Siapalah yang tak bimbang bila anak mereka mengalami sembelit. Kanak-kanak dikatakan mengalami sembelit jika terpaksa meneran semasa berak.
Manakala, najis yang dikeluarkan pula kelihatan keras dan kering. Keadaan ini memberi kesan yang ketara kepada kualiti hidup anak-anak.
Apa punca anak sembelit dan apakah cara mengatasi sembelit anak kecil kita tu? Mama Siti ada kongsikan tentang dua perkara tersebut dalam entri kali ini.
7 Punca Anak Sembelit
#1 Alahan Susu Lembu
Reaksi alahan terhadap susu boleh berlaku pada kanak-kanak yang tidak dapat mencerna atau memecahkan laktosa, yang merupakan salah satu gula yang terdapat dalam susu.
#2 Kurang Air (Dehidrasi)
Apabila badan mengalami dehidrasi, ini bermakna saluran penghadaman tubuh badan anak kekurangan cairan atau tidak lembab.
Ini menyebabkan najis yang dihasilkan menjadi kering dan keras sehingga sukar untuk dikeluarkan.
#3 Ada Masalah Kesihatan
Sembelit ialah petanda! Antara contoh penyakit yang berkaitan ialah hipotiroid dan penyempitan usus besar.
#4 Baru Belajar Makan Pejal
Sembelit biasanya normal pada bayi yang baru mula makan makanan pejal.
Mama Siti rasa Mama patut mulakan dengan menawarkan makanan pepejal yang mudah dihadam pada peringkat permulaan untuk menggantikan susu ibu.
#5 Kurang Beraktiviti
Kurang pergerakan, kuranglah peredaran darah dalam badan anak-anak.
Bila peredaran darah tak lancar, pengecutan dalam usus menjadi tidak optimum.
#6 Kurang Makan Makanan Serat
Serat membantu meningkatkan isipadu najis dan melembutkannya.
Jadi, ketika sumber serat berkurang, ia menyebabkan najis yang dihasilkan dalam saluran penghadaman menjadi lebih keras dan sukar untuk dikeluarkan dari badan.
#7 Suplemen Tinggi Zat Besi
Terlalu banyak zat besi boleh menjejaskan keseimbangan bakteria baik dalam usus anak Mama.
Apabila bakteria baik dalam usus terganggu, pengeluaran najis menjadi perlahan dan ini menyebabkan sembelit.
Sekiranya anak Mama mengalami sembelit, cuba beberapa cara mengatasi sembeli anak di bawah ini:
10 Cara Mengatasi Sembelit Anak
#1 Air Kelapa Asli
Dapatkan air kelapa yang asli tanpa tambahan bahan perasa dan gula. Beri anak minum setengah hingga satu cawan air kelapa sebelum makan makanan berat.
#2 Buah Betik Pun Boleh!
Beri anak Mama makan buah betik ketika mereka sakit perut sembelit. Buah betik boleh dihidangkan dalam pelbagai cara mengikut umur mereka.
Contohnya, beri anak makan betik yang telah dilenyekkan jika mereka belum ada gigi.
#3 Minum Air Putih
Walaupun anak masih minum susu, berikan mereka air putih juga. Pengambilan air putih sebanyak 1 liter sehari adalah perlu untuk kanak-kanak berumur antara satu hingga tiga tahun.
Berbeza dengan orang dewasa yang memerlukan sekurang-kurangnya 3 liter sehari.
#4 Balm
Balm juga boleh melegakan sembelit dengan cepat. Bahan-bahan dalam balm ialah bahan-bahan yang baik untuk perut, seperti tangerine dan serai.
#5 Jus Nenas
Dapatkan sebiji nenas yang sudah masak kemudian jadikan jus. Ada yang kata seratnya perlu ditapis tapi Mama Siti selalu makan je semua sekali sebab serat pun bagus untuk penghadaman.
Minum jus nenas sebanyak dua kali sehari untuk atasi masalah sembelit.
#6 Minyak Zaitun
Mama boleh minum satu sudu besar minyak zaitun setiap malam sebelum tidur.
Begitu juga dengan anak kecil, boleh beri satu sudu kecil minyak zaitun setiap malam.
Rasa minyak zaitun memanglah tak sedap, tetapi ia meningkatkan penghadaman dalam usus. Hasilnya, najis jadi lembut dan mudah dikeluarkan.
Antioksidan yang terkandung dalam kunyit dapat memelihara dan melindungi usus.
#7 Kunyit
Cara pengambilan kunyit adalah dengan membuat jus atau makan macam tu saja.
Tambahan pula, jika Mama sakit sembelit kerana vitamin, kunyit boleh bertindak untuk melegakan rasa sakit itu.
#8 Bukan Makanan Segera
Hadkan makan makanan segera, walaupun ia hanya kentang goreng. Ini kerana bahan pengawet dalam makanan segera boleh menjadi faktor menyebabkan sembelit.
#9 Prebiotik dan Probiotik
Makanan yang tinggi dengan prebiotik adalah seperti pisang, bawang, dan bijirin. Manakala makanan yang kaya probiotik termasuklah yogurt, budu, kimchi dan sayur jeruk seperti timun.
#10 Bersenam/ Bermain
Apa-apa pun masalah kesihatan, kebanyakannya mesti akan nasihatkan pesakit untuk bersenam.
Buat senaman mengikut kadar yang Mama mampu dan tidak ikut-ikut orang.
Berbasikal adalah senaman yang dicadangkan tetapi jika tidak mampu, berjalan (brisk walk) selama 20 minit pun sudah memadai.
Kesianlah kalau anak sampai nak kena meneran ketika buang air besar. Sebab tu, kita kena cakna dengan punca anak sembelit dan cara mengatasinya supaya anak tak sakit perut lagi.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan pelbagai info dan tips kesihatan mengenai si kecil hingga ke dewasa di SINI!