KelabMama

Ini Cara Mak-mak Di Malaysia Menjaga Gigi Anak di Bawah Usia 2 Tahun

“Wah, gigi pertama anak Mama dah mulai tumbuh! Lepas ni kena tangkap gambar anak banyak-banyak sambil pastikan anak senyum nampak gigi.”

Ya, pastinya teruja saat melihat si manja mula tumbuh gigi pertama bukan? Dalam fikiran Mama dah mula atur bagi menggayakan anak di hadapan kamera supaya si manja senyum sambil menunjukkan gigi yang comel itu.

Masa ni, Mama pun dah terlintas untuk rakam keletah si manja sambil minta tolong Papa bergurau-senda di belakang kamera.

Tak salah pun, Mama. Bayi yang baru tumbuh gigi semestinya dirasakan bertambah comel lebih-lebih lagi bila mereka ketawa.

Namun, disebalik keghairahan Mama dan Papa merakam detik indah perkembangan si manja ini, jangan lupa untuk buat persediaan tentang penjagaan gigi si kecil.

“Eh, tapi gigi baru sebatang! Tak akan nak start gosok gigi dah?”

Ya Mama dan Papa. Untuk pengetahuan anda, sebelum bayi tumbuh gigi lagi, pakar pergigian menyarankan untuk mula memberus gusi mereka seawal usia empat hingga enam bulan.

Dalam fasa newborn, doktor akan menasihati ibu bapa untuk mencuci dalam mulut dan lidah bayi menggunakan kain basah bagi mengelakkan kulat susu.

Justeru, penjagaan dalaman mulut ini akan diteruskan sehinggalah kain tadi digantikan dengan berus lembut bagi menggosok gigi sebelum si kecil benar-benar tumbuh gigi.

Jadi, meskipun baru sebatang, Mama dan Papa dah boleh mulai memberus gigi mereka ya. Cuma ada berus tertentu yang sesuai mengikut tumbesaran usia mereka.

Ok, nak tahu macam mana kaedah penjagaan gigi si manja yang betul? Jom lihat entry Mama Siti kongsikan ini dipetik daripada beberapa perkongsian para ibu di Malaysia.

Kaedah Penjagaan Gigi Si Manja

1. Dedahkan bayi dengan aktiviti menggosok gigi seawal usianya

Sebaiknya usia enam bulan dianggap permulaan baik untuk mendedahkan anak dengan aktiviti menggosok gigi. Manakala paling lewat adalah sewaktu gigi pertama tumbuh.

Mungkin pada ketika ini, anda rasakan tiada masalah pun kalau tak gosok gigi anak. Malah sehingga usianya satu ke dua tahun, Mama dan Papa masih mengabaikan penjagaan gigi si kecil kerana meligat kondisi gigi mereka yang masih cantik dan tak rosak.

Namun awas Mama dan Papa, jika anda tidak mendedahkan aktiviti menggosok gigi seawal usianya, anda akan menghadapi masalah untuk menerapkan aktiviti kebersihan ini kepada anak.

Jika pada usia dua tahun baru nak mula, kebanyakkan si manja telah sukar dilatih dan benci dengan aktiviti membersihkan gigi.

Jadi, untuk elakkan perkara ini berlaku, sebaikya jangan abaikan rutin gosok gigi sejak daripada bayi lagi kerana dikhuatiri gigi anak mulai rosak, Mama ketika itu mungkin sukar untuk mengajar anak menjaga gigi daripada awal.

2. Kurangkan manisan

Selain menggosok gigi, mengawal makanan dan minuman yang manis juga adalah penting bagi pertumbuhan gigi yang sihat.

Ini kerana sifat gula sememangnya umu diketahui boleh merosakkan gigi apatah lagi yang tumbuh itu adalah gigi susu.

Bukan untuk kesihatan gigi semata-mata, namun pengambilan manis perlu dikawal untuk kesihatan tubuh si anak Mama sendiri.

3. Minum air kosong setiap kali selepas makan atau menyusu

Kebanyakkan doktor akan mencadangkan pengambilan air kosong setiap kali selesai minum susu terutamanya sebelum tidur.

Ini sebagai cara mengelakkan sisa makanan dan minuman terkumpul di celah gusi setiap kali lepas makan atau menyusu.

