KelabMama

12 Cara Hilangkan Kurap Yang Berkesan, Selain Krim & Ubatan

Kegatalan akibat kurap sangatlah membuat pesakit tidak selesa. Selalu rasa nak menggaru kulit yang berkurap tu kan Mama? Ada masa, sampai buntu nak fikirkan cara hilangkan kurap yang berkesan.  

Mama Siti nasihatkan agar Mama berhenti berbuat demikian kerana ia hanya akan mengakibatkan kurap semakin merebak. 

Cara dan petua berkesan menghilangkan kurap ada dalam artikel ini. Bahan semula jadi, ubat doktor dan cara pemakaian juga termasuk dalam cara menyelesaikan masalah kurap di anggota badan. 

Tetapi sebelum itu, kita lihat dulu asal usul terjadinya kurap dan tanda-tanda seseorang itu dijangkiti kurap.

Apa Itu Kurap?

Kredit gambar: getridofthings.com

Kulat atau Ringworm ialah penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan kulat. Padan dengan namanya, jangkitan kulat mempunyai bentuk seakan cincin dan cacing.

Kulit di bahagian anggota badan manusia menjadi tidak rata dan bersisik. Tidak cuma itu, kurap juga membuatkan pesakit menggaru-garu di kawasan yang gatal.

Jika tidak dirawat segera ia akan mengganggu fungsi seharian seseorang. Lebih parah lagi apabila orang sekeliling mula menjauhkan diri dari kita. 

Petua & Cara Hilangkan Kurap Dengan Berkesan

1. Ubat Sapu

Kredit gambar: watsons.com.my

Memandangkan ubat sapu penyakit kurap tidak memerlukan preskripsi doktor jadi ia boleh diperolehi di farmasi berdekatan.

Ubat sapu berupaya membunuh kulat dan menyembuhkannya dari masa ke masa. Contohnya ubat sapu ialah imidazole, allylamine, tolnaftate dan cicloprox.

2. Pakaian Yang Tidak Terlalu Ketat

Kredit gambar: Jangankalot.blogspot.com

Ciri-ciri pakaian yang perlu dipatuhi ketika dijangkiti kurap ialah tidak terlalu ketat, berlengan panjang dan berseluar panjang serta selesa. 

Elakkan untuk membalut kawasan jangkitan kerana ia sebenarnya hanya melambatkan proses penyembuhan. 

Bagi perempuan muslim mungkin boleh menggunakan baju dan seluar lebih labuh untuk menggantikan stokin.

3. Sentiasa Cuci Cadar dan Selimut

Kredit gambar: goodhousekeeping.com

Tempat tidur yang terdapat spora kulat akan terus membiak sekiranya tidak dibersihkan. Oleh itu, adalah lebih baik agar kita tukar selimut, cadar dan sarung bantal setiap malam sehingga kurap sembuh. 

4. Selalu Ganti Pakaian

Stokin, tudung, dan pakaian dalam ialah tempat yang sering didapati kulat. Bahagian pelipat dan tersembunyi cenderung untuk berpeluh lebih banyak dari bahagian anggota badan lain. 

Pastikan pakaian dan bahagian berkurap sentiasa bersih dan kering. 

5. Syampu Anti-Kulat

Kewujudan kurap di bahagian kepala mengambil masa lebih lama untuk sembuh. Kawasan berambut yang kadang-kala tertutup kerana memakan tudung dan topi melambatkan proses penyembuhan. 

Syampu anti-kulat ialah ubat over the counter yang boleh dibeli tanpa preskripsi doktor. Gunakan syampu kurap yang mengandungi bahan aktif seperti  ketoconazole, selenium sulfide dan pyrithione zinc.

6. Ubat Anti-Kulat (Pil)

Kredit gambar: alamhamilblog.com

Jika masih buntu memikirkan cara menghilangkan kurap di kepala, kaki, bahagian kemaluan dan anggota badan yang lain, Mama boleh berjumpa dengan doktor. 

Doktor akan beri preskripsi atau senarai jenis ubat yang perlu dimakan dalam masa yang ditetapkan. 

