KelabMama

14 Cara Disiplinkan Anak Tanpa Paksaan dan Drama Berserta Kepentingannya

cara disiplinkan anak perempuan

Ketika anak-anak memasuki masa pertumbuhan dan perkembangan, mereka mula menunjukkan perilaku yang berbeza dan kadang-kala sukar dikendalikan.

Artikel ini akan menerangkan 14 cara efektif untuk membantu Mama dan Papa dalam proses mendisiplinkan anak-anak dengan lebih baik.

14 Cara Disiplinkan Anak Melalui Emosi, Minda dan Bahasa!

#1 Bina Hubungan Kasih Sayang

Kredit gambar: Freepik

“Huh? Dia kan anak saya, mestilah saya sayang dia. Dia pun sayang saya”

Mama yakin? Tahukah Mama di media sosial ramai anak-anak berkongsi betapa jauhnya mereka dengan ibu bapa. Boleh katakan, ibu bapa bukan lah tempat pertama yang mereka datangi apabila menghadapi kesusahan emosi. 

Keadaan itu jelas menunjukkan kekurangan jambatan perasaan antara ibu bapa dan anak. Oleh itu, latih diri dari sekarang agar hadir secara fizikal dan emosi untuk anak-anak kita. 

#2 Tegas Dalam Mendidik

Tegas tak sama dengan garang. Garang terkait dengan perbuatan menengking, pukul dan marah. Manakala tegas pula ialah berpendirian teguh. 

Kita perlu tegas dalam mendidik. Apa yang tidak dari mula, hendaklah tidak hingga ke akhir. Tambahan pula, tegas tidak diaplikasikan dengan nada tinggi, cukup dengan nada yang serius. 

Contohnya, anak dihadkan menggunakan telefon pintar hanya satu jam setiap hari. Mama jangan ‘cair’ pula apabila mereka memujuk untuk tambahan masa, perlu tegas. 

#3 Mama Papa Dulu, Baru Anak

Kredit gambar: Facebook/ Adlil Rajiah

Benarlah kata penulis keibubapaan, Puan Adlil Rajiah.   

“Kaedah mendidik terbaik ialah melalui akhlak”

Di sini kita boleh fahamkan bahawa anak perlu melihat kita sebagai Mama dan Papa menjadi seorang yang berdisiplin. 

Contohnya, berdisiplin mengemas ruang meja selepas makan. Selain itu, tidur dan bangun tepat waktu. 

#4 Kenal Pasti Faktor Pencetus

Kenal pasti faktor yang menyebabkan anak melanggar syarat-syarat yang kita telah beritahu. Adakah kerana perasaan seronok atau bosan. 

Ataukah sebenarnya mereka sedang protes terhadap sesuatu tetapi kata-katanya tidak diberi perhatian. 

#5 Langkah Pencegahan

Kredit gambar: Penfield Pediatric

Boleh jadi anak-anak gagal berdisiplin disebabkan faktor yang mengganggu rutin harian mereka. Oleh itu, Mama dan Papa hendaklah pastikan mereka telah pun memenuhi rutin makan, tidur dan bermain agar proses mendisiplinkan anak-anak berjalan lancar. 

#6 Konsisten

“Mama kata boleh. Kenapa Papa tak bagi?”

Dalam perkara mendisiplinkan anak, kedua-dua ibu dan ayah harus sependapat pada perkara yang disepakati. Anak akan jadi keliru dan hilang fokus untuk berdisiplin. 

#7 Jaga Emosi

Kredit gambar: AsiaOne

Profesor pediatrik University North Carolina Medical School, William Coleman, M.D menasihatkan agar tidak meninggikan suara ketika ingin mendisiplinkan anak. 

Ini kerana apabila anak dibanjiri dengan perasaan negatif ibu bapa, dia akan melihat emosi dan tidak akan mendengar apa yang dikatakan.   

#8 “Ya Sayang, Ibu Dengar Ni”

Tiadalah emosi yang lebih baik selain ianya didengari. Ada ketika anak Mama merengek kerana tidak dapat membeli mainan yang diinginkan. 

Pada ketika ini Mama perlu sahkan perasaan mereka dan tunjukkan bahawa Mama menganggap perasaan mereka penting. 

“Nampaknya adik marah dekat Mama sebab tak dapat beli mainan. Marah boleh, tetapi merengek tidak boleh.”

