Cornflakes madu adalah snek yang bukan sahaja mudah dibuat, tetapi juga sangat digemari oleh seisi keluarga.
Kombinasi cornflakes yang rangup dengan salutan madu yang manis menjadikannya pilihan sempurna sebagai kudapan harian atau hidangan istimewa ketika musim perayaan seperti Hari Raya.
Mama juga boleh mempelbagaikan resepi ini mengikut cita rasa keluarga, seperti menambahkan kacang, kismis, atau taburan coklat.
Oh ye, aktiviti menyediakan cornflakes madu boleh menjadi masa berkualiti bersama anak-anak Mama. Biarkan mereka menghias cornflakes madu dengan hiasan kegemaran mereka untuk menambah elemen keseronokan di dapur.
Cara Buat Cornflakes Madu

Bahan-bahan
- 5 cawan cornflakes
- 1/4 cawan madu
- 1/4 cawan mentega
- 1 1/2 sudu besar gula kastor
- Ceri atau taburan manik hiasan
- Paper cup
Cara Penyediaannya:
- Mula-mula, Mama ramas kasar cornflakes supaya lebih mudah disalut.
- Kemudian, cairkan mentega, madu, dan gula. Kacau perlahan dengan api sederhana sehingga semuanya sebati.
- Setelah campuran cair dan sebati, tuangkan ke atas cornflakes yang telah disediakan tadi. Gaul dengan lembut sehingga semua cornflakes bersalut rata.
- Sudukan adunan ke dalam paper cup dan taburkan manik hiasan mengikut kreativiti Mama.
- Akhir sekali, bakar dalam ketuhar pada suhu 160°C selama 10 hingga 12 minit menggunakan setting api atas dan bawah.
- Cornflakes madu sedia untuk dinikmati.
Resepi: Che Nom
Tips Tambahan Cara Buat Cornflakes Madu:
- Mama boleh simpan cornflakes madu ni selama dua hingga tiga minggu dalam bekas kedap udara.
- Kalau Mama menggunakan gula kasar, pastikan gula cair sekata untuk elakkan ketulan dalam cornflakes.
- Gunakan paper cup yang tebal dan permukaan licin supaya biskut tidak melekat selepas dibakar.

Cornflakes madu adalah hidangan yang bukan sahaja lazat tetapi juga praktikal untuk disediakan. Cara buat cornflakes madu ini sangat sesuai untuk Mama yang sibuk tetapi ingin menyediakan kudapan istimewa buat keluarga tersayang.
Dengan hanya beberapa bahan asas dan langkah mudah, Mama dapat menghasilkan snek yang rangup, manis, dan digemari oleh anak-anak Mama serta tetamu.
Jadi, apa tunggu lagi, Mama? Cuba resipi cornflakes madu ini hari ini dan kongsikan keistimewaannya bersama keluarga tercinta.
Nikmati keenakan kudapan ini sambil bersantai di rumah atau hidangkannya sebagai snek istimewa di majlis keluarga. Selamat mencuba dan semoga berjaya, Mama!
Labu air pun ada khasiat untuk Mama menyusu? Klik di SINI.