Rumah tangga dan persekitaran yang bersih bagaikan taman bunga yang segar dan menjanjikan ketenangan kepada penghuninya. Pun begitu tanpa kerajinan segala yang diingini tidak akan berlaku. Tambahan pula bagi mereka yang bekerja dan tidak punya waktu untuk membersih dan menghias rumah agar sentiasa sedap dipandang mata. Saiz rumah juga bukan ukuran tetapi kebersihan akan membezakan segalanya. Ramai yang impikan ketenangan di dalam rumah setelah penat berada di luar tetapi tidak semua kita yang berpeluang untuk mengecapinya. Beruntunglah sekiranya si bapa rajin menghulurkan tangan membantu apa yang patut tidak kira samada menjaga anak, memasak dan mengemas rumah. Ini tip untuk mama agar dapat menuruskan rumah tangga dengan sebaiknya.
- DAHULUKAN KEPERLUAN ANAK KECIL
Bagi yang ada anak kecil, terutamanya bayi, pastikan kalau time tukar lampin/diapers atau menyusu tu, diselesaikan terlebih dahulu sebelum kita nak mulakan kerja-kerja rumah ni. Jadi, taklah baru jer nak sapu habuk, baby dah meraung. Kalau baby dah kenyang, biasanya kurang-kurang 1-2 jam baby akan tidur dengan lena. Boleh lah kita nak sapu sampah ke, jemur kain ke, lipat baju ke, kan?
- BASUH BAJU MENGIKUT JADUAL
Sebenarnya tak perlulah rigid sangat. Kalau keluarga kecil, boleh basuh baju 2-3 kali seminggu je. Tapi kalau keluarga besar, mungkin perlu setiap hari, malah mungkin beberapa kali sehari. Kalau memang selalu ada aktiviti hujung minggu, cuba elakkan membasuh baju pada hari tersebut. Basuh Baju Awal Pagi. Kenapa? Kalau cuaca panas elok, tak sampai tengah hari pakaian dah kering. Ni jika ibu berada di rumah atau pada hujung minggulah. Jadinya, dah boleh lipat awal semua pakaian tadi.
- MULTITASKING
Buat beberapa kerja dalam satu masa. Ibu dan mustitasking ni berpisah tiada, kikiki…Contohnya kalau kita nak basuh kain dan nak sapu sampah. Sebelum menyapu, setkan dulu mesin basuh baju. Lepas tu menyapulah. Sedang elok baju siap dibasuh, lantai rumah kita pun dah bersih. Lepas tu dah boleh jemur baju. Boleh lagi sambung kerja lain macam nak merebus apa-apa kat dapur. Kan jimat masa lagi tu.
- MENYIAPKAN BAHAN MEMASAK TERLEBIH DAHULU
Bab nak sediakan bahan masak tu yang ‘rajin’ tu kan? Walaupun leceh, sediakan bahan-bahan dahulu nyata berbaloi. Ibu yang bekerja sudah tentu kebuntuan masa untuk memasak bukan? Tambahan pula apabila ada anak kecil. Cara yang boleh dipraktik adalah dengan menyiapkan bahan-bahan asas memasak pada hujung minggu. Kisar bawang, cili, siang ikan, ayam, udang, sotong,dan potong sayur kemudian masukkan ke dalam bekas sebelum disimpan di dalam peti ais. Bahan basah yang hendak dibekukan diasingkan mengikut bahagian yang akan dimasak dalam sehari. Jika anda membuat persiapan untuk 5 hari, maka akan ada 5 bungkusan/bekas. Cara ini bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan proses memasak malah akan memelihara kesegaran bahan basah tersebut.
- MEMASAK DENGAN BAHAN YANG MEMANG SEDIA ADA
Setelah semua bahan asas sudah tersedia, pasti anda boleh memasak dengan mudah dan cepat. Keluarkan bungkusan/bekas yang diperlukan sahaja untuk dinyahbekukan. Sementara menunggu bahan basah dinyahbeku, anda boleh memasak sayur yang sudah siap dipotong. Proses nyahbeku juga boleh dipercepat dengan menggunakan ketuhar gelombang mikro. Mudah bukan? Tidak perlu lagi mengambil masa untuk memotong dan menghiris bawang serta mengisar cili semasa memasak. Hanya sediakan bahan tambahan seperti halia,rempah-ratus, kentang dan lain-lain yang diperlukan bergantung kepada lauk yang hendak dimasak.
