Ketika berpantang, ada banyak jenis makanan yang mama-mama baru bersalin patut makan untuk mengembalikan tenaga selepas melahirkan anak.
Yelah kan, tempoh berpantanglah merupakan masa terbaik untuk mengembalikan tenaga dan meningkatkan kesihatan badan dengan pemakanan yang sihat walaupun kita tak lagi makan untuk dua orang seperti ketika mengandung.
Kalau sebelum ni, buah-buahan dan sayuran merupakan antara kategori makanan yang popular, tetapi ketika berpantang, sama seperti jenis ikan, tak semua buah boleh dimakan tau Mama!
Berikut merupakan antara buah-buahan untuk ibu berpantang yang sentiasa disyorkan:
10 Buah untuk Ibu Berpantang
1) Anggur
Tahukah mama bahawa makan buah anggur dapat meningkatkan pengambilan:
- vitamin C dan K
- folat
- antioksidan
- serat
- asid organik
- Pektin
Ia juga mengandungi antioksidan yang meningkatkan kekebalan tubuh, seperti flavonol, tanin, linalool, antosianin, dan geraniol, yang juga dapat membantu mencegah jangkitan.
2) Kurma
Kurma dapat meningkatkan prolaktin, yang merupakan hormon yang menyuruh badan anda untuk menghasilkan susu. Ia mengandungi nutrien penting seperti serat makanan, vitamin A, vitamin C dan kalium.
Kurma juga kaya kalsium, tinggi serat dan manis secara semula jadi. Jadi tak perlulah anda risau tentang diabetes.
3) Oren
Buah oren adalah buah yang mudah dibawa kemana-mana dan berkhasiat. Ia juga adalah makanan yang baik untuk meningkatkan tenaga.
Buah oren dan buah sitrus lain adalah makanan untuk penyusuan yang sangat baik, kerana ibu yang menyusu memerlukan lebih banyak vitamin C daripada ketika hamil.
Buah oren juga sesuai untuk dijadikan snek atau jus. Minumlah jus oren semasa menjalani tempoh berpantang untuk mendapat manfaat vitamin C tersebut.
4) Blueberry
Ibu yang berpantang harus memastikan untuk mendapat dua atau lebih hidangan buah atau jus setiap hari.
Blueberry juga merupakan antara pilihan buah untuk ibu berpantang yang terbaik bagi memenuhi keperluan nutrien penting anda.
Buah beri ini kaya dengan vitamin dan mineral yang sangat bagus untuk badan (dan mata!) dan juga ia merupakan salah satu sumber karbohidrat yang membantu memberikan tenaga kepada anda.
Lebih menarik, berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh para pengkaji di Kanada menunjukkan bahawa blueberry sebagai buah untuk ibu berpantang dapat membantu mengurangkan ‘post-partum blues‘ seperti rasa sedih dan mood swing selepas bersalin.
5) Epal merah
Tahukah bahawa hanya dengan makan sebiji epal dapat membantu menjaga kesihatan anda?
Bak kata pepatah Inggeris, ‘an apple a day, keeps the doctor away’.
Epal yang kaya dengan serat dapat membantu mengelakkan sembelit semasa berpantang dan kandungan vitamin C dalam epal dapat meningkatkan sistem imun badan Mama. Justeru, buah epal sangat bagus dalam membantu mempercepatkan proses penyembuhan selepas bersalin.
Malah, jika Mama amalkan buah epal semasa berpantang dan menyusu, sumber nutrisi yang terkandung dalam epal juga boleh diperoleh si manja. Barulah sihat ibu dan anak bukan?
6) Strawberi
Strawberi juga merupakan antara buah untuk ibu berpantang yang kaya dengan Vitamin C. Buah ini yang mempunyai kandungan air yang tinggi juga dapat membantu mengekalkan penghidratan dalam badan.
Jadi, Mama boleh mengamalkan pengambilan strawberi semasa berpantang untuk kebaikan diri sendiri dan juga semasa penyusuan si manja.
7) Aprikot
Buah yang lembut dan manis ini mempunyai beberapa fitoestrogen yang sangat baik yang meniru aktiviti estrogen di dalam badan.
Fitoestrogen membantu mengatur hormon penghasil susu di dalam badan dan dapat meningkatkan penyusuan.
Aprikot juga penuh dengan kalsium, kalium dan vitamin C dan A – semuanya menyumbang kepada kesihatan yang optimum untuk anda dan bayi.
8. Buah Pic
Pic adalah buah yang sangat berkhasiat untuk ibu berpantang. Ia kaya dengan vitamin seperti vitamin A, B1, B2, B3, vitamin C, E dan K serta mineral seperti zat besi, kalsium, magnesium, kalium dan zink.
Ia juga mengandungi sejumlah besar serat makanan yang dapat membantu mencegah sembelit semasa berpantang.
FAKTA MENARIK! Kandungan zat besi dalam buah pic adalah TIGA kali ganda daripada buah epal.
Zat besi sangat penting untuk pembentukan darah. Ini dapat membantu ibu yang baru bersalin untuk pulih dengan cepat kerana anda telah kehilangan banyak darah semasa bersalin dan melalui lochia.
Tetapi, buah ini boleh menyebabkan rasa panas dalam badan, jadi, jangan makan terlalu banyak dalam sehari ya Mama.
9) Kismis
Umum mengetahui bahasa kismis merupakan antara buah yang versatile dan sangat berkhasiat. Kismis kaya dengan nutrien penting seperti kalium dan kalsium yang sangat bagus dalam membantu perkembangan si manja.
Mama boleh makan kismis sebagia snek sihat ketika berpantang atau sebagai pencuci mulut, tetapi pastikan makan dalam jumlah yang sederhana ya Mama.
10) Prun
Prun adalah plum yang telah melalui proses pengeringan. Ia adalah salah satu jenis buah yang paling sihat di dunia.
Prun sangat bagus untuk kesihatan tubuh badan Mama dan juga ia merupakan antara snek terbaik yang jarang memberi kesan sampingan buruk pada tubuh badan.
Untuk pengetahuan mama sekalian, buah-buahan ini berupaya untuk memulihkan kadar tenaga ibu dan menawarkan zat serta khasiat yang penting dan seimbang dan membantu mendapatkan susu badan yang berkualiti buat si manja.
Buah yang berwarna terang seperti betik, anggur dan blueberry memang kaya dengan antioksidan yang boleh menguatkan jantung dan mengurangkan risiko kanser serta jangkitan.
Buah seperti oren yang mengandungi vitamin C pula dapat memulihkan semua tisu dalam badan mama yang berpantang serta sebarang luka yang ada. Kalau boleh makan buah-buahan ini dua kali sehari.