“Minggu depan nak kena bentangkan kertas kerja, kalau kepala gatal-gatal masa pembentangan, menganggu acara pula nanti”
Betul tak Mama? Kalau ada kelemumur, asyik nak menggaru kepala saja kan. Kita tak boleh biarkan perkara ini terus berlaku. Kena juga cari penyelesaiannya.
Mari Mama Siti bantu dengan kongsikan cara hilangkan kelemumur di rumah yang praktikal dan berkesan. Tapi sebelum itu, apa kata Mama cari tahu dulu punca terjadi kelemumur di kulit kepala supaya dapat menghindari masalah di masa depan.
Punca-Punca Kelemumur
- Jarang Mencuci Rambut
Rambut yang lama tidak dicuci mungkin mendorong kepada terhasilnya kelemumur. Rambut berminyak, kering serta terdapatnya sel kulit mati perlu di syampu setiap dua hingga tiga kali seminggu.
- Produk Rambut Tidak Bersesuaian
Setiap orang mempunyai tidak balas berbeza terhadap sesuatu bahan yang digunakan pada kulit mereka. Mama perlu pastikan produk penjagaan rambut tidak merengsakan kulit atau menjadikan kulit kepala gatal dan berkepingan.
- Perubahan Hormon
Perubahan hormon berlaku apabila seseorang mencapai usia akil baligh atau selepas melahirkan anak. Mama Siti juga tidak menolak keadaan tekanan yang boleh mendorong berlakunya kelemumur.
- Yis Malassezia
Sejenis kulat yang wujud secara semulajadi pada kulit kepala. Namun begitu, apabila ia mula menjangkiti folikel rambut, keadaan rambut menjadi berkelemumur.
Mama dah tau punya-puncanya bukan? Kalau nak kurangkan, berikut merupakan cara hilangkan kelemumur yang Mama boleh cuba di rumah.
Pastikan konsisten, insyaAllah kejap sahaja sudah dapat melihat hasilnya.
21 Cara Hilangkan Kelemumur Secara Alami
#1 Cuka Epal
Buat yang mengalami masalah kelemumur yang teruk, Mama Siti sarankan agar Mama mulakan dengan kaedah nombor satu ini. Caranya adalah dengan membuat larutan cuka epal dan air dengan nisbah yang sama.
Kemudian, nasahkan rambut dan oleskan ke seluruh bahagian kepala sambil diurut selama 15 minit. Akhir sekali, jangan lupa bilaskan rambut dengan air bersih.
#2 Daun Inai
Selain memberikan warna kepada si pemakai, inai juga juga merupakan bahan semulajadi yang menghilangkan kelemumur secara mudah. Malahan rambut Mama menjadi lebih lembut dari biasa.
#3 Minyak Kelapa + Lemon
Petua orang lama yang satu ini diyakini mampu menyelesaikan masalah kelemumur. Rawatan campuran minyak kelapa dan jus lemon menanggalkan kuping-kuping kelemumur malahan juga dikatakan mampu menghilangkan kelemumur secara kekal.
#4 Biji Fenugreek
Mungkin agak sukar untuk mendapatkan biji fenugreek di Malaysia. Sebagai ganti, Mama boleh usahakan dengan mencari produk penjagaan rambut yang mengandungi biji fenugreek. Antara kebaikan di dalamnya termasuklah protin, vitamin C, zat besi, kalium, dan lesitin.
#5 Daun Semambu (Daun Neem)
Pro vitamin B5 dalam daun semambu mampu meningkatkan kelembapan rambut dan menyihatkan kulit kepala. Tindakan dua dalam satu bahan. Bijak kan.
#6 Kulit Buah Oren
Pertama sekali, kisarkan kulit buah oren dengan sedikit jus lemon hingga menjadi pes. Kemudian, sapu pada kulit kepala dan biarkan selama 30 minit. Akhir sekali, barulah cuci dengan syampu anti kelemumur. Ulang langkah ini tiga kali seminggu.
#7 Kuning Telur
Kalau putih telur baik untuk kulit wajah , kuning telur pula bermanfaat untuk menghilangkan kelemumur pada rambut. Oleskan kuning telur ke kepala dan tutup dengan tuala atau shower cap.
Pastikan rambut Mama kering sebelum mula merapikan rambut dengan kuning telur. Akhir sekali, cuci rambut Mama dengan syampu dan bilas.
#8 Teh Hijau
Pertama sekali sebelum mandi, sediakan air rebusan teh hijau. Kemudian, selepas selesai mensyampu rambut, bilas dengan air teh hijau ke seluruh bahagian rambut Mama. Hasilnya kelemumur semakin berkurang. Tambahan, rambut menjadi lebih sihat, tebal dan bersinar.
#9 Daun Selasih
Dengan sifat antikulat dan antibakteria, daun selasih berupaya menyembuhkan masalah kelemumur teruk. Malahan ia juga menguatkan dan menyihatkan rambut. Hasilnya, kelemumur Mama semakin berkurang dan rambut semakin lebat.
