Banyak cara yang boleh digunakan untuk menilai tahap kesihatan kita dan antaranya adalah, dengan kiraan BMI.
Apakah yang dimaksudkan dengan BMI sebenarnya ya?
Apakah Itu BMI?
BMI adalah singkatan bagi Body Mass Index atau dalam Bahasa Melayu lebih dikenali sebagai Indeks Jisim Tubuh.
BMI adalah sebuah formula yang dirumuskan untuk mengetahui status berat badan kita melalui kiraan berat badan yang dibandingkan dengan ketinggian.
Cara kiraannya mudah sahaja. Cuma untuk kategori umur yang berlainan, carta formulanya adalah berbeza ya.
Kategori Untuk BMI
Secara umum, hasil dari kiraan formula ini akan mengklasifikasikan anda kepada kategori tertentu iaitu:
- Kurang berat badan
- Berat badan normal
- Berat badan berlebihan
- Obes
BMI anda (kg/m²) | Status berat badan anda |
18.5 atau kurang | Kurang berat badan |
18.5 – 24.9 | Berat badan normal |
25 – 30 | Berat badan berlebihan |
30 atau lebih | Obes |
Carta dari Surainee Wahab ini adalah rumusan umum untuk kiraan BMI. Namun ia hanya sesuai untuk mereka yang berusia 18 sehingga 65 tahun sahaja ya.
Manakala untuk golongan umur yang lain seperti kanak-kanak, terdapat carta lain yang boleh dirujuk. Tapi sebelum tu, jom kita belajar cara yang mudah untuk mengira BMI terlebih dahulu.
Formula dan Cara Kira BMI Yang Mudah Difahami
Untuk mengira BMI, terlebih dahulu anda perlulah mengetahui berat badan anda dalam timbangan kilogram dan tinggi badan dalam ukuran meter.
Untuk formula pengiraan BMI, kita akan bandingkan berat anda dan tinggi² anda:
Berat (kg) / Tinggi (m) x tinggi (m) = BMI
Hasil kiraan yang anda dapat melalui formula ini, itulah BMI anda. Sebagai contoh, 19.2. Untuk mengetahui status berat badan anda, anda haruslah rujuk carta kategori BMI mengikut usia anda ya.
Cara Kira BMI Untuk Orang Dewasa
Sebagai contoh, jika anda berumur 30 tahun, berat anda adalah 55 kilogram dan tinggi anda adalah 1.65 meter, kiraan BMI anda secara manualnya adalah:
55kg / 1.65m² : 55 / (1.65 x 1.65) = 20.2
Jadi mengikut carta BMI bagi usia 18 hingga 65 tahun ini, status berat badan anda adalah normal atau dalam kata yang lainnya, anda mempunyai berat badan yang unggul.
BMI anda (kg/m²) | Status berat badan anda |
18.5 atau kurang | Kurang berat badan |
18.5 – 24.9 | Berat badan normal |
25 – 30 | Berat badan berlebihan |
30 atau lebih | Obes |
Mudah je kan nak kira? Anda cuma perlu tahu berat dan tinggi badan sahaja. Sekarang pun, tak perlu susah-susah nak kira dengan kalkulator dah. Terdapat banyak laman web yang boleh bantu anda seperti ini.
Jika kiraan BMI anda 25 ataupun lebih, anda haruslah memandang serius status berat badan anda. Ia dapat meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit kronik seperti penyakit jantung. Hati-hati dan segera ambil tindakan ya?
Cara Kira BMI Untuk Kanak-kanak Dan Bayi
Manakala untuk kanak-kanak pula, cara pengiraannya tetap sama. Yang berbeza hanyalah carta kategori BMI untuk mereka. Mungkin kerana sistem badan kanak-kanak tidak sama dengan orang dewasa, jadi carta indeks jisim tubuh mereka juga berbeza.
Apabila anda berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan anak secara berkala, kiraan BMI merupakan salah satu indikator untuk mengetahui tahap kesihatan mereka.
Carta dan graf untuk kategori BMI bagi kanak-kanak adalah agak spesifik dan pelbagai ya untuk beberapa peringkat umur iaitu:
BMI Bayi Lelaki 2 Tahun Ke Bawah:
BMI Bayi Perempuan 2 Tahun Ke Bawah:
Bacaan graf daripada ecentral.my ini tidaklah seperti bacaan carta untuk orang dewasa tetapi agak berbeza:
- Bacaan BMI pada kawasan bertanda merah menandakan anak anda berlebihan atau kekurangan berat badan
- Manakala bacaan BMI pada kawasan bertanda kuning pula menunjukkan anak anda berisiko berlebihan atau kekurangan berat badan
- Tetapi jika bacaan BMI berada di kawasan yang bertanda putih, itu menandakan berat badan anak anda normal
BMI Kanak-kanak Lelaki 2 Hingga 5 Tahun:
BMI Kanak-kanak Perempuan 2 Hingga 5 Tahun:
BMI Kanak-kanak Dan Remaja Lelaki 5 Hingga 19 Tahun:
BMI Kanak-kanak Dan Remaja Perempuan 5 Hingga 19 Tahun:
Cara Kira BMI Untuk Ibu Mengandung
Pertambahan berat badan ketika hamil tidak sama dengan pertambahan berat badan orang dewasa yang lain ya. Ibu mengandung akan mengalami banyak perubahan pada badan mereka dari minggu pertama kehamilan sehinggalah mereka bersalin.
Antaranya adalah, pertambahan berat badan secara berterusan. Biasalah, badan anda sedang membesarkan bayi di dalam kandungan kan.
Namun harus berhati-hati ya. Pastikan pertambahan berat badan anda adalah normal mengikut kondisi anda. Untuk penilaian, bolehlah rujuk carta BMI untuk ibu mengandung dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini:
Berdasarkan carta ini, KKM telah menjelaskan kadar pertambahan berat badan yang sihat bagi setiap kategori status berat badan ibu yang mengandung:
- Untuk ibu hamil yang kurang berat badan : pertambahan berat badan yang ideal adalah antara 12.5 – 18kg
- Untuk ibu hamil yang berat badan normal : pertambahan berat badan yang ideal adalah antara 11.5 – 16kg
- Untuk ibu hamil yang berlebihan berat badan : pertambahan berat badan yang ideal adalah antara 7 – 11.5kg
- Untuk ibu hamil yang obes : pertambahan berat badan yang ideal adalah antara 5 – 9kg
Manakala, khas untuk ibu mengandung yang kiraan BMI mereka adalah 18.5 hingga 25, pertambahan berat badan yang normal mengikut minggu ialah:
- Trimester pertama (minggu 1 hingga 12) = 0.9 hingga 2kg
- Trimester kedua (minggu 13 hingga 26) = 4 hingga 5kg
- Trimester ketiga (minggu 27 hingga 40) = 5 hingga 6kg
Ibu mengandung perlu memantau pertambahan berat badan mereka dengan teliti kerana mereka lebih berisiko untuk mendapat pelbagai penyakit yang boleh membahayakan nyawa mereka dan bayi seperti diabetes semasa hamil dan anemia.
Jom Berusaha Untuk Dapatkan Berat Badan Yang Unggul!
Mempunyai berat badan yang unggul bukanlah bermaksud anda benar-benar sihat dan bebas dari sebarang penyakit tetapi risiko untuk anda mendapat penyakit mungkin lebih rendah.
Lakukan senaman dan amalkanlah pemakanan dan gaya hidup yang sihat sentiasa. Jika perlu, dapatkan nasihat dari pakar kesihatan dan jalani pemeriksaan secara berkala ya.