Manfaat susu ibu bukan saja melindungi bayi daripada jangkitan gastrousus dan pernafasan, malah berpotensi mengurangkan risiko lelah klinikal, dermatitis atopik atau ekzema, obesiti, diabetes jenis II dan tekanan darah tinggi apabila bayi itu membesar. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyarankan supaya bayi diberikan susu badan secara eksklusif selama enam bulan pertama untuk tumbesaran, perkembangan dan kesihatan optimum, selain meneruskan penyusuan ini sehingga usia anak dua tahun sambil memberi makanan lain. Namun, ramai ibu berdepan cabaran untuk mengamalkan saranan ini. Penyusuan badan boleh dianggap satu tugasan peribadi yang dilakukan sendirian, namun sistem sokongan yang baik amat penting bagi menjayakan proses ini. Penyusuan badan adalah semula jadi, tetapi ibu memerlukan sokongan untuk memulakan proses berkenaan dan mengekalkan momentumnya. Ada kemungkinan si ibu akan berasa kecewa apabila berdepan kesukaran atau cabaran, tetapi mereka sewajarnya tidak keberatan untuk meminta pertolongan.
PANDUAN UNTUK MEMBOLEHKAN IBU BEREHAT
Hakikatnya tekanan boleh menghalang kejayaan menyusu badan berikutan jumlah dan aliran susu badan berkait rapat dengan keadaan psikologikal dan tahap tekanan si ibu. Apa yang pasti, pasangan, keluarga dan masyarakat sangat diperlukan untuk memberi sokongan yang kukuh bagi memastikan golongan ibu berjaya menyusu badan. Jika ibu tidak stres, penyusuan akan berjaya.
- Ambil alih tugas menjaga bayi daripada ibu. Ini termasuk menukar lampin hinggalah memandikan dan menidurkan bayi. Menjaga anak baru lahir memang meletihkan, jadi biar bapa, nenek atau penjaga profesional melakukannya.
- Pastikan rumah sentiasa kemas dan bersih seperti disukai ibu. Rumah yang kotor dan bersepah pasti membuatkan fikiran berserabut dan memberi tekanan kepada ibu. Jadi, pastikan anda membantu supaya si ibu boleh bersantai.
- Merencana menu harian, menyediakan dan memasak hidangan boleh memakan masa lama. Tugasan intensif yang tidak patut dibebankan kepada ibu baru. Seperti menjaga bayi, ahli keluarga atau penjaga profesional boleh membantu. Ada sesetengah makanan yang patut dielak oleh ibu tetapi pastikan anda bertanya mengenai menu yang disukainya. Memaksa ibu makan dan minum sesuatu yang tidak disukainya pasti menambah tekanan dan memberi impak negatif pada sesi penyusuan badan.
- Ibu perlukan diet sihat dan nutrisi baik untuk memulihkan tenaga. Proses penyusuan badan membakar 500 kalori sehari, jadi ibu perlu makan jumlah kalori dan nutrien yang disarankan.
- Mengambil snek bernutrisi antara hidangan lengkap turut membantu. Makanan kaya zat besi seperti daging, telur kuning dimasak dan sayuran daun hijau boleh melegakan keletihan, manakala vitamin C membantu tubuh untuk menyerap zat besi daripada makanan. Jadi jangan lupa mengambil makanan seperti buahan sitrus, tomato dan kentang.
- Ada pandangan mengatakan sesetengah makanan tidak sesuai kerana nutrien terkandung boleh diserap oleh bayi menerusi susu badan, membuatnya kembung, menunjukkan simptom kolik malah cirit-birit. Makanan pedas, bawang putih dan bawang merah mentah berlebihan selain kafein antara makanan dan minuman yang patut dielakkan. Lebih penting, sentiasa rujuk kepada pakar kesihatan anda untuk diet terbaik buat ibu dan bayi.
SOKONGAN TAMBAHAN
Si ibu mungkin risau mengenai penyusuan badan yang berterusan selepas kembali bekerja. Inilah masanya pihak pengurusan syarikat dan rakan sekerja boleh memainkan peranan penting dalam menyokong penyusuan badan.
- Pastikan si ibu ada akses kepada ruang yang tenang seakan di rumah untuk membolehkannya mengepam susu badan. Sediakan peti sejuk khas hanya untuk menyimpan susu badan. Kajian menunjukkan kakitangan yang diberi akses kepada bilik menyusu dua kali ganda lebih berkemungkinan akan meneruskan penyusuan badan melebihi enam bulan.
- Bagi rakan sekerja, amalkan sikap positif terhadap ibu yang menyusu badan. Jangan anggap mengepam susu badan sebagai gangguan atau aktiviti menyukarkan. Kita patut faham bahawa para ibu berkemungkinan menghadapi cabaran apabila menyusu badan.
- Jika anda ada teman yang baru menjadi ibu, ambil kira lokasi yang mesra bayi dan menyusu badan bila keluar bersamanya. Atau sekurang-kurangnya, lokasi yang ada menyediakan kemudahan di mana ibu boleh mengepam dan menyimpan susu badan.
Sumber: Harian Metro