Sehingga kini, terdapat pelbagai petua dan cara mengatasi period lambat yang boleh digunakan oleh para wanita bagi menyelesaikan masalah haid yang selalu membelenggu diri mereka.
Haid atau menstruasi ialah kitaran normal bagi setiap wanita yang bermula apabila seseorang wanita itu mencapai umur akil baligh iaitu antara 8 tahun sehingga 16 tahun, di mana kitaran haid ini akan berlaku pada setiap bulan.
Haid tidak dapat dipisahkan dari kehidupan bagi seorang wanita yang dilahirkan dengan kesihatan yang baik dan normal.
Boleh dikatakan semua wanita akan mengalami proses menstruasi ini kecuali bagi mereka yang menghidap sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH) sahaja yang tidak akan merasai pengalaman didatangi haid.
Selalunya kitaran haid bagi seorang wanita adalah di antara 3 ke 7 hari. Ada yang berlaku sehingga hari ke 10 atau sehingga hari yang ke 15.
Manakala tempoh kitaran haid dari satu kitaran ke kitaran yang seterusnya pula adalah berbeza iaitu di antara 21 hingga 35 hari.
Namun, kitaran haid ini berbeza bagi setiap wanita. Terdapat wanita yang mempunyai kitaran haid yang sama di mana proses menstruasi ini akan berlaku pada tempoh kitaran yang sama atau lebih kurang sama pada setiap bulan.
Tidak kurang juga terdapat ramai wanita yang menghadapi masalah berkenaan dengan haid datang lambat.
Faktor Yang Mempengaruhi Kitaran Haid
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan haid datang lambat. Antara faktor tersebut adalah seperti berikut:
#1. Tekanan
Apabila seseorang wanita itu mengalami tekanan, satu hormon yang berperanan penting dalam sistem reproduksi wanita iaitu Hormon gonadotropin releasing (GnRH) akan kurang dihasilkan. Oleh itu, ini akan mengganggu kitaran haid seorang wanita.
#2. Masalah Kesihatan
Masalah kesihatan seperti demam panas yang dihadapi secara tiba-tiba, baru selesai menjalani pembedahan, atau sakit yang memerlukan rawatan intensif juga boleh mengganggu kitaran haid wanita. Selain itu, masalah kesihatan yang berkaitan dengan sistem reproduksi juga boleh menyebabkan haid datang lambat.
Contohnya, Sindrom ovari polisistik atau PCOS. Bagaimana PCOS mengganggu kitaran haid? PCOS ini akan mengganggu kitaran haid seorang wanita apabila berlakunya ketidakseimbangan hormon dalam badan.
Di samping itu, masalah tiroid juga boleh mempengaruhi kitaran haid wanita. Tiroid akan menghasilkan dan mengimbangi penghasilan hormon yang mempengaruhi banyak fungsi tubuh termasuklah kesuburan.
Oleh itu, sekiranya anda mengalami masalah tiroid ini berkemungkinan anda akan mengalami ketidaktentuan kitaran haid.
#3. Pengambilan Pil Pencegah Kehamilan
Bagi wanita yang mengambil pil pencegah kehamilan untuk merancang kehamilan juga akan menghadapi masalah haid datang lambat.
Ini kerana, pil ini mengandungi hormon estrogen dan progestin di mana fungsinya adalah untuk menghalang ovari daripada melepaskan telur.
Jadi jangan terkejut sekiranya haid anda datang lambat atau tidak datang dalam tempoh 6 bulan selepas berhenti dari mengambil pil tersebut.
#4. Masalah Berat Badan
Masalah berat badan samada terlalu kurus atau terlalu gemuk (obesiti) turut menjadi faktor mengapa haid datang lambat. Bagi mereka yang mempunyai berat badan yang kurang daripada 10% berat badan normal (berdasarkan BMI) mempunyai risiko untuk mengubah cara tubuh badan berfungsi dan ianya akan menjejaskan proses ovulasi dari berlaku.
