lembik dan mudah pecah apabila ditekan, lebih baik tangguhkan dahulu niat Mama. 

#7 Warna Insang

Kredit gambar: ICAL O-FISH

Zaman sekarang macam-macam cara nak beli barang basah. Tapi kalau Mama berpeluang ke pasar, periksa insang ikan sebelum membeli. 

Insang ikan segar akan berwarna merah terang, agak basah dan boleh diregangkan

#8 Sisik, Ekor dan Sirip Kuat

Kredit gambar: Umpan

Bagi sesetengah ikan, tahap kesegarannya boleh diperhatikan melalui sisik, ekor dan siripnya yang masih kuat melekat dan berkilat. 

Ikan yang telah lama dinaikkan ke darat mempunyai sisik yang pucat dan mudah tertanggal. 

Petua Tambahan Pilih Makanan Laut Segar

Kredit gambar: Facebook @Troka

#1 Kerang

Kredit gambar: kompas.com

Cara paling selamat nak pastikan kerang masih segar adalah dengan membeli kerang yang masih hidup. Kadar hayat makanan laut dari keluarga kerang juga berbeza. 

Apabila Mama buka cengkerangnya dan nampak isi dalamnya masih bergerak-gerak, itu tandanya kerang masih hidup. Proses bersihkan kerang pun akan jadi lebih cepat nanti.

#2 Ketam

Kredit gambar: Oceanwaves.SG

Lihat pada warnanya. Ketam bunga mestilah berwarna kebiruan dan segi tiga bawah perut ketam hendaklah masih melekap dan tidak terkopek. 

Semua anggota penyepit dan siripnya pun mestilah cukup tanpa ada satu pun hilang. 

#3 Udang

Kredit gambar: Asian Inspirations

Ingat ciri-ciri ini! Kulit kepala keras, badan pejal, warna tidak pucat dan tiada bintik hitam. Kalau ada kriteria yang Mama Siti senaraikan tadi, tandanya udang masih segar. 

#4 Sotong

Pertama, tidak berbau hanyir yang kuat. Kedua, badannya mestilah kenyal dan keras. Itulah tanda-tanda sotong masih segar. 

Kredit gambar: KKP News

Ikan segar dapat bertahan lebih lama di dalam peti ais. Lebih penting lagi, ianya lebih enak ketika dimasak. Bila dah tahu ciri-ciri ikan segar barulah yakin nak pergi pasar dan beli ikan tanpa bimbang ditipu penjual.

Mama Siti harap, artikel ini memberi pengetahuan baru kepada Mama dan membantu proses pembelian ikan di pasar.


Dapatkan lebih banyak petua dan tips yang lain di SINI!