Mama Siti sediakan lapan cara cuci karpet dengan menggunakan barang-barang rumah sahaja supaya Mama boleh ‘try and error’ setiap satu cara.
Kalau cara pertama tak berjaya, boleh cuba cara seterusnya. Oh ya, beberapa tips cuci karpet juga dikhaskan untuk jenis kotoran berbeza.
Jadi, kenal pasti dulu jenis kotoran dan barulah mulakan proses cuci karpet.
7 Cara Cuci Karpet Yang Berkesan
#1 Tekup Jangan Gosok
Jika ada cairan tertumpah atas karpet, cara terbaik untuk cuci karpet adalah dengan menekupkan kawasan yang terjejas dengan kain lap ataupun tisu.
Ini kerana kotoran lebih mudah ditanggalkan jika ianya segera dicuci. Menekup dapat menyerap cecair yang tumpah di atas karpet tetapi jika digosok, kotoran akan merebak ke kawasan lain juga.
#2 Baking Soda
Sediakan bancuhan baking soda dengan sedikit air dan curahkan sedikit demi sedikit pada karpet yang kotor.
Selepas itu, barulah berus karpet untuk menghilangkan kotoran yang terdapat di atas karpet rumah kita.
Baking soda juga berkesan untuk menghilangkan karpet yang berbau hapak. Caranya adalah dengan taburkan baking soda di atas karpet dan biarkan untuk beberapa jam.
Selepas itu, bersihkan serbuk-serbuk baking soda menggunakan penyedut hampagas (vacuum cleaner).
#3 Baking Soda dan Cuka
Tips hilangkan kotoran atas karpet yang seterusnya ini dikatakan lebih efektif berbanding yang sebelumnya.
Mula-mula taburkan baking soda pada kotoran kemudian tuangkan cuka pula di atasnya. Mama akan perasan campuran kedua-dua bahan ini berbuih yang terdapat kotoran. Selepas itu, tekup dan lapkan buih itu tadi dengan kain bersih.
Cara ini juga boleh digunakan pada karpet yang berbau. Pertama sekali, campurkan satu sudu cuka bersama-sama dengan satu sudu baking soda dan dua cawan air.
Isikan campuran bahan-bahan itu ke dalam botol penyembur (bottle spray) supaya mudah untuk menyembur pada karpet di rumah Mama.
#4 Cuka dan Sabun Cuci Pinggan
Jika di rumah Mama tak ada baking soda, Mama masih boleh ikhtiar cuci karpet menggunakan cuka dan sabun cuci pinggan.
Sediakan ¼ cawan cuka dan satu sudu besar sabun pencuci pinggan. Campurkan kedua-dua bahan ini sedikit demi sedikit sebelum dimasukkan ke dalam botol penyembur.
Tumpukan di kawasan yang tertumpah kuah atau minuman dan selepas itu, tekupkan dengan kain bersih atau tisu.
Mama boleh ulang langkah ini hingga kotoran benar-benar hilang dan diyakini bersih.
#5 Krim Pencukur (Shaving Cream)
Letakkan krim pencukur pada kotoran di atas karpet dan biarkan selama 30 minit. Selepas itu, ambil kain atau tisu dan lap krim pencukur itu tadi.
Untuk hasil maksimum, Mama juga boleh semburkan campuran cuka dan air selepas lap krim pencukur.
Nota: Nisbah campuran cuka dan air ialah 1:1.
#6 Lemon dan Garam
Kedua-dua bahan ini ialah cara cuci karpet untuk menanggalkan kesan dakwat.
Mula-mula letak perahan lemon pada kotoran di atas karpet. Selepas itu, taburkan garam hingga ia menutupi kotoran itu tadi.
Tonyoh-tonyohkan garam ke kawasan yang terjejas supaya kotoran tertanggal dari karpet.
Akhir sekali, barulah kita tekup dan lapkan dengan kain atau tisu beberapa kali hingga karpet benar-benar bersih.
#7 Ais Untuk Gula-gula Getah
“Mama, gula-gula getah terletak dekat karpet.”
Dalam banyak-banyak jenis kotoran, gula-gula getah lah yang paling Mama Siti takutkan sebab susah nak hilang kan?
Tapi orang kata gula-gula getah boleh ditanggalkan dengan ais. Cara cuci karpet adalah dengan geserkan ais pada gula-gula getah hingga ianya mengeras.
Apabila sudah keras, gula-gula lebih mudah dicabut tanpa meninggalkan sebarang kesan.
#8 Pencuci Pinggan Untuk Kotoran Berminyak
Setiap jenis kotoran memerlukan cara cuci karpet tertentu untuk mendapat keberkesanan maksimum.
Buat bancuhan cecair iaitu satu sudu sabun cecair pencuci pinggan dan empat sudu air. Letak bancuhan pada span dan gosok di kawasan terjejas. Selepas itu, barulah kita bilas dengan air suam dan lap dengan kain bersih.
Sekurang-kurangnya mesti ada satu cara cuci karpet yang berjaya kan. Paling penting kena pastikan dulu jenis kotoran itu daripada apa.
Kalau gula-gula getah, kena cuci dengan ais. Manakala kalau kotoran jenis minyak kena guna pencuci pinggan.
Semoga cara cuci karpet yang Mama Siti kongsikan ini membantu Mama membersihkan rumah.
Dapatkan tips dan hacks yang berguna untuk rumah Mama di SINI.