Kalau Mama baru sahaja perasan ada jeragat di wajah, Mama tidak perlu terlalu bimbang. Jeragat bukan penyakit kulit tetapi ianya disebabkan peningkatan melanin dalam badan.
Jeragat juga boleh muncul pada kawasan lain yang terdedah kepada sinaran cahaya seperti bahu dan tangan. Walaupun jeragat tidak berbahaya, tetapi ia mungkin menjejaskan penampilan seseorang.
Bagi menyelesaikan masalah jeragat, Mama Siti kongsikan cara menghilangkan jeragat secara tradisional dan melalui ubat-ubatan farmasi. Ada sesetengah daripada cara hilangkan jeragat ni, dapat juga merawat jerawat Mama tau.
Tapi sebelum itu, kita perhatikan terlebih dahulu apa yang menyebabkan jeragat terjadi.
Punca-Punca Terjadi Jeragat
Sinaran Ultralembayung (UV)
Sinar UV selalu ditemukan melalui panaran matahari, lampu pendaflour, lampu halogen dan pada beberapa jenis laser. Manakala, pencahayaan wap merkuri yang terdapat di gim dan stadium juga mencetuskan terjadinya jeragat.
Pencemaran Dari Persekitaran
Zarah-zarah tercemar dari alam sekitar meningkatkan radikal bebas pada kulit bebas dalam badan. Pencemaran juga mengakibatkan microbiome kulit menjadi tidak stabil dengan cara menganggu pertahanan kulit. Kesannya, Mama mungkin akan perasan terdapat bintik bintik hitam terutamanya pada kulit wajah.
Faktor Keturunan
Adakah ini satu mitos atau fakta? Jawapannya, fakta. Pigmentasi kulit seorang wanita boleh menurun kepada si anak. Mama tidak perlu bimbang kerana kita masih boleh mengawal melalui rawatan-rawatan yang bersesuaian.
Produk Kecantikan Berbahaya
Pernah dengar produk timbang kilo. Bahan kandungan yang berbahaya mengakibatkan lapisan perlindungan kulit terhakis. Sinaran UV terus meresap ke lapisan epidermis lebih cepat dari biasa. Akhirnya, pembentukan melanin atau jeragat pun terhasil.
Tekanan Perasaan
Tekanan perasan menyebabkan perubahan terhadap interaksi sesama hormon. Hormon yang tidak stabil mengakibatkan terjadinya jeragat.
9 Cara Hilangkan Jeragat Secara Alami dan Farmasi
Krim Farmasi
Krim jeragat rata-ratanya mempunyai fungsi menghalang penghasilan melanin berlebihan, mempercepat proses pengelupasan, melarutkan zarah kulit mati dan menghentikan pembentukan pigmen.
Pastikan produk menghilangkan jeragat yang digunakan mengandungi komponen bahan-bahan seperti berikut;
- Hydroquinone
- Alfa Hidroksi dan Beta Hidroksi
- Retinoid
- Asid Salisik (BHA)
- Niacinamide
- Asid Kojic
Produk Perlindungan Kulit (Sunscreen)
Sebaiknya Mama pilih sunscreen dengan jenis SPF 30. Ia menapis 97% UVB untuk mencegah kesan terbakar atau sunburn pada kulit. Manakala sunscreen jenis UVA melindungi kulit dari cepat berkedut, kusam dan pigmentasi.
Sekadar pesanan dari Mama Siti, produk sunscreen diciptakan dengan formulasi tertentu. Ada produk pelindung matahari yang tidak telap air atau bukan dalam kategori wudhu’ friendly. Oleh itu, Mama perlu cuci dengan pencuci muka atau pembersih solekan (make up remover) terlebih dahulu ya.
Pencuci Muka (Cleanser)
Cuci muka dengan produk yang bersesuaian dengan jenis kulit muka Mama dua kali setiap hari. Pencuci muka terbaik untuk mengurangkan jeragat mestilah mengandungi bahan seperti sodium ascorbyl phosphate dan tanpa paraben.
DIO active dalam pencuci muka ialah kandungan bahan yang berkesan dan lembut pada kulit serta diyakini sesuai untuk kulit orang Malaysia. Manakala, pencuci muka dengan label paraben free sangat sesuai untuk Mama dengan jenis kulit sensitif kerana ia tidak mengeringkan dan tidak menyebabkan alergi.
