Rasa sakit, pedih dan tidak selesa boleh mengganggu aktiviti seharian kita. Jadi kali ini Mama Siti kongsikan lima cara cepat sembuhkan luka melecur yang boleh dilakukan di rumah dan oleh pegawai perubatan.
Namun begitu, kita kena ambil tahu dulu apakah tiga jenis tahap kulit melecur terhadap manusia.
Jenis Tahap Kulit Melecur
Kulit yang melecur telah dikategorikan kepada tiga tahap. Dimana semakin tinggi jenis tahap kulit melecur, semakin serius kecederaannya.
Tahap 1
Kulit berwarna merah dan tidak melepuh
Contoh mudah yang Mama Siti boleh kongsikan ialah luka akibat terkena seterika panas. Begitulah, kira-kiranya kesan seseorang terkena luka tahap pertama.
Ia dikategorikan kepada luka tahap pertama kerana hanya melibatkan lapisan kulit yang pertama dan paling atas iaitu epidermis.
Tahap 2
Kulit melepuh dan menebal
Selain melepuh, kulit juga bertukar menjadi warna merah keputihan dan permukaan luka pula menjadi kering atau lembab dan bertekstur seperti tisu.
Hal ini demikian kerana luka tahap dua ialah di tahap sederhana dan melibatkan dua lapisan kulit iaitu epidermis dan dermis.
Tahap 3
Kulit menebal dan berwarna putih
Tanda-tanda Mama telah mendapat luka melecur tahap 3 ialah apabila bahagian kulit yang terjejas menjadi kering dan berwarna putih, hitam atau coklat gelap.
Jika rawatan penyembuhan lambat diambil, Mama berisiko mengalami dehidrasi dan “hypovolemic shock”.
Oleh itu, hanya doktor yang layak membuat rawatan kepada orang yang terkena luka melecur tahap 3.
5 Cara Cepat Sembuhkan Luka Melecur
#1 Krim Antibiotik atau Antiseptik
Cara cepat sembuhkan luka melecur adalah dengan cara mengoleskan krim antibiotik berdasarkan priskripsi doktor atau melalui kaunter farmasi.
Krim antibiotik dan antiseptik seperti berikut berkesan dalam merawat luka melecur dan menghilangkan kesan parut;
- Betadine Antiseptic Ointment
- Hansaplast Wound Healing Ointment
- Pure Paw Paw Ointment
- Bioskin Gel
- Dermatix Ultra Gel
- Germacid Cream
- Neomycin Cream
- Vaseline Pure Repairing Jelly
Ini kerana bahagian kulit yang terdedah, berisiko untuk dijangkiti kuman jika tidak dikendalikan dengan cara yang sepatutnya. Di mana Mama mungkin boleh mendapat demam, luka jadi bernanah dan menggelembung.
#2 Tuam Air
Cara cepat sembuhkan luka melecur yang seterusnya adalah dengan tuam kawasan melecur dengan tuala basah. Kaedah ini membantu mengelakkan lepuhan akibat lecuran pecah dan mendedahkan lapisan dalam kulit.
Cara tuam yang betul adalah dengan menggunakan tuala bersih dan rendam dalam air bersih hingga kain tuala menyerap air. Kemudian, perah lebihan air dari tuala itu tadi untuk diletakkan ke tempat yang terkena luka melecur.
Teruskan tuam selama 15 minit dan ulang semula cara ini secara berkala setiap hari.
Mama juga boleh menggunakan alat tuam yang ada dipasaran untuk cepat sembuhkan luka melecur.
#3 Rendam Dalam Air Suhu Bilik
Sediakan bekas yang telah diisikan air sesuai dengan saiz luka melecur. Kemudian, rendamkan anggota yang terjejas ke dalam bekas selama 5 minit.
Tujuannya adalah untuk mengurangkan rasa sakit dan mengelakkan risiko bengkak di bahagian yang terkena luka melecur.
Nota: Jangan sekali-kali rendam dalam air yang berisi ais kerana boleh mengakibatkan luka menjadi berair dan bertambah teruk.
#4 Balut Dengan Kasa Yang Disterilkan (Sterile Gauze)
Satu lagi cara cepat sembuhkan luka melecur adalah dengan balutan sterile gauze agar dapat memberi pengudaraan di bahagian yang melecur.
Penting untuk pastikan balutan di kawasan yang melecur itu longgar agar proses penyembuhan dapat berlaku lebih cepat.
#5 Rawatan Hospital
Segera dapatkan rawatan hospital jika Mama dapati wujud simptom jangkitan seperti keluar nanah, sensasi panas, sakit dan bengkak serta timbul garis-garis merah di kawasan melecur.
Sesungguhnya, doktor lebih tahu tentang keadaan luka melecur dan kaedah yang bersesuaian terhadap pesakitnya.
Walaupun Mama hanya terkena luka melecur tahap 1, rasa sakitnya masih ada. Tapi dengan adanya 5 cara cepat sembuhkan luka melecur kawasan kulit yang terjejas dapat segera dipulihkan.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Untuk mengetahui lebih banyak lagi tentang tips kesihatan, boleh klik di SINI!