Tahap kesihatan para ibu ketika hamil memang menjadi keutamaan kerana ia boleh mempengaruhi keadaan ibu dan kandungan. Antara yang sentiasa akan dipantau oleh doktor ialah bacaan paras gula dalam darah ibu.
Untuk mengetahuinya, para ibu harus melakukan beberapa pemeriksaan seperti BSP test.
Apakah BSP Test?
BSP test adalah pemeriksaan profil gula dalam darah ibu atau dikenali juga sebagai blood sugar profile.
Melalui ujian ini, pakar kesihatan dapat mengetahui paras gula dalam darah ibu untuk memantau tahap kesihatan ibu secara menyeluruh.
Terlebih dahulu, anda perlu melalui ujian MGTT iaitu Modified Glucose Tolerance Test dan jika bacaan hasil dari ujian itu melebihi 7.8 mmol, para ibu haruslah menjalani pemeriksaan BSP.
Bacaan BSP Normal Untuk Ibu Mengandung
Kerana kandungan gula yang tinggi dalam darah, bacaan BSP anda akan direkod dan sentiasa dalam pemerhatian doktor. Ini untuk memastikan bacaan itu di paras normal untuk ibu hamil ya.
Bacaan normal ini boleh dikategorikan kepada dua:
- Ketika anda berpuasa
- Ketika selepas makan
Bacaan BSP yang normal untuk ibu mengandung yang berpuasa ialah kurang daripada 5.1 mmol/L manakala bacaan BSP yang normal untuk ibu mengandung dua jam selepas makan ialah kurang daripada 7.8 mmol/L.
Kenapa BSP Penting Untuk Ibu Mengandung?
Berdasarkan dua keadaan yang berbeza di atas, doktor akan sentiasa cuba untuk memastikan bacaan BSP anda berada di paras yang normal. Ini amat penting ya. Penyakit kencing manis semasa hamil tidak boleh dipandang ringan.
Jika bacaan paras gula dalam darah ibu terlalu tinggi atau rendah, ia boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi dan masalah kesihatan pada ibu dan bayi.
Disebabkan itulah doktor sentiasa menasihati para ibu yang hamil supaya kawal pengambilan makanan yang bergula dan berlemak.
Melalui ujian BSP ini, doktor akan maklum dengan paras gula dalam darah anda dan akan bertindak sewajarnya.
Prosedur Untuk BSP Test
Berdasarkan perkongsian blogger Fif dalam blognya, prosedur untuk jalani BSP test bukanlah rumit malah anda boleh lakukannya sendiri tau.
1. Puasa sebelum jalani ujian BSP
Ibu mengandung yang akan jalani ujian BSP harus berpuasa terlebih dahulu sekurang-kurangnya 2 jam sebelum darah diambil. Tetapi anda dibenarkan minum air kosong ya.
2. Sampel darah diambil 4 kali sehari
Sampel darah akan diambil, setitik dua di hujung jari sahaja untuk diuji. Ini dilakukan sebanyak 4 kali sehari ya.
3. Waktu sampel darah diambil
Kebiasaannya, sampel darah akan diambil pada jam 8.00 pagi, 12.00 tengahari, 6.30 petang dan 9.30 malam.
4. Bacaan perlu direkodkan
Bacaan daripada ujian ini mesti direkodkan dalam kertas khas dari klinik kesihatan ya.
5. Ujian boleh dilakukan di klinik, farmasi atau rumah sendiri
Ujian ini bleh dilakukan di Klinik Kesihatan, farmasi ataupun di rumah. Cuma jika anda hendak melakukan ujian ini sendiri, anda perlulah membeli alatnya ya. Harganya sekitar RM120-RM160.
Jika mampu, bolehlah beli dan lakukan sendiri ujian ini di rumah. Kadang-kadang, para ibu mungkin mengalami kesukaran untuk ke klinik atau farmasi terutamanya pada waktu malam kan? Pemeriksaan sendiri di rumah akan lebih mudah.
Bagi para ibu yang ingin membuat ujian ini sendiri, bolehlah rujuk cara-caranya pada perkongsian dari Norliza Othman ini ya.
Cara Untuk Menurunkan Bacaan BSP
Antara yang menjadi kegusaran para ibu ketika menjalani ujian BSP ini adalah, bacaannya melebihi paras normal. Situasi ini seperti kita sedia maklum, berbahaya ya.
Jadi, apa yang para ibu boleh lakukan untuk menurunkan bacaan BSP ya?
1. Pemakanan yang seimbang dan berzat
Antara usaha yang para ibu boleh lakukan ialah mengamalkan pemakanan yang seimbang dan penuh zat serta kaya dengan nutrisi-nutrisi penting. Ini boleh membantu untuk kekalkan bacaan BSP di paras normal ya.
Menurut enfagrow.com juga, antara komponen makanan yang bagus untuk anda ialah sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh.
Ketika membeli belah, carilah makanan-makanan ini ya:
- Kekacang yang mengandungi folat, zat besi, kalsium dan zink seperti kacang hitam, kacang putih, kacang dal dan kacang soya.
- Ikan yang kaya dengan asid lemak omega-3, vitamin B, protein dan rendah merkuri seperti ikan sardin, ikan tilapia dan salmon.
- Buah-buahan yang kaya dengan kalium, serat, vitamin C dan folat seperti buah beri biru, beri hitam dan raspberi.
- Bijirin penuh yang mengandungi zat besi, asid folik dan serat seperti roti bijirin penuh, oat dan beras perang.
- Sayur-sayuran hijau
2. Bersenam secara berkala
Selain itu, anda juga haruslah sentiasa melakukan aktiviti fizikal dan bersenam. Pilihlah senaman yang sesuai dengan kondisi dan kemampuan anda seperti:
- Yoga
- Berkebun
- Berenang
- Berjalan dengan pantas
- Regangan badan
3. Makan ikut masa dan jam
Para ibu juga dinasihatkan untuk menjaga waktu makan supaya paras gula dalam darah stabil. Lebih-lebih lagi untuk jalani ujian BSP ini, anda perlulah berdisiplin dengan waktu makan kerana anda perlu berpuasa terlebih dahulu sebelum mengambil sampel darah kan?
Jika anda skip waktu makan anda, anda akan lebih cenderung untuk makan lebih banyak nanti dan ini boleh meningkatkan paras gula dalam darah secara mendadak.
4. Jaga kuantiti makanan
Nasi sebagai contoh, boleh meningkatkan paras gula dalam darah ya. Sebagai makanan ruji masyarakat kita, memang agak sukar untuk kita mengelak dari pengambilannya tetapi anda haruslah kawal kuantiti pengambilannya tau.
5. Elakkan minuman dan makanan manis
Selain itu, minuman dan makanan manis memang wajib dielakkan ya. Kebanyakkannya tidak berkhasiat malah mengandungi kandungan gula yang tinggi pula.
6. Banyakkan minum air kosong
Pengambilan air kosong yang mencukupi bukan sahaja bagus untuk kesihatan anda dan bayi malah ia membantu para ibu untuk mengekalkan bacaan BSP yang normal juga ya.
Jagalah Kesihatan Sebaiknya..
Walaupun sebelum hamil, para wanita haruslah menjaga kesihatan sebaiknya supaya badan anda sihat untuk mengandung. Elakkanlah makanan dan minuman yang manis seperti air kotak dan kek.
Pemakanan dan gaya hidup yang seimbang dapat mengelakkan sebarang komplikasi masalah kesihatan dan menjadikan waktu hamil anda lebih gembira.