#10 Minyak Zaitun
Amalkan pemakaian minyak zaitun pada rambut Mama sebelum tidur atau sebelum syampu rambut. Lakukan lebih kerap untuk hasil yang lebih ketara.
#11 Pembersih Mulut
Harapnya Mama tak cepat melatah ketika membaca tips yang satu ini ya. Terdapat dua kebaikan apabila menggunakan pembersih mulut sebagai bahan menghilangkan kelemumur.
- Mengawal pembiakan yis agar tidak membiak secara berlebihan.
- Bersifat antifungal mampu melawan yis yang menyebabkan kelemumur.
#12 Pisang + Cuka Epal
Kandungan nutrisi pisang yang kaya dengan Vitamin B meningkatkan peredaran darah dan menyihatkan kulit. Manakala, cuka epal pula bertindak sebagai racun kulat dan membunuh kuman yang terdapat pada kulit kepala.
#13 Bawang Putih
Bawang Putih menghapuskan makrob berbahaya yang mengakibatkan kelemumur. Caranya adalah dengan mencampurkan bawang putih yang telah ditumbuk bersama-sama madu dan oleskan ke kulit kepala. Selepas 15 minit, cuci rambut dengan syampu.
#14 Makanan Tinggi Antioksidan
Sayur-sayuran yang disarankan adalah seperti bayam, brokoli, kangkung dan tomato. Selain itu, Mama boleh gantikan snek seperti bar coklat kepada dark chocolate.
#15 Makanan Tinggi Lemak Sihat
Mama hendaklah lebihkan makanan seperti ikan dan kacang walnut yang kaya dengan khasiat omega-3. Kumpulan makanan ini membantu mengurangkan kelemumur dan membentuk folikel rambut yang lebih sihat serta kuat.
#16 Daun Pandan
Proses daun pandan menjadi pes dan oleskan di kulit kepala. Kalau masih belum tahu, mari Mama Siti kongsikan caranya.
Kisar daun pandan dengan sedikit air. Apabila telah betul-betul hancur, lumurkan ke kulit kepala dan urut selama 15 minit. Kemudian, barulah bilas dengan air bersih.
#17 Limau Nipis
Ada satu kali Mama Siti masuk bilik Mak dan terhidu kuat bau tomyam. Dalam hati “tak kan lah Mak makan dalam bilik air? “
Rupa-rupanya, dia cuci rambut pakai limau nipis. Padanlah kuat bau limaunya. Mama pun boleh cuba di rumah. Caranya mudah sahaja, basahkan rambut dan perahkan jus limau nipis dan ratakan keseleruh bahagian kepala.
#18 Santan
Dapatkan santan asli dan pekat. Kemudian, sapukan ke seluruh bahagian sambil urut kulit kepala. Bagi mendapatkan hasil yang terbaik, balut kepala dengan tuala atau shower cap dan biarkan selama dua jam. Akhir sekali, bilas rambut dengan syampu dan air bersih.
#19 Garam Bukit
Alam semula jadi selalu memberikan penyelesaian untuk masalah kesihatan kita. Begitu juga dengan garam bukit yang boleh menghilangkan kelemumur.
Ikuti cara yang Mama Siti kongsikan ini agar kelemumur segera hilang dari rambut Mama.
- Sediakan dua sudu garam bukit dan air
- Larutkan kedua-duanya di dalam bekas
- Lumurkan dan gosokkan perlahan-lahan pada kulit kepala. Ataupun Mama boleh lumur dan biarkan selama 30 minit sementara menunggu tindak balas larutan dengan kelemumur
- Selepas itu, barulah kita cuci dengan air bersih
#20 Rambut Kering Selepas Mandi
Masalah kelemumur, keguguran rambut dan rambut berbau adalah antara akibat jika Mama tidak memastikan rambut betul-betul kering sebelum mengikat rambut atau memakai hijab.
#21 Lidah Buaya
Lidah buaya atau aloe vera memang tidak asing lagi buat rawatan kulit. Ia termasuklah sebagai ubatan bagi masalah kelemumur.
Caranya adalah dengan mengoleskan gel lidah buaya keseluruh bahagian rambut dan kulit kepala. Kemudian diamkan selama 30 minit sebelum dibilas dengan air bersih.
Kelemumur buatkan kita asyik tergaru-garu. Jadi tak selesa dan menganggu acara. Oleh yang demikian, Mama boleh cuba kesemua cara hilangkan kelemumur yang dikongsikan di atas, mengikut kesesuaian Mama.
Namun begitu, Mama jangan hanya beri perhatian kepada cara menyelesaikan masalah kelemumur tetapi juga perlulah ambil peduli punca berlakunya kelemumur. Dengan cara ini barulah kelemumur dapat dihindari.
Dapatkan tips dan panduan penjagaan rambut yang lain DI SINI.