“Amboi, lenanya baby tidur! Tapi ni dah langkau empat jam, tak sampai hati pula nak kejutkan dia. Boleh ke kalau biarkan je dia tidur sampai puas kemudian baru susukan?”
Pertama kali bergelar parents, pastinya ini antara perkara yang bermain di fikiran. Saranan daripada petugas kesihatan meminta bayi untuk dibangunkan bagi sesi menyusu membuatkan Mama dan Papa sedar bahawa ini bukanlah tugas mudah.
Ya, tak mudah! Ingatkan kejut si kecil kemudian bagi susu je, settle. Rupanya mengejutkan bayi ternyata bermain dengan emosi dan cara kejutkan bayi yang betul.
Rasa kasihan melihat si kecil enak dibuai mimpi dan biasanya, golongan si ibulah yang berat hati untuk bangunkan bayi. Namun, tak kurang juga rasa malas sebab Mama kena set time untuk tinggalkan sekejap aktiviti yang sedang dibuat demi menyusukan anak.
Bagaimanapun, mengejutkan bayi yang sedang tidur untuk menyusu sebenarnya adalah penting. Memetik laporan WHO, bayi yang baru lahir perlu diberikan susu mengikut waktu tepat menyusu iaitu setiap dua ke tiga jam, termasuk pada waktu malam.
Kekerapan penyusuan ini boleh berbeza-beza bergantung kepada bayi dan keperluan pemakanan mereka. Namun, bagi kes bayi yang memang aktif menyusu, Mama boleh beri mengikut permintaan (on demand) iaitu apabila bayi menunjukkan tanda-tanda lapar, seperti menghisap jari, mencari puting atau payudara, atau mula meragam.
Kepentingan Bayi Menyusu Mengikut Waktu
Tetapi, jangan lupa saranan WHO iaitu terus menyusukan si kecil meskipun pada waktu malam ketika mereka tidur. Berikut adalah kepentingan menyusu untuk bayi yang sedang lena.
1. Mengelakkan Perut Bayi Kosong
Umum mengetahui bayi yang minum susu ibu akan cepat berasa lapar kerana minuman berkhasiat itu sememangnya mudah dihadam. Justeru, kebiasaannya doktor akan menyarankan bayi yang biasanya berusia antara kosong hingga dua bulan diberikan susu dengan kerap.
Ketika usia berkenaan, si kecil memang gemar tidur dan jika Mama tak kejutkan untuk menyusu, bayi boleh tidur berjam-jam tanpa minum meskipun perut mereka sudah kosong.
Walhal, situasi perut kosong untuk seorang bayi adalah tidak elok kerana dikhuatiri menyebabkan angin dan seumpamanya
2. Membantu Meningkatkan Berat Badan Bayi Dengan Mudah
Tahukah anda bayi yang masih dalam fasa newborn sangat mudah mengalami perubahan berat badan? Aktif minum susu, naiklah beratnya, tapi kalau tak sihat sampai hilang selera menyusu untuk satu ke dua hari pun, berat mereka dah turun dengan cepat.
Justeru, ini adalah sebab mengapa pentingnya bayi perlu menyusu dengan kerap meskipun ketika tidur. Bukan apa, kalau berat badannya tak berada di landasan yang betul, satu hal pula Mama nak kena datang checkup di klinik dengan kerap.
3. Menggalakkan Penghasilan Susu Badan Mengikut Jadual
Dalam usaha menggalakkan penghasilan susu badan yang meriah, menjaga waktu pengeluaran susu juga adalah salah satu rangsangan yang tepat.
Untuk peringkat awal, semua ibu biasanya terpaksa bergelut dengan kuantiti susu yang sedikit dan justeru, cara untuk memastikan penghasilan susu berada di tahap optimum, Mama haruslah memastikan jarak pemberian susu kepada bayi tidak terlalu lama.
Kebiasaannya, pakar laktasi menggalakkan penyusuan bayi untuk setiap empat ke lima jam. Namun, bagi kes bayi yang mempunyai jaundice, penyusuan lebih kerap iaitu setiap dua ke tiga jam lebih digalakkan.
