“Alahai, kesiannya tengok anak Mama sorang ni daripada tadi berkerut-kerut muka merengek. Mesti tengah struggle nak buang air besar kan?” Situasi sebegini pasti menjentik simpati Mama tatkala melihat si kecil yang baru lahir berdepan kesukaran untuk membuang najis. Sampai pening Mama dibuatnya fikirkan cara hilangkan sembelit bayi baru lahir yang berkesan.
Meskipun tidak mengalami masalah kesihatan, namun isu sembelit dikalangan bayi tentunya membuatkan seorang ibu itu bimbang dan sedih lantaran melihatkan anak yang masih kecil terpaksa berusaha meneran kudratnya. Jika kita yang dewasa pun boleh rasa terseksa bila diserang sembelit, apatah lagi seorang bayi.
Selain daripada wajah berkerut dan merengek, antara tanda lain bahawa si manja anda mungkin mengalami sembelit adalah najis tampak seperti pelet kering yang keras. Najis berkenaan tidak meresap masuk ke dalam lampin.
Menurut portal oleh My Health, bayi yang consume formula milk perlu diberi perhatian agar membuang air besar sekurang-kurangnya sekali sehari berbanding bayi yang minum susu ibu semata-mata.
Sembelit adalah keadaan di mana seorang kanak-kanak atau bayi menghasilkan najis yang keras atau kurang kekerapan ke tandas membuang najis. Frekuensi pembuangan najis untuk pelbagai peringkat umur adalah seperti berikut :
- Bayi yang menyusu badan mungkin membuang air besar selepas setiap penyusuan atau sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh seminggu.
- Bayi menyusu formula atau kanak-kanak mungkin membuang najis sekali setiap 2-3 hari.
Apa yang lebih penting adalah konsistensi najis daripada kekerapan pembuangan air besar. Masalah ini sering terjadi di kalangan kanak-kanak yang sedang belajar mengawal pembuangan najis dan selepas keadaan yang menyakitkan atau menakutkan sewaktu pembuangan najis.
Punca-Punca Berlakunya Sembelit
Masalah sembelit bayi boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor. Namun, tiada sebab atau punca yang jelas. Keadaan ini dikenali sebagai sembelit idiopatik iaitu apabila penyebabnya tidak diketahui.
Jika anak tidak mengalami pergerakan usus untuk satu atau dua hari dan tekstur najis mereka lembut atau cair, ia bererti tiada masalah sembelit berlaku. Ia lantaran bayi juga memerlukan masa untuk mengatur jadual pergerakan usus sendiri dan kekerapan membuang air besar yang tidak teratur adalah normal.
Bagaimanapun, sebelum mengetahui keadah merawat masalah ini, adalah penting untuk Mama dan Papa cari punca penyebab sebenar yang mendorong bayi anda mengalami sembelit.
1. Kekurangan serat dalam makanan
Masalah sembelit yang biasanya berlaku kepada bayi menyusu adalah apabila si manja mula diberikan makanan pejal seperti bijirin, carrot, gandum atau kekacang tanpa kandungan serat.
Keadaan tersebut mungkin akan menyebabkan najis menjadi sukar untuk melalui usus.
2. Dehidrasi
Antara masalah kesihatan yang boleh dialami bayi adalah seperti selesema, batuk, jangkitan tekak atau masalah gigi. Jika ia berlaku, kandungan air dalam badan si manja akan berkurang dan mengakibatkan dehidrasi. Sekali gus boleh menjadi punca bayi sembelit.
3. Penyusuan susu formula
Walaupun menyusu badan, ada sesetengah ibu yang turut memberikan susu formula kepada bayi mereka. Keadaan tersebut boleh mendorong kepada masalah sembelit.
Umumnya, susu formula lebih sukar dicerna oleh bayi berbanding susu ibu, oleh sebab itu najis mungkin menjadi lebih keras dan berketul. Untuk bayi yang mempunyai masalah alahan protein susu juga akan mengalami sembelit apabila diberikan susu formula.
4. Keadaan cuaca
Perubahan cuaca yang panas dan lembap boleh menyebabkan bayi berpeluh dengan banyak dan mendorong kepada dehidrasi. Kandungan air dalam badan bayi yang kurang boleh mengakibatkan sembelit.
5. Tabiat dan diet pemakanan ibu
Pergerakan usus bayi adakalanya turut bergantung kepada tabiat pemakanan Mama. Ini bermakna apa yang dimakan Mama menentukan tahap kesihatan bayi.
Kalau diet ibu kekurangan serat dan mengandungi zat besi berlebihan, ia boleh menjadi punca bayi sembelit. Oleh itu, sangat mustahak untuk Mama menyusu badan menjaga pemakanan dan lebih mengambil makanan yang rendah kandungan zat besi.
6. Keadaan kesihatan
Kadang-kala, masalah melibatkan perubatan seperti kelainan pada saluran pencernaan, bukaan rektum yang kecil boleh menyukarkan bayi membuang najis.