Cuka Epal (Apple Cider)
Cuka epal berfungsi sama seperti astringen. Ia mengeluarkan minyak berlebihan pada kulit wajah.
Dua cara hilangkan jeragat dengan cuka epal:
- Tuangkan satu sudu cuka epal dalam satu cawan berisi air. Kemudian, oleskan di tempat yang berjeragat menggunakan kapas. Selepas 10 minit, bilas dengan air suam.
- Teknik skrub: campurkan cuka epal dengan tepung jagung hingga menjadi sebatian pekat. Letakkan di kawasan berjeragat dan sental secara lembut. Selepas 15 hingga 20 minit, bilas dengan air bersih.
Jus Lemon
Kandungan asid hidroksi dalam jus lemon ialah agen pengelupasan bagi kulit berjeragat. Jenis asid ini membuang lapisan sel kulit mati dan merangsang penghasilan sel kulit baru.
Begitu juga dengan astringen yang terkandung dalam jus lemon yang membuang minyak berlebihan di kulit wajah.
Cara-cara pudarkan jeragat dengan jus lemon:
- Oleskan jus lemon pada kulit muka dan kawasan berjeragat dan biarkan selama 15 hingga 20 minit. Kemudian, cuci dengan air bersih. Ulang langkah ini setiap hari sebelum tidur.
Bijirin Oat
Tahukah Mama, oat ialah agen pengelupasan semulajadi yang menghilangkan kulit mati dan kotoran yang terkumpul di liang-liang pori.
Dua cara hilangkan jeragat dengan bijirin oat:
- Campurkan dua sudu yogurt, satu sudu jus lemon, sedikit madu dan empat sudu serbuk oat. Sapukan di bahagian kulit yang berjeragat terutamanya pada kulit wajah. Selepas 20 minit, bilas dengan air bersih.
- Campurkan serbuk oat dan air bersih. Sebatikan dan letakkan pada kulit berjeragat. Dalam masa yang sama, gunakan teknik scrub untuk membuang sel kulit mati. Akhir sekali, cuci dengan air bersih.
Lakukan secara rutin contohnya dua kali seminggu untuk mendapatkan kesan ketara.
Baking Soda
Selain mempercepat pengelupasan sel kulit mati, baking soda juga bertindak mengekalkan keseimbangan pH kulit.
Caranya adalah dengan campurkan satu sudu baking soda dengan sedikit air hingga menjadi sebatian pekat. Kemudian, sapukan di bahagian yang berjeragat beberapa minit sebelum mencuci muka.
Lakukan secara rutin iaitu dua hingga tiga kali seminggu.
Nota: Kaedah ini tidak sesuai untuk kulit sensitif
Lidah Buaya (Aloe Vera)
Tanaman herba yang satu ini memang tidak asing lagi digunakan sebagai remedi rawatan kulit. Aloe vera memastikan kulit kekal terhidrasi. Hasilnya, kulit menjadi anjal dan berseri.
Sebatian aktif aloesin dalam lidah buaya berupaya melawan pigmentasi kulit. Dari masa ke masa, jeragat akan memudar dan akhirnya hilang secra semulajadi.
Serbuk Kunyit
Curcumin dalam kunyit bukan hanya memberikan warna dan rasa tetapi ia juga mengurangkan penghasilan melanin pada kulit.
Jeragat terjadi disebabkan penghasilan melanin berlebihan oleh sel melanosit tubuh kita. Perawatan serbuk kunyit satu kali seminggu boleh menghilangkan jeragat di wajah.
Cara-cara hilangkan jeragat dengan serbuk kunyit:
- Satu sudu teh serbuk kunyit digaulkan bersama jus lemon.
- Kacaukan hingga menjadi sebatian yang pekat.
- Ratakan di seluruh kawasan yang berjeragat dan biarkan hingga kering.
- Kemudian, cuci dengan air bersih.
Kaedah menghilangkan jeragat boleh dilakukan melalui cara tradisional seperti tanaman herba. Selain itu, rawatan farmasi juga boleh dilakukan agar jeragat cepat hilang.
Tips dan petua yang Mama Siti kongsikan ini tidak terhad kepada kulit wajah sahaja tetapi boleh juga diaplikasikan di bahagian tubuh badan yang lain.
Pastikan Mama perhatikan kesan sampingannya ya. Jika terdapat iritasi atau kesan alergi, segera hentikan dan berjumpa dengan doktor.
Dapatkan pelbagai tips kecantikan dan kesihatan wanita yang lain dengan klik SINI.