#9 Lebih Ringkas, Lebih Baik

Kredit gambar: iStock

Lebih kecil usia anak, lebih pendek frasa yang digunakan. 

Anak 1 tahun: “Jangan pukul ibu. Sakit. Jangan pukul.” 

Anak 2 tahun: “Jangan melompat di atas sofa. Jangan melompat. Melompat berbahaya, boleh jatuh. Jangan melompat.”

Anak 3 tahun: “Kena gosok gigi sekarang, nanti tak sempat nak main dengan kawan-kawan”

#10 Tawarkan Pilihan

Semakin seseorang dapat mengawal hidup mereka, mereka semakin menikmati kehidupan. Oleh itu, ketika anak anda kelihatan seperti tidak mahu mengemas bilik dan mandi. Mama berikan mereka pilihan sama ada ingin mengemas bilik dahulu atau mandi. 

#11 Jaga Bahasa!

Kredit gambar: Maggie Dent

Paling penting kita tak nak anak rasa dirinya tidak disayangi ketika kita menegah sesuatu perbuatan. Jadi apabila berkomunikasi dengan anak banyakkan menggunakan perkataan saya berbanding awak. 

Contohnya; 

“Mama suka kalau abang kemaskan mainan selepas main”

#12 Ajarkan Empati

“Abang tak boleh pukul kawan macam tu, nanti dia sakit”

Ini membantu anak melihat bahawa tingkah laku mereka secara langsung memberi kesan kepada orang lain. Disini, mereka belajar tentang sebab dan akibat sesuatu perbuatan.  

#13 Ganjaran Berkelakuan Baik 

Kredit gambar: iStock

Di dalam buku Atomic Habit tulisan James Clear ada dinyatakan, ganjaran serta-merta mendorong seseorang mengulanginya di masa depan. 

Melalui cara itu, kita dapat membina tabiat dan memudahkan proses mendisiplinkan anak. 

#14 “Adik Rasa Apa Kita Patut Buat?”

Ada masa kita sendiri tidak tahu nak buat macam mana. Mungkin Mama boleh minta cadangan dari anak-anak. 

“Abang rasa kita patut buat apa untuk kemaskan mainan yang berterabur ni?”

#15 Kekal Positif

Kredit gambar: Voices of Youth

Walau apa pun keadaan anak-anak Mama dan Papa semasa proses disiplin, kekal positif. Ingat bahawasanya mereka masih belum matang dan masih memerlukan lebih latihan untuk berdisiplin. 

Mama dan Papa perlu saling berganding bahu mendisiplinkan anak. 

Kepentingan Disiplin Untuk Anak-anak

  1. Bantu Capai Matlamat

Orang yang berdisiplin tidak bergantung kepada motivasi dan mood semata-mata. Mereka boleh mencapai matlamat dengan pengurusan efektif. 

  1. Emosi Lebih Stabil

Apabila anak-anak kita berdisiplin, mereka sebenarnya sedang membina ketahanan agar kekal konsisten. Manakala anak-anak yang tidak berdisiplin pula, cenderung memaparkan tingkah laku agresif kerana kegagalan mengawal diri.  

  1. Perspektif Positif

Individu yang mempunyai kawalan diri (self-control) cenderung untuk memperoleh keuntungan positif dalam pelbagai aspek. Contohnya menjadi pemimpin, diberi tanggungjawab besar dan lain-lain.

  1. Pelajar Yang Baik

Kanak-kanak yang berdisiplin tinggi dapat memberi tumpuan dalam jangka masa panjang serta berupaya membuat keputusan yang lebih baik secara akademik. 

  1. Bina Daya Tahan (Resilience)

Sesungguhnya nilai yang satu ini memerlukan masa untuk seseorang menguasainya. Apabila kita mula amalkan prinsip disiplin dalam diri anak sejak kecil, mereka berpotensi untuk bangkit semula ketika dilanda cabaran dalam kehidupan. 

Kredit gambar: iStock

Penerapan kaedah yang bersesuaian mampu membantu Mama dan Papa mencapai matlamat mendisiplinkan anak melalui emosi, minda dan bahasa.

Semoga anak-anak kita menjadi orang yang berdisiplin untuk memudahkan kehidupan dewasa mereka.


Dapatkan lebih banyak tips keibubapaan dan rumahtangga di SINI!