Mama yang nak hamil mesti tertanya-tanya macam mana cara dapat anak kembar. Sama ada Mama Papa berharap untuk mengandung anak kembar atau mengelakkannya, tak rugi Mama Papa ambil tahu faktor-faktor yang meningkatkan kemungkinan mempunyai kembar.
Tapi ingat tau, walaupun sesetengah perkara meningkatkan peluang Mama untuk dapat anak kembar, tiada jaminan dan tidak kira apa yang anda lakukan, kebanyakan orang masih akan mengalami kehamilan tunggal.
Umum mengetahui bahawa rawatan kesuburan seperti Clomid (clomiphene), Gonal-F (follitropin alfa) dan Follistim (follitropin beta) meningkatkan kemungkinan Mama akan hamil denga kembar.
Tetapi faktor lain seperti ketinggian, umur, diet dan sejarah keluarga juga boleh meningkatkan (atau mengurangkan) risiko anda untuk mengandung lebih daripada seorang bayi pada satu masa.
Mama Papa mungkin tertanya-tanya kenapa mengandung kembar Mama Siti sebut sebagai “risiko” dan bukan potensi?
Lagipun, kalau anda sedang berusaha untuk hamil atau ingin mempunyai lebih daripada seorang bayi, bagus lah kan dapat kembar? Hakikatnya kehamilan berganda datang dengan risiko tambahan kepada ibu bapa dan bayi.
Cara Dapat Anak Kembar, Faktor & Risiko
Faktor Dapatkan Anak Kembar
Faktor Genetik
Kalau Mama Papa mempunyai genetik kembar dalam keluarga, peluang anda untuk mengandung anak kembar adalah lebih tinggi. Ini terutama berlaku untuk wanita yang mempunyai kembar dalam keluarga mereka.
Ini kerana ianya lebih berkemungkinan mewarisi gen yang membuatkan mereka mengeluarkan lebih daripada satu telur pada satu masa.
Faktor Etnik
Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa perbezaan latar belakang etnik boleh memberi kesan kepada peluang anda untuk mendapat anak kembar.
Sebagai contoh, wanita kulit putih, hitam dan bukan Hispanik lebih berkemungkinan mempunyai anak kembar berbanding wanita Hispanik.
Wanita Nigeria mempunyai kadar kelahiran kembar tertinggi, manakala wanita Jepun merupakan yang paling rendah.
Faktor Umur
Wanita yang berumur lebih dari 30 tahun — terutamanya wanita lewat 30-an — mempunyai peluang yang lebih besar untuk mendapat anak kembar. Ini kerana mereka lebih berkemungkinan mengeluarkan lebih daripada satu telur semasa ovulasi berbanding wanita yang lebih muda.
Ibu yang berumur antara 35 dan 40 tahun yang sudah bersalin mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mengandung anak kembar.
Faktor Saiz Badan
Anak kembar adalah lebih biasa pada wanita yang lebih besar ataupun lebih tinggi dan/atau berat badan berlebihan.
Pakar tidak pasti mengapa ini berlaku, tetapi mengesyaki mungkin kerana wanita ini mengambil lebih banyak nutrien daripada wanita yang lebih kecil.
Faktor Suplemen
Ramai doktor mengesyorkan mengambil asid folik, vitamin B sebelum dan semasa mengandung untuk mengurangkan risiko kecacatan tiub saraf seperti spina bifida.
Sebelum hamil, doktor biasanya mengesyorkan mengambil kira-kira 400 mikrogram asid folik setiap hari dan meningkatkan jumlah ini kepada 600 mikrogram semasa kehamilan.
Terdapat beberapa kajian kecil yang mencadangkan asid folik boleh meningkatkan kemungkinan hamil anak kembar.
Tetapi masih tidak ada kajian berskala besar untuk mengesahkan bahawa ini cara dapat anak kembar yang terbukti. Jika anda cuba hamil, pengambilan asid folik akan membantu melindungi perkembangan otak bayi anda.
Cara Dapat Anak Kembar Dengan Penggunaan Perubatan Kesuburan
Ubat-ubatan yang direka untuk meningkatkan kesuburan biasanya berfungsi dengan meningkatkan bilangan telur yang dihasilkan dalam ovari wanita.
Jika lebih banyak telur dihasilkan, kemungkinan lebih daripada satu telur boleh dilepaskan dan disenyawakan. Ini berlaku pada masa yang sama, menyebabkan kembar seiras.
Clomiphene dan gonadotropin adalah ubat kesuburan yang biasa digunakan yang boleh meningkatkan peluang anda untuk mendapat anak kembar.
Kedua-dua ubat ini secara amnya dianggap selamat dan berkesan. Tetapi seperti mana-mana ubat, terdapat potensi risiko dan kesan sampingan yang seiring dengan penggunaan ubat kesuburan.
Risiko Melahirkan Anak Kembar
- Bersalin pramatang dan kelahiran
- Hipertensi kehamilan
- Anemia
- Kecacatan kelahiran
- keguguran
- Sindrom transfusi kembar kepada kembar
- Jumlah cecair amniotik yang tidak normal
- Bersalin secara caesar
- Pendarahan selepas bersalin
Jadi kalau Mama Papa buat keputusan untuk teruskan juga dengan usaha mendapatkan anak kembar, jangan pula lupa akan risiko yang Mama Papa perlu pertimbangkan.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Mama Siti kongsikan pelbagai tips kehamilan di SINI.