KelabMama

Petua dan Cara Tradisional Banyakkan Susu Badan

Naluri yang hadir dalam diri seorang ibu saat lahirnya bayi yang dinanti-nantikan pastinya menjadi fitrah setiap wanita yang bergelar Mama.

Bagi Mama yang baru pertama kali melahirkan, pasti perasaan teruja bercampur-baur dengan rasa gusar dan risau. Apatah lagi apabila mendapati susu yang dihasilkan tidak banyak dan mungkin tak mencukupi untuk si manja.

Sumber: MumBaby

Untuk mengurangkan kekeliruan anda, berikut Mama Siti kongsikan tanda-tanda bayi mendapat susu badan yang mencukupi dari ibunya:

Tanda-tanda Bayi Mendapat Susu yang Sudah Mencukupi

Sebenarnya, tiada istilah bayi terlalu kenyang, terlebih susu atau overfed dalam menyusu bayi. Bayi yang menyusu badan akan berhenti menyusu apabila sudah mencukupi keperluannya.

Tanda-tanda bayi Mama mendapat susu yang mencukupi, atau sudah kenyang termasuklah:

  1. Memalingkan muka setelah menyusu beberapa ketika.
  2. Berasa resah apabila sesi susuan diteruskan.
  3. Tidak menunjukkan minat atau tidak mahu bekerjasama ketika menyusu.
  4. Tertidur ketika menyusu.
  5. Berhenti menghisap susu. 
  6. Menggerak-gerakkan tangan dan kaki tanpa sebab.
Sumber: Mount Elizabeth Hospital

Penting untuk Mama memahami bahasa bayi ini kerana ia mempengaruhi cara pemakanannya dan juga hubungan antara si manja dan Mama sendiri.

Ada juga situasi dimana bayi berasa tidak puas dan resah walaupun sudah menyusu dengan agak lama. Ada kemungkinan ini disebabkan cara penyusuan yang tidak betul, jantina bayi, atau susu yang dihasilkan oleh badan ibu memang tidak mencukupi atau berkurangan. 

Walaupun sudah ada banyak makanan suplemen atau milk booster yang ada dijual di pasaran, Mama juga boleh mencuba untuk mengamalkan petua amalan tradisional berikut untuk memperbanyakkan susu badan.  

Cara Banyakkan Susu Badan Secara Tradisional

Ibu-ibu pada zaman dahulu mengambil banyak herba-herba di dalam pemakanan untuk menambahkan kuantiti susu badan mereka. 

Antara herba yang dapat membantu menambahkan susu badan termasuklah:

#1 Bawang putih

Bawang putih terkenal dengan sifat laktogenik yang dapat membantu menambahkan kandungan susu badan ibu.

Perbanyakkan masakan menggunakan bawang putih semasa berpantang atau mama boleh sahaja cuba untuk makan bawang putih begitu sahaja. Snek goreng bawang putih pun sedap dikunyah saja-saja. 

Sumber: Food and Drink Blog

#2 Halba

Amalkan menambahkan satu sudu teh halba di dalam air panas dan biarkan selama 5-10 minit. Kemudian, tapiskan serta minum air rendaman halba itu. Amalkan dua kali sehari untuk sebulan dan lihat kesan pada penghasilan susu badan mama. 

#3 Sup Tulang Ayam

Kaki dan tulang ayam mempunyai khasiat tertentu dalam diet pemakanan, termasuklah menambah penghasilan susu badan. Mama-mama yang masih berpantang, atau pun tidak, masih boleh merasai kenikmatan sup kaki dan tulang ayam panas-panas dan sekaligus meningkatkan susu badan. 

#4 Buah Kurma

Buah kurma juga antara makanan yang baik dan penuh khasiatnya. Mama boleh makan buah kurma begitu sahaja ataupun merendamnya semalaman dan minum air rendamannya. Amalan ini juga diharapkan dapat memberi kesegaran kepada mama dan sekaligus membantu badan menghasilkan susu badan yang banyak.  

Sumber: Bubur barli bersama kurma dan madu (Tiffin & Tea)

 

#5 Barli

Kaum Cina sangat menggalakkan pengambilan barli, terutamanya bagi ibu-ibu yang sedang menyusu badan. Mama boleh mencuba resepi bubur barli atau cukup sekadar merebusnya dan meminumnya sahaja. Minum air barli pun sedap juga!

#6 Almond

Rendamkan 5-6 biji kacang almond di dalam air semalaman. Kemudian, makan almond yang sudah direndam itu dengan air suam setiap pagi. Ini adalah cara yang paling mudah dan efektif untuk menambah kuantiti susu badan mama.

#7 Daun Selasih

Rebus daun selasih di selama 2 minit sehingga mendidih. Biarkan ia selama lima minit, kemudian tapis air rebusan dan minum. Mama boleh juga campurkan sedikit madu dan minum bersama air rebusan daun selasih itu. Amalkan meminum air daun selasih ini dua kali sehari. 

Cubalah amalkan ke tujuh-tujuh bahan yang Mama Siti cadangkan untuk sebulan dua. InsyaAllah, jika niat kita memang ikhlas kerana Allah Taala hendak memperbanyakkan susu untuk kebaikan anak tercinta, Mama Siti yakin Allah akan bantu. 

Sumber: Smart Parents

Di samping itu, biasakan diri untuk makan makanan yang panas atau suam. Makanan sejuk seperti salad, smoothies, ais krim dan minuman berais akan tidak menggalakkan aliran darah dalam badan dan sekaligus tidak membantu dalam meningkatkan penghasilan susu badan. 

Formula yang memang tak boleh tidak, minum air suam dengan kuantiti yang mencukupi. Ibu yang menyusu harus sentiasa berada di dalam keadaan terhidrasi untuk memastikan cecair di dalam badan mencukupi untuk menghasilkan susu badan. Badan yang kurang cecair akan membuat mama mudah mendapat sembelit dan juga keputihan yang banyak selepas bersalin. Jadikan badan mama sentiasa cukup air. 

Mama Siti doakan agar mama-mama yang sedang mencuba sedaya upaya untuk menyusu badan dipermudahkan segalanya. Boleh cuba cara banyakkan susu badan secara tradisional ini ya Mama.

Yakinlah, susu ibu itu susu terbaik untuk anak.