Pada masa kini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberi kemudahan cara buat report polis dengan lebih pantas dan efisien kepada orang awam iaitu secara atas talian.
Sebarang masalah berkaitan contohnya seperti kehilangan kad pengenalan, kad ATM, atau kerosakan barang boleh terus dibuat melalui online.
Dengan kemudahan ini Mama, Papa atau kenalan yang perlu buat report polis ni, tak perlu lagi tergesa-gesa ke balai polis untuk membuat laporan terutamanya jika kejadian tersebut berlaku pada waktu malam.
Di bawah ini, Mama Siti senaraikan cara-cara untuk membuat laporan polis secara atas talian dengan lebih mudah dan menyenangkan. Ikuti perkongsian ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Cara Buat Polis Report Secara Online
#1. Sebelum itu, anda terlebih dahulu perlu mendaftar pada pautan Daftar Pengguna untuk mengakses e-reporting. Setelah berjaya mendaftar anda boleh melayari laman e-reporting dengan memasukkan Nombor Kad Pengenalan dan Kata Laluan.
#2. Anda juga perlu menanda pada 2 kotak yang disediakan bagi membuktikan anda berusia 18 tahun ke atas serta memastikan laporan yang bakal anda buat tidak berkait dengan unsur jenayah.
#3. Selepas itu klik pada butang sambung dan akan muncul satu kotak dialog sebelum anda boleh membuat laporan polis.
Tetapi pada paparan ini anda tidak perlu menanda pada bahagian kotak berwarna merah kerana pilihan pada kotak tersebut hanya melibatkan laporan berunsur jenayah yang memerlukan siasatan lanjut pihak polis. Kemudian klik pada butang OK.
Perlu diingat bahawa portal e-reporting ini hanya membenarkan anda melaporkan laporan yang bukan berunsur jenayah dan tidak memerlukan siasatan lanjut oleh pihak polis seperti kehilangan lesen memandu, kad kredit, kehilangan telefon bimbit, cukai jalan dan lain-lain.
#4. Seterusnya anda akan dibawa ke laman pertama e-reporting iaitu Butiran Peribadi. Anda perlu mengisi semua maklumat peribadi anda yang sahih.
#5. Setelah anda selesai mengisi bahagian ini, teruskan dengan mengklik pada butang seterusnya. Laman seterusnya adalah Butiran Kejadian.
Pada bahagian ini anda perlu memasukkan butiran kejadian iaitu lokasi, masa, dan tarikh. Selepas itu klik pada butang seterusnya.
#6. Pada bahagian Keterangan Kejadian pula, anda perlu jelaskan bagaimana kejadian tersebut berlaku. Setelah selesai tekan butang seterusnya.
Laman ini akan menghendaki anda memperakui laporan yang telah anda buat. Tekan pada butang yang disediakan dan klik butang hantar.
7. Akhir sekali cetak laporan tersebut dan anda akan menerima salinan laporan melalui e-mel. Bawa laporan tersebut ke agensi berkaitan.
Jenis-jenis Laporan Polis Yang Boleh Dibuat
Antara laporan polis yang boleh anda lakukan adalah seperti berikut:
- Hilang/tercicir kad pengenalan
- Hilang/tercicir lesen memandu
- Hilang/tercicir kad kredit/ATM
- Hilang telefon bimbit
- Hilang komputer riba (laptop)
- Hilang cukai jalan
- Pembantu rumah lari dan tujuan membuat laporan adalah untuk membatalkan permit pembantu rumah sahaja
- Kehilangan kerosakan peralatan atau dokumen akibat bencana alam
Anda boleh layari laman web e-reporting untuk membuat laporan polis bagi masalah berkaitan.
Dapatkan panduan berguna lain di SINI.