Manakala, bagi wanita yang menghadapi masalah berat badan berlebihan pula akan menyebabkan gangguan pada penghasilan hormon dan perkara yang sama turut dihadapi oleh mereka yang memiliki kurang berat badan.
#5. Menyusu Badan
Bagi ibu-ibu yang menyusu badan adalah normal sekiranya haid anda datang lambat kerana hormon yang menghasilkan susu (hormone prolaktin) akan menghalang proses ovulasi dari berlaku. Apabila ibu-ibu menyusu, hormon ini akan berada pada tahap yang tinggi dan akan mempengaruhi kitaran haid si ibu.
#6. Pengambilan Ubat-ubatan
Pengambilan ubat-ubatan seperti ubat sawan, ubat untuk merawat kemurungan dan ubat yang digunakan bagi merawat masalah kesihatan yang tertentu juga boleh mengganggu kitaran haid wanita.
11 Cara Mengatasi Period Lambat
Bagi mengatasi masalah seperti di atas terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan. Antaranya ialah:
#1. Kekalkan Berat Badan Yang Sihat
Seperti yang dinyatakan di atas, perubahan berat badan akan mempengaruhi kitaran haid wanita. Anda perlu menurunkan berat badan anda sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan.
Tidak perlu terlalu drastik tetapi secara berperingkat. Sel lemak yang berlebihan boleh mengganggu hormon reproduktif dan penghasilan insulin.
Bagi mereka yang mempunyai kurang berat badan atau masalah pemakanan anda boleh dapatkan nasihat dari pakar pemakanan berkenaan dengan cara pemakanan yang sihat dan yang mampu membantu anda menaikkan berat badan.
#2. Cara Mengatasi Period Lambat Dengan Senaman Yoga
Bagi yang menghadapai masalah haid datang lambat, anda boleh mencuba senaman yoga yang terbukti boleh membantu mengatasi masalah ini melalui kajian yang dijalankan pada tahun 2013.
Seramai 126 peserta telah menyertai kajian tersebut dan keputusan menunjukkan bahawa yoga yang dilakukan selama 35 hingga 40 minit, 5 kali seminggu sepanjang tempoh 6 bulan mampu merendahkan tahap hormon yang berkaitan dengan haid tidak teratur.
Selain itu, yoga juga mampu membantu mengurangkan sakit senggugut dan simptom emosi (kemurungan dan keresahan) yang berkaitan dengan haid.
#3. Cara Mengatasi Period Lambat Dengan Halia
Tiada kaitan saintifik yang menyatakan penggunaan halia dapat membantu masalah kitaran haid.
Namun, terdapat suatu kajian yang melibatkan 92 wanita yang mempunyai masalah haid berlebihan menunjukkan bahawa pengambilan makanan tambahan berasakan halia membantu mengurangkan pendarahan semasa haid.
Selain itu, sering kita dengar bahawa halia mampu membantu untuk melancarkan haid. Tiada salah sekiranya kita mencuba petua ini.
#4. Elakkan Pengambilan Diet Rendah Karbohidrat
Saranan dari pakar pemakanan untuk mengambil 45% ke 65% karbohidrat daripada kalori harian anda untuk membantu masalah berkaitan haid ini. Sekiranya pengambilan karbohidrat anda terlalu rendah ini akan mengganggu kitaran haid anda.
Diet yang rendah karbohidrat akan mengganggu fungsi hormon tiroid dan Leptin yang mengawal kitaran haid.
#5. Pengambilan Lemak Yang Cukup Dalam Diet Harian
Selain itu, antara cara lain untuk mengatasi masalah haid datang lambat adalah dengan mengambil lemak yang cukup dalam diet harian. Ini kerana, lemak mempunyai peranan penting dalam sistem hormon badan kita. Lemak yang disarankan untuk diambil ialah lemak tidak tepu.
Antara contoh lemak tidak tepu adalah seperti ikan yang tinggi kandungan omeganya (ikan salmon, sardin, tongkol), walnut, dan minyak sayuran.