4. Mengelakkan Bayi Bangun Dalam Keadaan Cranky
“Baru bangun tidur tiba-tiba melalak, ish, stress Mama dibuatnya!” Ya ini biasanya disebabkan mood mereka cranky kerana lapar.
Selalunya, dua perkara asas yang membuatkan si kecil cranky adalah kerana mengantuk dan lapar. Selain daripada itu, ia biasanya dikaitkan kerana si kecil tak sihat atau seumpamanya.
Jadi, cara nak pastikan bayi bangun dalam keadaan ceria adalah memastikan mereka berasa kenyang.
Cara Kejutkan Bayi Untuk Menyusu
Memetik kaedah yang dikongsikan portal Parenting First Cry, berikut merupakan cara sesuai untuk kejutkan bayi bangun menyusu:
1. Buka Pakaian Bayi
Membuka pakaian si kecil dengan lembut boleh mengejutkan mereka daripada lena. Jadi, dalam keadaan mamai atau berjaga, Mama boleh ambil peluang untuk menyusukan bayi pada waktu ini.
2. Pencahayaan Yang Sesuai
Adjust tahap pencahayaan lampu dengan kadar sesuai untuk membangunkan bayi anda. Jika suasana bilik terlalu malap, Mama boleh tingkatkan lagi pencahayaan sehingga menepati level sesuai untuk membuatkan si kecil sedar.
3. Urutan Lembut
Mengusap lembut tubuh bayi juga merupakan kaedah sesuai untuk mengejutkan si kecil bangun dan menyusu. Bila rasa tubuh disentuh, memang buatkan bayi mudah terjaga.
4. Mengangkat Bayi
Jika kaedah mengusap atau menggerakkan anggota tubuhnya tidak berhasil, apa kata Mama guna pula cara seterusnya iaitu mengangkat bayi secara perlahan.
Kebiasaannya bayi akan sedar dan senang terjaga jika mereka diangkat ketika sedang tidur.
5. Menyanyi
Menyanyi pastinya membuatkan bayi terbangun, tapi bezanya Mama Siti yakin mereka akan bangun dalam keadaan tenang dan senyap bila dengar suara lembut ibunya menyanyi.
6. Berbual Dengan Bayi
Walaupun mereka sedang tidur, Mama boleh panggil lembut nama bayi Mama. Bila dah terjaga, Mama boleh berbual-bual tentang apa je sebelum mula susukan mereka.
7. Meletakkan Kain Sejuk
Bukan baby je, tapi orang dewasa pun boleh terjaga bila ada benda sejuk menyentuh tubuhkan? So, bolehlah Mama guna taktik ni jugak untuk bangunkan bayi dan kejutkan mereka menyusu.
8. Tegakkan Posisi Tubuh Bayi
Menegakkn posisi tubuh si kecil yang sedang tidur seperti lengan dan kakinya memberikan isyarat kepada otak mereka untuk bangun tau? Ha, tak tau kan!
Apa kata Mama cuba taktik ni nak kejut mereka menyusu.
9. Tukar Diaper
Mama Siti yakin ini antara kaedah popular yang ramai Mama di luar sana lakukan. Cara kejutkan bayi paling mudah mestilah dengan menukar lampin mereka.
Banyak pergerakan dibuat masa ni, jadi pastinya si kecil pun senang terjaga.
10. Tingkatkan Rangsangan
Tingkatkan rangsangan seperti mengurut lembut jari comel si kecil, mencium pipi dan pelbagai lagi aktiviti mesra antara Mama dan bayi boleh dilakukan dalam usaha untuk mengejutkan mereka.
Khas untuk Mama yang pertama kali bakal menjadi ibu, jom sertai program Motherhood New Mom untuk mendapatkan New Mom Program seperti ‘welcome gift’ percuma dan cabutan bertuah untuk 31 pemenang pada setiap bulan (1x Chicco KidFit 2-in-1 Belt Positioning Booster Car Seat, 30x Exclusive Baby Set)!
Apa tunggu lagi jom serang website Motherhood atau download aplikasi Motherhood sekarang!
Untuk ketahui lebih lagi tentang info dan tips tentang kehamilan, Mama boleh klik di SINI!