
Pakar Perunding Perubatan Pernafasan dan Perubatan Dalaman
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pneumonia atau radang paru-paru telah menjadi punca utama kematian di Malaysia dengan 18,181 kematian direkodkan pada tahun 20231.
Sementara itu, influenza bermusim kekal menjadi kebimbangan kesihatan global dan menjejaskan kira-kira satu bilion manusia pada setiap tahun, dengan tiga hingga lima juta kes diklasifikasikan sebagai kes serius.
Pakar Perunding Perubatan Pernafasan dan Perubatan Dalaman daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa menjelaskan bahawa peningkatan kes virus pernafasan seperti influenza dan COVID-19 menjadikan seseorang itu lebih terdedah untuk mendapat pneumonia.
Beliau juga menyatakan bahawa populasi Malaysia yang semakin menua, lewat mendapatkan rawatan perubatan, dan kadar vaksinasi yang rendah sebagai faktor utama yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes kematian yang berkaitan dengan pneumonia.
Siapa Berisiko untuk Mendapat Pneumonia?
Pneumonia ialah jangkitan pernafasan serius yang menyebabkan radang paru-paru, membawa kepada kesukaran bernafas, kekurangan oksigen, dan kemungkinan untuk mendapat komplikasi seperti kemasukan ke hospital atau kematian2.
Walaupun warga emas mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat pneumonia, individu yang lebih muda juga berisiko, terutamanya mereka yang mempunyai sistem imuniti yang lemah, penyakit kronik, atau mengamalkan tabiat gaya hidup yang boleh menjejaskan kesihatan paru paru.

Pakar Perubatan Kecemasan
Dr Nurul menyatakan bahawa terdapat peningkatan kes pneumonia dalam kalangan individu lebih muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan sebahagian besarnya disebabkan oleh gaya hidup terdedah untuk mendapat masalah virus pernafasan seperti merokok dan penggunaan rokok elektronik (vaping).
Pneumonia boleh bertukar kronik dengan cepat, menjadikannya penting untuk orang ramai mengenali tanda amarannya lebih awal. Pakar Perubatan Kecemasan SMCV, Dr Lim Fang Jen menyenaraikan simptom utama pneumonia yang perlu diberi perhatian seperti sesak nafas, nafas pendek, sakit dada, kelesuan melampau, kekeliruan dan rasa pening yang berterusan.
Memandangkan simptom pneumonia boleh kelihatan seperti simptom jangkitan pernafasan biasa yang lain, ia sering diabaikan lalu menyebabkan pesakit bertangguh untuk mendapatkan rawatan perubatan seterusnya membawa komplikasi yang lain.
Hal ini menyerlahkan lagi kepentingan untuk rakyat Malaysia tahu untuk membezakan pneumonia daripada penyakit pernafasan yang lain.
Peranan Virus Pernafasan dalam Pneumonia
Influenza dan COVID-19 merupakan penyumbang utama kepada kes pneumonia, kerana kedua virus ini melemahkan mekanisma pertahanan badan dan sistem pernafasan.
Virus selesema merosakkan membran pelindung yang melapisi saluran pernafasan dan silia (struktur kecil seperti rambut yang membersihkan sebarang lendiran), menjadikan seseorang itu lebih terdedah kepada jangkitan bakteria yang boleh menyebabkan pneumonia3.

Ia merebak melalui titisan pernafasan yang tersebar ke udara apabila seseorang yang dijangkiti virus batuk atau bersin, dan melalui permukaan tercemar yang telah disentuh selepas seseorang itu menyentuh hidung atau mulut mereka.
Dr Nurul menasihati, “Jika anda baru-baru ini mengalami selesema, anda harus berhati-hati jika anda turut mengalami demam berpanjangan, batuk yang semakin teruk, atau mengalami kesukaran bernafas kerana ini boleh menunjukkan tanda-tanda pneumonia.”
Penting juga untuk rakyat Malaysia ambil perhatian bahawa mereka yang dijangkiti virus pernafasan boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum simptom mula kelihatan, dan sehingga lima hingga tujuh hari selepas simptom muncul.
Keterukan kesan jangkitan pernafasan ini terbukti dalam kes berprofil tinggi baru-baru ini, di mana pneumonia menjadi komplikasi serius yang menyebabkan kematian.
Pelakon Taiwan Barbie Hsu meninggal dunia pada usia 48 tahun akibat pneumonia berikutan jangkitan influenza dan tidak lama kemudian, pelakon China Liang Youcheng meninggal dunia pada usia 27 tahun akibat komplikasi pernafasan selepas beliau pada mulanya menyangka simptom selesemanya sebagai selesema biasa.
Kementerian Kesihatan Malaysia tidak melaporkan sebarang peningkatan besar dalam kes influenza, namun kedua-dua kejadian ini menunjukkann betapa cepatnya penyakit pernafasan boleh menjadi parah tanpa mengambil kira tentang usia.
Ini menekankan kepentingan untuk mengambil langkah proaktif seperti mendapatkan vaksinasi secara berkala, memakai topeng muka jika berada di kawasan berisiko tinggi dan kerap mencuci tangan.
Apabila pneumonia bertambah kronik, perkembangannya boleh menjadi pantas dan menakutkan. Dr Lim memberi amaran bahawa pesakit yang mengalami masalah pernafasan yang teruk, tahap oksigen yang rendah, kekeliruan, atau status mental yang berubah mungkin memerlukan rawatan rapi atau pengudaraan mekanikal.
Jika tidak dirawat, pneumonia boleh menyebabkan myocarditis (keradangan otot jantung), ensefalitis (keradangan otak), myositis atau rhabdomyolysis (keradangan atau kerosakan otot), sepsis (tindak balas keradangan kepada jangkitan yang boleh membawa maut), dan kegagalan pelbagai organ.