Walaupun ia jarang untuk berlaku, namun sudah tentu ia boleh menyebabkan sembelit. Secara amnya, cara untuk mengatasi bayi sembelit melibatkan kesihatan ini memerlukan campur tangan perubatan.
Mama perlu membawa bayi berjumpa pakar pediatrik.
7 Cara Hilangkan Sembelit Bayi Baru Lahir
Kalau sudah tahu punca bayi sembelit, barulah Mama dan Papa boleh tahu kaedah yang sesuai untuk dipraktikkan bagi mengatasi masalah sembelit pada si kecil bukan?
Berikut merupakan tips dan cara hilangkan sembelit bayi baru lahir yang dikongsikan oleh portal Hello Doktor.
1. Kekal hidrasi
Dehidrasi boleh jadi punca sembelit yang serius pada bayi yerr Mama. Oleh itu, pastikan si manja mendapat cecair yang mencukupi menerusi susu ibu atau air.
Jika bayi Mama diberi susu formula, berbincang dengan pakar pediatrik tentang melaraskan kepekatan atau menawarkan air tambahan antara feeding session berkenaan.
2. Beri makanan berserat
Jika bayi anda sudah mula mengambil makanan pejal, pastikan anda memberikannya makanan berserat, seperti buah-buahan atau sayuran. Makanan berserat tinggi boleh membantu melembutkan najis.
3. Senaman bersesuaian
Pernah dengar tentang senaman kayuh basikal? Ini antara cara tradisional yang sesuai dan selamat untuk semua bayi seawal lahir lagi. Senaman ni sangat mudah dan boleh beri keselesaan pada bayi Mama. Walaupun mereka tak terus membuang air besar, sekurangnya boleh melepaskan kentut dan mengurangkan angin dalam perut. Memang mudah dan berkesan. Caranya:
- Tolak lutut bayi ke perut. Pastikan ketika lakukan senaman ini bayi tenang dan tidak menangis.
- Lakukan secara dua ke tiga kali dan anda dapat dengar bunyi ‘prutt’ menandakan perut anak dah keluar angin!
Bila nampak anak tak selesa dan tak membuang dalam tempoh beberapa hari, bolehlah buat senaman ni perlahan-lahan. Paling penting kena buat masa anak tak menangis. Biar anak tenang lagi mudah dia bagi kerjasama.
4. Mengusap perut si manja
Selain senaman, kaedah urutan juga boleh dilakukan bagi membantu melawaskan bayi Mama. Cara ini adalah bertujuan mengaktifkan usus bayi sekaligus melancarkan proses membuang air besar. Tak tahu urutan apa? Ia dipanggil urutan I LOVE U.
Cara-cara:
- Baringkan bayi dengan permukaan rata dan bersih. Ambil sedikit Trub Balm pastikan balm berada di jari tangan.
- Pandang bayi dan mulakan dengan urutan huruf ‘I’. Gunakan dua atau tiga jari dengan perut di bahagian kiri bayi di atas tulang rusuknya. Ikuti ke bawah ke sendi pinggul.
- Kemudian, buat urutan huruf ‘L’ terbalik dari kanan ke kiri perut bayi.
- Akhir sekali, buat urutan huruf ‘U’ terbalik dari kanan ke kiri perut.
- Ulang beberapa kali urutan ini sehingga bayi lega dan selesa.
5. Pengambilan jus prune
Jika bayi Mama berumur lebih daripada enam bulan, Mama boleh berikan sedikit jus prun cair (1-2 auns) untuk membantu melembutkan najis. Bagaimanapun, Mama dinasihatkan untuk berunding dengan pakar pediatrik sebelum memberikan jus kepada bayi.
6. Rawatan oleh doktor
Jika sembelit bayi Mama berterusan atau disertai dengan gejala lain yang berkaitan seperti muntah, demam, atau darah dalam najis, adalah penting untuk berunding terus dengan doktor. Mereka boleh memberikan panduan khusus berdasarkan umur dan sejarah perubatan bayi Mama.
7. Tukar diet Mama
Jika si kecil menyusu badan, Mama perlu tengok semula diet Mama yerr. Kadangkala, makanan tertentu dalam diet ibu boleh menjejaskan pencernaan bayi. Penyebab biasa termasuk produk tenusu, kafein, dan makanan bergas. Elakkan sementara menu seumpamanya dan lihat adakah ia berkesan menghilangkan masalah sembelit si kecil.
Sembelit boleh menjadi keadaan serius dan menyakitkan. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan serius.
Namun, Mama perlu faham, pergerakan usus tidak teratur pada bayi bukan punca bayi sembelit. Jika si manja benar-benar mengalami kesukaran untuk membuang najis, dapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor segera.
Untuk lebih informasi yang terkini serta perkongsian menarik daripada pakar-pakar di Malaysia, Mama boleh sertai Motherhood New Mom Privilege. Mama juga berpeluang untuk mendapatkan pelbagai baucar, welcome gift, cabutan bertuah bulanan, dan hadiah istimewa apabila anda mendaftar di New Mom Program yang dianjurkan Motherhood.com.my.
Untuk pelbagai perkongsian oleh pakar dan info kesihatan, Mama boleh klik di SINI!
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.