Mama dalam proses keringkan susu badan? Ini adalah keputusan yang biasa diambil apabila anak Mama sudah tidak lagi menyusu atau ada sebab tertentu yang membuatkan Mama perlu berhenti menyusu.
Kalau Mama tertanya-tanya cara keringkan susu badan yang selamat, terdapat beberapa kaedah yang boleh dicuba bergantung kepada keadaan badan Mama sendiri.
Apa yang penting, pastikan Mama memilih cara yang selamat dan selesa untuk mengelakkan rasa sakit atau bengkak pada payudara.
8 Cara Keringkan Susu Badan Mama dengan Mudah
1. Minum Teh Peppermint

Herba seperti peppermint dipercayai dapat membantu mengurangkan pengeluaran susu. Mama boleh mengambil teh peppermint atau teh sage dalam jumlah yang bersesuaian.
Teh peppermint adalah antara cara semula jadi yang boleh membantu mama keringkan susu badan. Kandungan menthol dalam daun peppermint dipercayai mampu mengurangkan penghasilan susu.
Mama boleh minum secawan teh peppermint suam setiap hari untuk membantu proses ini. Namun, pastikan Mama tidak mengambilnya secara berlebihan dan memantau reaksi tubuh sendiri.
Cara ini bukan sahaja membantu keringkan susu, tetapi juga boleh memberi rasa tenang dan melegakan stress.
2. Kurangkan Sesi Penyusuan Secara Berperingkat

Menghentikan penyusuan secara mendadak boleh menyebabkan Mama bengkak susu dan mastitis, jadi lebih baik Mama kurangkan sesi penyusuan secara beransur-ansur.
Contohnya, bayi Mama biasanya menyusu sebanyak lima kali sehari, cuba kurangkan kepada empat kali sehari selama beberapa hari, kemudian turunkan lagi secara beransur-ansur.
Jika Mama rasa tidak selesa di payudara sebelah lagi, Mama boleh gunakan cara mermet untuk melegakan tekanan.
Cara ini memberi isyarat kepada badan Mama bahawa susu tidak lagi diperlukan dalam jumlah yang banyak, dan badan akan secara semula jadi mengurangkan pengeluarannya.
3. Cara Keringkan Susu Badan Dengan Daun Kubis Sejuk

Daun kubis adalah salah satu petua tradisional yang telah lama digunakan untuk mengurangkan bengkak susu. Cara penggunaannya adalah seperti berikut:
- Simpan daun kubis dalam peti sejuk sehingga sejuk.
- Letakkan daun tersebut pada payudara yang bengkak selama 20 hingga 30 minit.
- Gantikan daun kubis apabila ia menjadi layu atau panas.
Daun kubis dipercayai membantu menyerap lebihan cecair dan mengurangkan keradangan pada tisu payudara.
4. Elakkan Rangsangan Pada Puting Payudara
Rangsangan pada puting boleh merangsang pengeluaran susu. Oleh itu, elakkan daripada memicit, mengepam, atau menyentuh payudara secara berlebihan.
Ini termasuk mengelakkan pancutan air suam yang terus mengenai payudara ketika mandi.
Jika terdapat keperluan untuk Mama mengepam kerana rasa tidak selesa akibat payudara bengkak, lakukan dengan perlahan dan hanya untuk melegakan tekanan, bukan untuk mengosongkan payudara sepenuhnya.
5. Pakai Bra yang Sesuai dan Memberi Sokongan

Memakai bra yang sesuai adalah langkah penting untuk Mama yang sedang dalam proses keringkan susu badan.
Pilih bra yang memberi sokongan penuh tanpa terlalu ketat bagi mengelakkan tekanan berlebihan pada payudara yang boleh menyebabkan rasa tidak selesa atau bengkak.
Sebaiknya Mama elakkan bra berdawai kerana ia boleh menyekat saluran susu dan meningkatkan risiko mastitis.
Dengan bra yang betul, Mama bukan sahaja berasa lebih selesa tetapi juga dapat membantu mempercepatkan proses pengeringan susu badan secara lebih efektif.
6. Kompres Sejuk untuk Melegakan Bengkak

Bengkak pada payudara adalah perkara biasa apabila Mama sedang cuba keringkan susu badan. Untuk mengurangkan rasa tidak selesa, kompres sejuk boleh menjadi pilihan yang berkesan.
Caranya:
- Mama balutkan pek ais atau sayur beku dalam kain bersih.
- Letakkan pada payudara selama 15 hingga 20 minit.
- Mama lakukan beberapa kali sehari jika perlu.
Kaedah ini membantu mengecutkan saluran darah, sekali gus mengurangkan bengkak dan rasa sakit.
Pastikan kompres tidak diletakkan terus pada kulit, Mama balut dahulu dengan kain nipis untuk mengelakkan kerengsaan.
7. Gunakan Ubat Penghalang Pengeluaran Susu (Jika Perlu)
Sekiranya cara semula jadi ini tidak berkesan atau Mama mengalami bengkak dan kesakitan yang teruk, penggunaan ubat penghalang pengeluaran susu boleh menjadi pilihan.
Ubat seperti ini bertindak menghentikan hormon prolaktin yang merangsang penghasilan susu badan Mama.
Namun, penting untuk Mama mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum mengambil sebarang ubat. Ini bagi memastikan dos yang sesuai untuk Mama serta mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini.
Langkah ini biasanya disarankan apabila kaedah lain tidak mencukupi atau dalam situasi tertentu atas sebab kesihatan.
8. Berbincang dengan Pakar Laktasi atau Doktor

Bagi Mama yang masih menghadapi kesukaran atau mengalami masalah seperti bengkak susu yang teruk, demam, atau mastitis, dapatkan bantuan daripada pakar laktasi atau doktor.
Mereka boleh memberikan panduan yang tepat serta rawatan yang bersesuaian.
Proses mengeringkan susu badan memerlukan kesabaran dan perhatian yang rapi. Ia bukan sahaja melibatkan perubahan fizikal tetapi juga emosi bagi sesetengah Mama.
Mama boleh cuba lakukan cara yang Mama Siti kongsikan ini dengan berhati-hati dan jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan daripada pakar jika perlu.
Bukan hanya kesihatan bayi yang penting, kesihatan Mama juga perlu diberi perhatian dan dijaga dengan baik.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Bagaimana cara untuk bancuh susu formula dengan betul? Klik di SINI.