7. Serbuk Kunyit

Kredit gambar: Adabi

Mama Siti pernah nampak petugas zoo melumurkan serbuk kunyit dekat gajah. Rupa-rupanya kunyit ada bahan anti-bakteria untuk membunuh kuman di kulit. 

Selain itu, zat anti inflamasi berkesan untuk melegakan rasa gatal disebabkan kurap. Caranya adalah dengan mencampurkan serbuk kunyit dengan minyak kelapa dan lumurkan di bahagian badan yang berkurap. Lebih baik lagi jika melumurkan ke seluruh bahagian bahdan. 

8. Cuka Epal

Kredit gambar: eatthis.com

Basahkan kapas dengan cuka epal dan sapukan di tempat yang berkurap. Jadikan ia rutin sekerap mungkin supaya kurang cepat hilang. 

Jika terdapat kesan sampingan, Mama jangan tunggu lama ya. Terus sahaja berjumpa dengan doktor. 

9. Minyak Daun Teh (Tea Tree Oil)

Kredit gambar: medicalnewstoday.com

Tambahkan minyak daun teh dengan pelembab muka (moisturizer) dan sapukan di anggota badan yang berkurap. Terus lakukannya setiap hari hinggalah kurap berkurangan dan sembuh. 

Kandungan minyak daun teh mempunyai sifat anti radang untuk meredakan rasa gatal. 

Perhatian: minyak daun teh tidak boleh disapukan secara langsung di kulit badan.

10. Minyak Kelapa

Kredit gambar: barealchemy.com

Asid lemak dalam minyak kelapa bertindak membunuh sel fungal dengan cara merosakan sel membran. 

Bahan semulajadi menyembuhkan kurap ini hendaklah disapukan di kawasan yang bermasalah setiap hari hingga kurap sembuh. 

11. Daun Lidah Buaya (Aloe Vera)

Sifat anti-kuman, anti-bakteria dan anti-virus sememangnya baik untuk kesihatan kulit. Dalam erti kata lain, apa-apa sahaja masalah berkenaan kulit boleh diselesaikan dengan daun lidah buaya. 

Jadikan rutin setiap tiga hingga empat kali menyapu aloe vera ke kulit yang dijangkiti kulat kurap. 

12. Bawang Putih

Kuman seperti Candida, Torulopsis dan Cryptococcus antara yang mampu diatasi dengan bawang putih. 

Hancurkan bawang putih bersama-sama minyak zaitun atau minyak kelapa. Seterusnya, sapu di anggota badan yang dijangkiti kurap dan biarkan selama dua jam sebelum dicuci dengan air bersih. 

Tips dan Pantang Larang Untuk Mencegah Jangkitan Kurap

Memandangkan kurap sejenis penyakit berjangkit maka elakkan berkongsi pakaian dengan pesakit dijangkiti kurap seperti baju, seluar, tuala dan selendang. 

Seterusnya, asingkan tempat tidur sementara dengan pasangan Mama keran dikhuatiri kurap akan menjangkiti pasangan satu lagi melalui sentuhan. 

Pastikan diri kerap mandi, mencuci rambut dan menggantikan pakaian setiap hari lebih-lebih lagi pakaian yang banyak berpeluh. 

Jika terdapat kontak kulit dengan pesakit kurap, segera cuci tangan dengan sabun dan keringkan tapak tangan. 

Akhir sekali, pilih baju yang longgar dan tidak menyerap peluh untuk mengelakkan kurap menghampiri kita. 

Bahan semula jadi, ubat doktor dan cara pemakaian juga termasuk dalam cara menyelesaikan masalah kurap di kulit badan. 

Dalam 12 tips hilangkan kurap yang Mama Siti telah kongsikan, Mama dah cuba yang mana satu? Berhasil tak? 

Kalau belum berhasil mungkin boleh cuba kaedah lain yang ada dalam senarai 12 cara hilangkan kurap ini. Segera rawat kurap kerana bimbang ia akan merebak dan menjangkiti orang lain pula. 


Ikuti tips dan panduan kesihatan yang lain di SINI.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.