Selain itu, Dr Lim memberi amaran bahawa pneumonia boleh memburukkan lagi keadaan sedia ada pesakit, terutamanya kepada individu yang menghidap diabetes, penyakit jantung, atau penyakit paru-paru kronik, serta mereka yang mempunyai sistem imuniti yang terjejas.
Golongan ini berhadapan dengan risiko tinggi untuk kemasukan ke hospital dalam tempoh yang panjang, kerosakan organ kekal atau kematian.
Oleh sedemikian, terdapat kepentingan penting untuk orang ramai mendapatkan pengesanan awal, melakukan langkah pencegahan yang proaktif dan mendapatkan rawatan perubatan yang tepat pada masanya untuk mengurangkan kesan pneumonia yang berpotensi membawa maut.
Tingkatkan Imuniti untuk Mencegah Pneumonia
Vaksinasi adalah salah satu langkah pencegahan yang paling berkesan untuk mencegah pneumonia yang teruk.
Dr Nurul menasihatkan individu berisiko tinggi untuk mengambil kedua-dua vaksin pneumokokal dan influenza, serta menjelaskan bahawa vaksin influenza dapat mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dalam kalangan orang dewasa yang sihat sebanyak 40-60%, manakala vaksin pneumokokal mengurangkan risiko untuk mendapat pneumonia tahap serius sehingga 75% di kalangan golongan berusia.
Vaksinasi influenza tahunan disyorkan untuk semua orang, manakala golongan emas berusia lebih 65 tahun harus mengambil vaksin pneumokokal dan dos penggalak berdasarkan faktor risiko masing-masing.
Dr Nurul seterusnya memberikan contoh kes pesakit sebenar yang dirawatnya sebelum ini, di mana pesakit diabetes berusia 72 tahun yang mengambil kedua-dua vaksin influenza dan pneumokokal hanya mengalami gejala ringan tanpa mengalami pneumonia.
Sebaliknya, seorang pesakit diabetes berusia 50 tahun yang tidak mengambil vaksin dimasukkan ke hospital disebabkan pneumonia yang teruk selepas dijangkiti influenza.
Selain vaksinasi, penting untuk mengekalkan sistem imuniti yang kuat melalui senaman yang kerap, mengamalkan diet seimbang, dan mendapatkan rehat yang mencukupi.
Ambil Langkah Proaktif Untuk Kesihatan Pernafasan yang Lebih Baik
Walaupun pneumonia merupakan sejenis penyakit yang serius, ia boleh dicegah melalui pengesanan awal dan langkah pencegahan yang bersesuaian.
Virus pernafasan seperti influenza dan COVID-19 boleh meningkatkan risiko untuk mendapat jangkitan pernafasan yang teruk dan ini bukan sahaja memberi kesan kepada golongan berusia dan mereka yang mempunyai penyakit kronik, tetapi juga individu yang lebih muda.

Pencegahan bermula dengan mengambil vaksin secara berkala, dan diperkukuh dengan amalan mudah tetapi berkesan seperti mengelakkan merokok, mengamalkan kebersihan yang baik dan mengekalkan gaya hidup sihat.
Dengan mengambil langkah pencegahan ini, rakyat Malaysia boleh mengurangkan risiko untuk mendapat pneumonia dan melindungi orang ramai daripada dijangkiti penyakit yang mengancam nyawa ini.
Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my/ (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).
Rujukan
- https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/statistics-on-causes-of-death-malaysia-2024
- https://www.lung.org/lung-health-diseases/lung-disease-lookup/pneumonia/what-is-the-connection#:~:text=Influenza%20is%20a%20common%20cause,be%20more%20severe%20and%20deadly.
- https://www.yalemedicine.org/conditions/flu#:~:text=Inflammation%20of%20the%20respiratory%20tract,term%20risk%20of%20heart%20attack.
Mama Papa dapatkan berita dan acara yang trending sekarang di SINI.