KelabMama

Buaian Baby – Keperluan Atau Membahayakan?

Kredit Foto: Google Image

Sesetengah Mama Papa mesti dalam dilema untuk membeli buaian baby atau tak. Masa kita kecil, buaian baby ini ialah benda yang tak asing lagi dalam setiap rumah yang ada bayi. Selalunya ianya akan digantungkan di siling dan berbentuk jaring kecil. Persoalannya, adakah ia satu keperluan yang wajib ada pada zaman sekarang? 

Jadi, perkara macam ni perlu dipertimbangkan! Bayi Mama akan menghabiskan waktu berjam-jam di dalam buaian sehingga dia habis tidur jadi mestilah Mama Papa mahu yang berkualiti, bergaya, selesa dan paling penting dan yang paling penting ia selamat!

Selamat Ke Guna Buaian Baby?

Kredit Foto: Google Image

Penyelidikan baru menunjukkan bahawa semakin banyak keluarga menggunakannya, walaupun tak banyak yang diketahui mengenai betapa selamatnya mereka.

Satu kajian yang diketuai oleh Jodi Pike, MD, dan Rachel Moon, MD, dari Pusat Perubatan Nasional Kanak-kanak di Washington, D.C., meneliti data dari 53 kematian bayi yang melibatkan buaian baby.

Penyelidik mengakui bahawa data adalah terhad. Mereka meninjau semua kematian bayi yang melibatkan buaian baby seperti yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna (CPSC) antara tahun 1990 dan 2004. Mengikut analisa, umur rata-rata bayi yang meninggal adalah hampir 3 bulan.

Berikut adalah punca utama:

Risiko-Risiko Menggunakan Buaian Baby

Kredit Foto: Google Image

Sebagai Mama Papa, kita kenalah tahu tentang risiko-risikonya terutamanya jika kita hendak memasang di rumah. Jadi, apakah risikonya?

Penggunaan buaian untuk menidurkan bayi boleh membawa kesan kepada pendarahan otak atau ‘subdural haemorrhage’ iaitu saluran darah yang bersambung pada permukaan otak ke tengkorak boleh pecah apabila kita membuai bayi dengan kuat dan apabila darah dalam otak bergerak dengan hala bertentangan dari tengkorak, boleh menyebabkan pendarahan otak ‘subdural’.

Selain itu, ia boleh menjadi risiko kepada kecederaan kepala bayi selain mampu mengakibatkan kerosakan pada otak bayi.

‘Sudden Infant Death Syndrome’ (SIDS) atau lebih dikenali sebagai kematian bayi secara mengejut atau tiba-tiba juga boleh berlaku kepada bayi apabila bayi tidur terlalu lena di dalam buaian pada kebiasaannya berlaku kepada bayi berusia kurang dari setahun dan berlaku semasa bayi sedang tidur.

Ayunannya boleh menyebabkan kecederaan pada bayi sekiranya terhantuk pada dinding atau terjatuh akibat ayunan yang terlalu kuat.

Shaken Baby Syndrome‘ Yang Membahayakan Bayi

Kredit Foto: Google Image

Shaken Baby Syndrome adalah kecederaan otak yang serius yang disebabkan oleh goncangan bayi secara paksaan dan ganas. Keadaan ini mengakibatkan trauma kepala yang digoncang secara kasar.

Bayi mempunyai otak lembut dan otot leher yang lemah. Sindrom ini mampu merosakkan sel-sel otak bayi dan menghalang otaknya daripada mendapat oksigen yang cukup. Jadi, amatlah penting untuk ibu bapa atau penjaga tak menggoncang bayi atau ayun buaian terlalu laju atau ganas.

Kredit Foto: Adobe Stock

Kelebihan Buaian Baby Yang Wajib Tahu!

Walaupun terdapat beberapa risiko, masih ada beberapa kelebihan menggunakannya. Kelebihan ini dapat membantu si bayi dalam beberapa aspek penting. Sebenarnya, setiap benda pasti ada kebaikan dan keburukan. Jadi tak salah kita ambil tahu tentang kelebihannya pula. 

1) Dapat Menenangkan Bayi

Kredit Foto: Google Image

Ketika bayi dalam rahim selama 9 bulan, bayi dalam kedudukan terawang-awangan. Mereka sentiasa bergerak dan mengubah posisi di dalam perut sehinggalah mereka lahir di dunia ini. Jadi, graviti di dunia nyata ini sangat berbeza dan asing bagi bayi. Contohnya, kita pergi ke planet lain, mesti rasa janggal dan ada masa rindu akan graviti di bumi sebab susah nak bergerak.

Ada bayi yang cepat ‘adapt’ dan keluar-keluar terus elok je dapat sesuaikan diri dengan dunia baru mereka, manakala, ada bayi perlukan masa untuk menyesuaikan diri sebab itu asyik nak berbuai macam dalam rahim mama. 

Jadi, ia memang terbukti boleh menenangkan bayi sebab seakan-akan dalam rahim mama buat bayi terkenang-kenang kenangan dengan mama.

2) Tingkatkan Pergerakan dan Keseimbangan Bayi

Kedudukan berbuai tak kiralah dengan menggunakan cara buaian tradisional ataupun buaian moden, perkara ini boleh membenarkan bayi perasaan seperti bergerak dan belajar untuk imbangkan badannya setiap kali ia bergerak dan berayun.