#6. Cara Mengatasi Period Lambat Dengan Elakkan Tekanan
Di samping itu, anda perlu elakkan tekanan. Tekanan bukan hanya tidak baik untuk kesihatan mental tetapi ia juga mempengaruhi kitaran haid anda.
Sekiranya, anda merasakan tekanan yang tinggi cuba lakukan aktiviti yang boleh membantu anda melepaskan tekanan tersebut.
Contohnya anda boleh melakukan stress free activity seperti karaoke bersama rakan, membeli belah, melakukan hobi anda dan sebagainya.
#7. Jaga Pemakanan dan Amalkan Diet Seimbang
Pemakanan bukan sahaja akan mempengaruhi kesihatan tubuh badan malah mempengaruhi kitaran haid. Sekiranya anda mempunyai masalah haid datang lambat antara cara yang boleh dilakukan adalah dengan menjaga pemakanan anda.
Pastikan makanan yang diambil tidak mempunyai lemak tepu dan lemak trans yang tinggi. Ambil makanan seperti soya, asam, telur, bijan, brokoli, peria, betik dan sebagainya yang diuar-uarkan baik untuk masalah haid lambat. Tidak salah mencuba selagi ianya adalah selamat dan yang penting ianya dari sumber semulajadi.
#8. Tidur Dan Rehat Yang Cukup
Tidur adalah satu proses badan untuk merehatkan tubuh badan bagi semua jenis hidupan. Ianya adalah sangat penting untuk kesihatan tubuh badan manusia. Oleh itu, bagi mengekalkan stamina dan fungsi tubuh setiap manusia perlukan tidur yang mencukupi.
#9. Cara Mengatasi Period Lambat Dengan Kulit Kayu Manis
Kulit kayu manis ternyata mempunyai banyak kegunaan dalam menangani masalah berkaitan haid. Pada tahun 2014, satu kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kulit kayu manis berupaya untuk mengatur kitaran haid dengan baik.
Ianya juga merupakan antara rawatan yang berkesan untuk penghidap PCOS, mengurangkan rasa sakit senggugut, pendarahan yang banyak serta rasa mual dan muntah.
#10. Cara Mengatasi Period Lambat Dengan Cuka Epal
Satu kajian pada tahun 2013 menunjukkan wanita yang minum 15 ml cuka epal setiap hari boleh membantu mengembalikan ovulasi menstruasi wanita yang mempunyai masalah PCOS. Namun, kajian lebih mendalam diperlukan untuk mengesahkan lagi keputusan kajian tersebut.
Selain itu, cuka epal juga mempunyai kebaikan lain seperti membantu menurunkan berat badan, merendahkan tahap insulin dan gula dalam darah. Ambil dan minum cuka epal dengan mencampurkannya dengan air dan satu sudu besar madu.
#11. Pengambilan Dos Vitamin Harian Yang Mencukupi
Menurut satu kajian yang dijalankan pada 2015, kekurangan vitamin D dalam makanan seharian boleh menyebabkan haid tidak teratur. Hasil satu kajian lain juga mendapati bahawa vitamin D berkesan dalam merawat haid yang tidak teratur untuk pesakit PCOS. Vitamin D boleh didapati dalam produk tenusu seperti susu, keju dan lain-lain.
Selain dalam bentuk makanan, anda juga boleh mendapatkannya dalam bentuk makanan tambahan. Di samping itu, Vitamin B pula dipercayai mampu mengatur kitaran haid wanita. Namun, kajian yang lebih mendalam perlu dilakukan untuk menyokong hipotesis tersebut.
Masalah haid datang lambat bukanlah masalah yang luar biasa kerana perkara ini sering terjadi kepada ramai wanita di luar sana.
Namun, sekiranya haid anda tidak teratur dan diikuti oleh rasa sakit yang mengganggu rutin harian anda sebaiknya dapatkan pemeriksaan dengan segera kerana dikhuatiri anda mempunyai masalah lain yang mungkin membahayakan kesihatan anda.
Ketahui juga mengenai masalah kesihatan haid wanita dan juga kesihatan faraj di SINI!