4. Mendapatkan khidmat sapuan florida di klinik yang sah

Sesetengah kes akan dirujuk oleh nurse atau doktor di Klinik Kesihatan bagi mendapatkan khidmat sapuan florida di Klinik Pergigian berdekatan.

Kebiasaannya, gigi si kecil yang dikhuatiri rosak atau kelihatan tak sihat akan dicadangkan untuk mendapatkan service berkenaan.

Sapuan fluorida atau Varnis Fluorida adalah fluorida yang disapu pada permukaan gigi untuk mencegah kerosakan gigi. Ia merupakan cecair likat yang mengandungi bahan fluorida.

Menurut Portal MyHealth, terdapat beberapa jenis varnis fluorida dan dua bahan fluorida yang kerap digunakan adalah 5% sodium fluoride and 0.9% difluorsilane.

Varnis fluorida merupakan rawatan klinikal bagi mencegah karies yang cepat, tidak menyakitkan dan selamat bagi kanak-kanak.

Penggunaannya mampu mengurangkan kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak antara 30% hingga 50% dengan bertindak menguatkan struktur gigi.

Sapuan florida ini hanya akan mengambil masa yang sangat singkat. Mula-mula, gigi akan dibersihkan dengan kain kapas lembut (gauze).

Apabila gigi telah dibersihkan, sedikit varnis fluorida akan disapu pada permukaan gigi tersebut. Varnis fluorida akan mengeras dan melekat pada permukaan gigi sejurus selepas sapuan. Ia untuk membantu penyerapan flourida ke dalam gigi.

Biarkan untuk beberapa jam. Ia akan hilang dan boleh ditanggalkan semasa memberus gigi nanti.

Untuk kanak-kanak yang berisiko tinggi mendapat kerosakan gigi, varnis fluorida boleh disapu sebanyak dua hingga empat kali setahun.

Namun, ia bukanlah rawatan yang membolehkan kanak-kanak tidak menggosok gigi. Gosok gigi tetap perlu dilakukan dua kali sehari.

Jika Mama risau sekiranya bayi Mama tidak pernah diberikan sapuan florida, Mama boleh rujuk doktor di klinik-klinik pergigian kerajaan atau swasta.

5. Elakkan tidur bersama botol susu atau puting

Bagi kes bayi yang mulai tumbuh gigi dan mereka tidur bersama puting tiruan, pertumbuhan gigi tadi akan memberikan kesan seperti sedikit jongang atau kedudukannya menjadi jarak.

Justeru, bagi Mama dan Papa yang mahu gigi anak cantik tersusun, elakkan puting tiruan menemani tidur si kecil ya.

Meskipun pacifier berkenaan dah dinyatakan jenis orthodontic, namun saat gigi awal mereka sedang tumbuh, ia tetap memberikan kesan kepada kedudukan gigi itu sendiri sekiranya menghisap puting ketika tidur.

6. Rujuk doktor atau nurse tentang masalah gigi bayi secepat yang mungkin

Jika Mama dan Papa perasan sesuatu yang luar biasa dengan keadaan gigi si manja, segera rujuk doktor untuk menilai tahap kesihatan gigi anak anda.

Kepentingan Menjaga Gigi Susu Bayi

Adakah Mama merasakan penjagaan gigi susu ini tak penting kerana ia bersifat tak kekal? Ya, meskipun ia akan diganti dengan gigi dewasa, namun tahukah Mama kesihatan gigi susu juga menentukan pembentukan gigi kekal itu sendiri?

Jika Mama dan Papa memandang ringan tentang penjagaan gigi susu anak anda, ia dikhuatiri mengakibatkan gigi kekal yang tumbuh nanti berada dalam susunan yang tidak rapi.

Sekiranya sebatang gigi yang rosak terpaksa dicabut, gigi lain yang tumbuh akan mengganggu pertumbuhan gigi kekal hingga boleh menyebabkan kondisi gigi berlapis.

Gigi kekal akan menghadapi masalah untuk tersusun rapi pada tempat dan ruang sepatutnya. 

Secara amnya, anak-anak akan mengalami proses pertukaran gigi susu kepada gigi kekal satu persatu seawal usia enam hingga 12 tahun.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Untuk ketahui pelbagai info tentang kesihatan si manja, Mama dan Papa boleh klik di SINI!