3) Bayi Mampu Adaptasi ‘Gross Motor Skills’

Kredit Foto: Google Image

Sekarang, banyak negara-negara luar yang dah banyak guna buaian untuk menenangkan bayi, sebab itu sekarang ada pelbagai produk buaian seperti rocker, bouncer dan sebagainya di pasaran antarabangsa. 

Jadi sebenarnya, buaian adalah salah satu alat terapi untuk anak mempunyai masalah perkembangan kanak-kanak dan secara semula jadi ini akan membantu mereka adaptasi ‘gross motor skills’. 

5 Tips Berguna Untuk Menggunakan Buaian Dengan Selamat

1) Jangan Leka

Pastikan maksimum 2 jam sehari je letak bayi dalam buaian. Benda ini penting sebab nak lebihkan banyak masa “tummy time” bayi di lantai. Nak menggunakannya boleh tapi kalau 12 jam sehari anak berbuai, mereka tak akan dapat belajar untuk kuatkan otot-otot untuk meniarap dan merangkak.

2) Elakkan Guna Pada Waktu Malam 

Kredit Foto: Google Image

Take note ya Mama Papa! Ini sangat penting untuk elakkan risiko anak lemas tanpa kita sedar. Yelah, bila kita tidur nanti terlena sampai anak pun tak terjaga. Jadikan rutin waktu malam tidur di tilam ya.

3) Letakkan Lapik Atau Tilam Lembut Di Dalam Buaian 

Kredit Foto: Google Image

Mama Papa harus letakkan tilam yang lembut di tepi dan dibawah bayi untuk elakkan kepala anak terhantuk di lantai. Perkara ini wajib untuk lakukan sebab kita nak elak daripada perkara yang tak diingini. Lagipun, bayi pun akan lebih selesa dan tidur lena tak ganggu Mama Papa.

4) Elakkan Terlalu Emosi Ketika Membuai Bayi 

Setiap manusia dan mempunyai perasaan, jadi marah semua tu akan terjadi. Tetapi elakkan untuk membuai bayi semasa marah atau stress sebab boleh menyebabkan risiko terbuai terlalu laju bila anak menangis.

5) Elakkan Barang Yang Terlalu Banyak Di Dalam Buaian 

Jangan letak bantal, selimut, anak patung dalam buaian semasa anak belum reti mencapai barang sebab ini membawa kepada risiko anak lemas. Cukup sekadar tilam untuk melapikkan badan bayi je. 

5 Cara Untuk Memilih Buaian Baby Yang Sempurna Dan Selamat

Kredit Foto: Google Image

1) Berjimat Cermat dan Bajet

Jangan terlalu memikirkan jenama, tetapi Mama kena ikut kemampuan sendiri. Sebenarnya walaupun buaian yang murah dan tak berjenama, ianya pasti dapat memberikan keselesaan yang setanding jenama yang branded. Tapi janganlah pula Mama beli yang terlalu murah! Takut-takut tak selamat pula untuk bayi Mama.

2) Pandai Memilih Jenis Buaian Baby

Kalau zaman dulu ada buaian yang berbentuk konvensional je lepastu turun temurun kan? Tapi jangan risau, sekarang zaman dah maju dan ada banyak sangat jenis dan pilihan yang canggih dan hebat. Contohnya, ada buaian seperti buaian gantung, buaian manual, buaian automatik menggunakan bateri atau elektrik malah buaian automatik yang lengkap dengan musik sekali pun ada!

3) Saiz Menjadi Keutamaan!

Kredit Foto: Google Image

Mama juga wajib pentingkan saiz buaian untuk bayi Mama. Benda terakhir yang kita mahu ialah bayi kita tidur dalam kesempitan. Sebolehnya kita nak beri anak kita yang terbaik dan keselesaan yang berpanjangan. Jadi, Mama harus menilai saiz yang tak terlalu kecil dan tak terlalu besar untuk bayi Mama.

4) Material Buaian Baby

Sangat penting untuk memeriksa bahan yang menjadikan buaian tersebut. Sekarang, banyak buaian yang lebih kukuh dan paling seronok, tahan lama. Jadi Mama boleh guna untuk next baby juga. Asas yang kukuh dapat menjamin keselamatan bayi Mama dan itulah yang kita mahukan.

5) Keselamatan Yang Terjamin

Sebelum Mama beli sesebuah buaian pastikan untuk semak dahulu kapisiti muatan bayi yang boleh ditampung oleh buaian tersebut. Selepas tu, check ciri keselamatan lain seperti adakah buaian ini mempunyai aspek tambahan keselamatan untuk elak bayi Mama daripada terjatuh? Pastikan juga buaian itu tak terlalu tinggi dan terlalu rendah. Buaian itu harus berada dalam keadaan yang tak membahayakan si bayi.

Overall, buaian baby ini hanya akan memudaratkan jika Mama Papa tak mengambil serius atau tak peka dengan situasi tersebut. Jika Mama Papa ikut tips dan langkah berhati-hati, InsyaAllah tiada perkara buruk akan terjadi.

Semoga bermanfaat!

Pesan Mama Siti

Apa pun yang kita nak sediakan atau beli untuk anak kita, perkara pertama yang kita perlu ambil tahu adalah keselamatan dan kualitinya supaya tak berlakunya sesuatu yang tak diingini.