- MENCUCI PINGGAN MANGKUK SEMASA MEMASAK, BUKAN SELEPAS MAKAN
Selepas memasak, periuk dan kuali perlu dicuci. Begitu juga dengan pinggan mangkuk yang digunakan selepas makan termasuk cawan dan sudu. Bilakah masa yang boleh diperuntukkan untuk mencuci peralatan dapur ini? Sebagai cadangan, mencuci pinggan mangkuk boleh dilakukan semasa memasak. Semasa menunggu lauk yang ditumis atau direneh, ringankan tangan untuk mengosongkan sinki daripada peralatan dapur yang kotor. Ini akan dapat menjimatkan masa dan anda tidak perlu berada di dapur terlalu lama.
- MEMBASUH DAN MENYIDAI PAKAIAN SELALU, BUKAN BILA PENUH LONGGOKAN BAJU
Seperti yang kita sedia maklum, pada zaman sekarang kebanyakan rumah dilengkapi dengan mesin basuh, sama ada mesin basuh automatik mahupun separa automatik. Pastikan basuh pakaian bila bakul sudah penuh, jangan biarkan jadi seperti Gunung Everest. Usah bertangguh kerana sekali bertangguh, semakin banyak baju yang dilonggokkan. Dengan adanya mesin basuh, kerja akan menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa. Oleh itu, anda tidak perlu bimbang kerana boleh membasuh pada bila-bila masa walaupun di malam hari. Pakaian juga boleh disidai di dalam rumah ketika cuaca tidak menentu. Tidak seperti zaman dahulu, pakaian dibasuh pada waktu pagi dan disidai di kawasan yang terdapat cahaya matahari kerana ia diperlukan untuk mengeringkan pakaian.
- USAH BERTANGGUH MELIPAT PAKAIAN
Melipat pakaian merupakan kerja yang agak merunsingkan para ibu. Pakaian yang telah kering perlu dilipat dan disimpan di dalam almari atau laci. Ada juga yang menggantung pakaian yang sesuai untuk menjimatkan ruang dan masa. Melipat pakaian boleh dilakukan pada masa terluang seperti semasa menonton televisyen atau semasa membantu anak-anak dalam pelajaran. Kerja melipat pakaian akan menjadi rumit sekiranya ditangguh. Oleh yang demikian, lipatlah pakaian setiap kali selepas pakaian yang kering diangkat agar anda tidak merasa tertekan apabila melihat pakaian yang banyak untuk dilipat.
- MENGGOSOK PAKAIAN UNTUK STOK SEMINGGU
Satu lagi proses yang kebanyakan dari kita kurang gemar ialah menggosok pakaian. Menggosok pakaian merupakan satu kerja yang memerlukan perhatian dan tenaga. Menggosok pakaian untuk seisi keluarga bukan satu kerja yang mudah. Pakaian untuk ke pejabat serta pakaian seragam sekolah anak-anak perlu digosok kemas. Salah satu cara yang dapat membantu ibu-ibu yang sibuk ialah dengan menggosok terus kesemua pakaian yang hendak dipakai untuk satu minggu. Lakukan kerja ini pada hujung minggu. Peruntukkan beberapa jam untuk menggosok pakaian sahaja. Selain menjimatkan masa, anda juga dapat menjimatkan tenaga elektrik.
- MENGEMAS RUMAH SEMASA ORANG LAIN SEDANG TIDUR
Siapa yang tidak menginginkan rumah yang bersih, kemas dan tersusun rapi. Alangkah senangnya jika ada pembantu rumah bukan? Tidak semestinya jika hanya ada pembantu rumah, rumah anda akan kelihatan kemas dan bersih. Benar, anda juga boleh melakukannya! Mengemas rumah sebaiknya dilakukan ketika ahli keluarga yang lain masih tidur atau tidak berada di rumah. Buatlah mengikut kemampuan dan masa lapang yang ada. Tidak perlulah menyental lantai sehingga berkilat. Setidak-tidaknya pastikan barang-barang terletak di tempat yang sepatutnya dan kebersihan rumah terjaga. Latih anak-anak supaya mengemas peralatan sekolah serta permainan sendiri. Sang suami pula janganlah goyang kaki sahaja di rumah. Pantaulah sedikit kebersihan di rumah!.
Sumber: myliferia.com/ surirumahtangga.blogspot / siraplimau