KelabMama

7 Cara Pakai Samping Tradisional dan Moden dan Motif Penggayaan

Setiap jenis cara pakai samping ada makna dan fungsinya tersendiri. Ada juga cara pakai samping yang dikhususkan untuk pakaian tertentu. 

Ayuh, kita kenal lebih dalam lagi tentang tujuh cara pakai samping yang biasa dipakai di Malaysia. 

7 Cara Pakai Samping

#1 Samping Ala Johor (Ikatan Moden)

Kredot gambar: Carousell

Cara pakai samping ala Johor ini selalunya dipakai dengan baju melayu tradisional negeri Johor iaitu Baju Melayu Teluk Belanga. 

Cara pakai samping ala Johor:

  1. Buka kain samping dan lipat sedikit ke bahagian dalam. Lebih tepat lagi di atas samping. 
  2. Anggaran lipatan hendaklah tidak terlalu singkat dan tidak terlalu labuh apabila dipakai nanti. 
  3. Penting untuk pastikan kain samping ditarik sepenuhnya ke bahagian kanan dimana kepala kain samping berada betul-betul di tengah bahagian badan. 
  4. Selepas itu, pegang dan tahan lipatan yang berada di bahagian kanan badan lalu lipatkan samping ke bahagian kiri. 
  5. Jangan lupa tarik kain samping bahagian depan dan hendaklah ditarik dari belakang. Kemudian, masukkan ke bahagian belakang badan. 
  6. Seterusnya, ubah dan teruskan lipat kain samping yang di bahagian depan agar ia berada betul-betul berada pada sisi kiri badan. Manakala, kepala kain songket pula mestilah terletak tegak di tengah badan. 
  7. Mula dengan lipatan kecil dan pastikan lipatan sekata sama ada dari depan dan belakang. 
  8. Beralih pula kepada lipatan yang lebih besar dan teruskan lipat hingga rasa selesa. 
  9. Akhir sekali, pastikan paras bawah terletak di atas pinggang manakala labuhnya pula pada paras lutut sahaja.   

#2 Ikatan Lingkup

Cara pakai samping paling senang berbanding jenis ikatan yang lain kerana menggunakan kaedah yang sama dengan cara lipat kain pelekat.

Ikatan lingkup selalunya dipakai oleh para suami dan anak lelaki ketika mereka mengenakan baju melayu songket dan juga baju melayu biasa. 

Berikut Mama Siti kongsikan cara ikat samping ikatan lingkup:

  1. Letakkan bunga samping di bahagian depan manakala tulangnya pula di bahagian belakang. 
  2. Ketika tangan kanan memegang bahagian kain samping yang sebelah kanan dan tangan kiri memegang kain samping yang sebelah kiri, gunakan dagu untuk menahan bahagian tengah kain samping. 
  3. Penting untuk pastikan kain samping betul-betul berada di tengah-tengah bahagian badan iaitu antara kepala dan kaki. 
  4. Bahagian kanan tolak ke kiri dan bahagian kiri tolak ke kanan. Kemudian, lipatkan beberapa kali mengikut status si pemakai. 

Nota: Kain samping orang lelaki bujang di atas atau pada bahagian lutut manakala jika sudah berkahwin, kain samping perlu melepasi paras lutut. 

#3 Samping Ikatan Teruna

Cara pakai samping yang seterusnya jika dilihat sekilas pandang, seakan sama dengan ikatan lingkup. Perbezaan kedua-dua jenis cara pakai samping ini ialah bahagian kain yang terbuka. 

Cara pakai samping ikatan teruna:

  1. Ikut kaedah ikatan seperti ikatan lingkup.
  2. Seterusnya, lebihan kain akan diletakkan bergantung kepada jantina si pemakai. Lebihan kain di sebelah kanan adalah untuk lelaki manakala di sebelah kiri untuk perempuan. 

#4 Gaya P.Ramlee (Dendang Perantau)

Apa yang unik pada cara pakai samping Dendang Perantau ini ialah setiap sisi simpulannya membawa makna. 

Jika ikatan berada di kanan, bemaksud pemakai masih lagi seorang lelaki belum berkahwin atau bujang. Manakala, jika ikatan di sebelah kiri bermaksud si pemakai masi anak dara. 

Perhatikan pula jika ikatan kain samping gaya P.Ramlee ini berada di kedudukan tengah. Itu bermaksud, orang lelaki yang memakainya ialah seorang duda. 

Cara pakai samping gaya P. Ramlee:

  1. Tahan kain dengan dagu dan temukan kedua-dua hujung yang dipegang dengan ibu jari lalu buatkan ikatan. 
  2. Ikat kain samping dengan kaedah ikatan atau cerutan biasa sekurang-kurangnya dua kali supaya kain samping tidak melorot. 
  3. Mama akan perasan kain samping yang dipakai suami dan anak lelaki Mama ada lebihan di bahagian tengah. Bahagian tersebut hendaklah ditarik hingga bahagian bawah kain samping naik sedikit. 
  4. Lalu, tolak bahagian yang ditarik ke atas itu ke bahagian luar untuk membentuk sebuah poket. 
  5. Tarik kain samping ke bahagian tertentu dan rapikan lipatan di pinggang, depan dan belakang. 

#5 Ikatan Kembung 

Pengantin selalunya akan mengenakan cara pakai samping ikatan kembung ketika menjadi raja sehari. 

Nama ikatan kembung pula diambil terus dari kesan mengembung yang terjadi ketika proses memakai samping. 

Selain itu, ikatan kembung juga dipakai oleh golongan pembesar dan bangsawan yang mempunyai gelaran. 

Langkah-langkah pakai kain samping ikatan kembung:

  1. Mula-mula, tarik kain samping ke bahagian kiri, kanan atau tengah mengikut keselesaan si pemakai. 
  2. Selepas itu, buat simpulan bercorak bunga di bahagian yang dipilih atau boleh juga buat ikatan. Tujuannya agar bahagian ikatan itu tidak bergerak dan kekal pada tempatnya di pinggang. 
  3. Kemaskan kain samping supaya terlihat rapi pada pengantin. 

#6 Ikatan Pancung

Cara pakai samping dengan ikatan pancung kebiasaannya untuk pengantin yang sedang diraikan sempena hari perkahwinannya. 

Namun begitu, ia juga boleh dipakai oleh anak lelaki dan suami Mama sendiri pada hari-hari biasa seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Ikatan pancung sering juga dipakai oleh golongan Raja, Sultan dan kerabat sahaja. 

Cara pakai samping ikatan pancung adalah seperti berikut:

  1. Dapatkan jahitan penyambung samping dan letakkan di tengah iaitu selari dengan pusat. 
  2. Kemudian, tarik nafas dan tahan. Ianya untuk memastikan kain diikat ketat dan tidak lucut apabila dipakai. 
  3. Genggam ketat kain di bahagian hujung perut dan pusingkan ikatan hingga ketat. Sementara itu, ikat lebihan kain samping yang terjuntai. 
  4. Untuk memudahkan proses cara pakai samping gaya pancung, pakai bengkung di bawah ikatan dan pinkan hujung bengkung tempat kedua-dua belah bengkung bertemu.
  5. Akan ada lebihan kain bengkung walaupun selepas dipinkan. Oleh itu, Mama perlu bantu Papa atau anak-anak untuk pinkan sekali lagi lebihan bengkung itu. 
  6. Selepas itu, pusingkan badan dan capai bahagian belakang iaitu pada ikatan sementara dan buka pin nya. 
  7. Terakhir, ikatan yang telah terbuka itu perlu dikemaskan dengan cara memasukkannya ke dalam bengkung supaya lebih rapi. 

Nota: Tarik nafas ketika melilit kain samping atau bengkung agar ikatan kain samping lebih ketat. 

#7 Ikatan Bunga Tanjung

Cara pakai samping bunga tanjung ini sering kita lihat dalam filem klasik yang memaparkan peranan pendekar. 

Bagi membezakan maksud ikatan samping bunga tanjung, kita perlu lihat kepada sisi mana ia disimpulkan. 

Simpulan bunga di bahagian kanan dikhususkan untuk lelaki manakala perempuan akan membuat ikatan bunga di sebelah kiri. 

  1. Pertama sekali, kain samping ditolak ke kanan dan pastikan lilitan di bahagian pinggan ketat dan selesa. 
  2. Seterusnya, pegang kain samping yang di bahagian depan dan belakang dan kemudian cekakkan dan tarik hingga ke tepi. 
  3. Selepas itu, tarik bahagian yang dicekak itu ke belakang beberapa kali dan simpulkan menjadi bentuk seperti Bunga Tanjung. 
  4. Hujung kain akan dimasukkan ke dalam simpulan dan ditutup simpulan tersebut ke bahagian dalam. 
  5. Kemaskan ikatan samping mengikut keselesaan si pemakai. 

Dengan adanya perkongsian cara pakai samping dari Mama Siti ini, diharap dapat membantu Mama menyiapkan suami dan anak-anak ketika memakai baju melayu nanti. 

Sentiasa ingat untuk selalu sesuaikan tujuh cara pakai samping dengan pakaian dan majlis yang dihadiri. 


Dapatkan lebih banyak tips dan panduan di SINI!